Sunday, May 29, 2016

Orang Yang Berbelanja Harta Yang Lebih Daripada Keperluan.

Orang Yang Berbelanja Harta Yang Lebih Daripada Keperluan.
Allāh berfirman:

“Adapun mereka yang memberi dan bertakwa”. (Al-Qurʾān: 92: 5).
Ayat ini ditujukan kepada orang yang membelanjakan harta mereka yang lebih daripada keperluan untuk kumpulan yang berjuang menegakkan keadilan. Istilah taqwā di definisikan dengan firman Allāh:

“Sesungguhnya Allāh menyuruh berbuat adil dan ihsān dan menolong mereka yang memperjuangkan keadilan dan melarang dari yang keji dan munkar dan kezaliman; Ia nasihat kamu supaya kamu beringat”. (Al-Qurʾān: 16:  90).

Keadilan Adalah Asas Ketakwaan.
Shaykh berkata, keadilan adalah asas ketakwaan sebagaimana firmanNya:

“Berlakulah adil, ia itu lebih hampir kepada takwa”. (Al-Qurʾān: 5: 8).
Shaykh berkata, ʿUmar bin ʿAbd al-ʿAzīz membaca ayat 90, surah al-Nahl dalam khutbah Jumaat pada akhir zaman pemerintahannya. Kemudian ayat itu dibaca dalam khutbah Jumaat oleh orang selepasnya tanpa benar-benar memahami maksudnya.

Sikap Adil Berasaskan Keimanan Terhadap Yaum Al-hisāb.
Semangat adil berasaskan keimanan terhadap yaum al-hisāb. Orang yang tidak beriman dengan yaum al-hisāb akan bersikap sombong dan zalim terhadap manusia sebagaimana Allāh ceritakan kisah kata-kata Mūsā  (A.S.):

Dan Mūsā berkata: “Sesungguhnya aku berlindung dengan Tuhanku dan Tuhan kamu dari setiap orang takabur yang tidak mahu beriman kepada Hari Perhitungan (yaum al-hisāb). (Al-Qurʾān:40: 27).
Seorang yang beriman kepada Hari Perhitungan tidak mungkin melakukan kezaliman terhadap manusia lain.
Shaykh berkata, setiap orang yang bertugas dalam bidang pekerjaannya hendaklah bersikap adil dan memberi layanan yang sewajarnya kepada orang ramai yang Islām dan bukan-Islām.
Kumpulan yang melaksanakan tugas keadilan dalam masyarakat dinamakan zil qurbā. Mereka dibiayai dengan bantuan yang disalurkan kepada kumpulan ini. Setelah kumpulan ini berfungsi dengan baik, maka dapatlah dicegah perkara fahshāʾ   dan munkar.
Fahshāʾ ialah setiap perbuatan yang berlawanan dengan fitrah manusia seperti mencuri, berzina, liwat syirik terhadap Allāh dan sebagainya. Munkar ialah sesuatu yang berlawanan dengan akal yang siuman. al-baghya ialah sesuatu yang bercirikan kezaliman.
Bersikap adil boleh diertikan sebagai berpatutan atau sesuai dan kena pada tempatnya. Asas keadilan ialah keinsafan. Orang yang adil beriman dengan Hari Perhitungan. Contohnya, sebuah kerajaan yang kuat, tidak pernah diguling dan tidak pernah digugat, boleh melakukan penindasan dan kezaliman tanpa sesiapa yang menghalangnya. Pada masa itu golongan pemerintah leka dengan tindakan mereka, seolah-olah mereka tidak akan dihisab oleh sesiapapun. Akan tiba masanya, segala perbuatan mereka akan dihisab dan mereka akan digulingkan dengan mudah. Setelah mereka kembali ke akhirat, kejatuhan mereka di dunia akan menimpa mereka kali kedua.

Dipetik dari tafsir al hakm.

No comments:

Post a Comment