Wednesday, May 18, 2016

FIKIRAN SEMPIT

FIKIRAN SEMPIT

Pengetahuan agama yang bersandarkan bangsa Arab telah lama menulari umat Islam yang berfahaman pada zahir ayat. Oleh itu tidak hairan jika dikalangan mereka tidak lagi dapat memahami fenomena alam dan realiti kehidupan mengikut keadaan/kehendak sesuatu kaum dan zaman.

Akibatnya fikiran umat Islam menjadi sempit, takut untuk berfikir kerana disangkannya boleh merosakkan akidah. Hanya sekadar bertaklid kepada ulama/ustaz dan tidak wajar di pertanyakan lagi.

Umat Islam seakan kebingungan dalam mengenal apakah itu kehendak Al-Quran. Kebanyakan umat Islam memandang pendapat ulama, apalagi yang bertauliah, seolah-olah sudah setara dengan kehendak Al-Quran. Umat ketakutan menjadi kafir jika tidak sependapat.

Antara contoh-contoh secara ringkas yang turut menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah;

1. Berkaitan takwil. Bagi At-Thabari, tidak ada jalan untuk mentakwil ayat yang samar. Baginya untuk menjelaskan ayat yang samar hanyalah diatas keupayaan Tuhan, dan pengetahuan tentang ini tertutup bagi makhluk - lama kelamaan akal umat Islam menjadi tumpul dan hilang semangat keberanian.

2. Pengesahan/kebenaran pengetahuan - misalnya untuk mengetahui kebenaran haruslah melalui ulama atau ustaz. Kerana pemikiran manusia biasa tidak ada keupayaan untuk mencapai kebenaran.

3. Berpendapat bahawa hanya ahli bahasa Arab atau orang yang dapat membaca ayat-ayat suci tanpa melihat Al-Quran sahaja yang benar. Seolah-olah agama hanya dimiliki oleh mereka. Anggapan ini diperkuatkan lagi dengan hujah bahawa bahasa Arab merupakan bahasa Al-Quran dan juga bahasa di dalam syurga.

Ibn Taimiyah misalnya amat pedas menyatakan bahwa siapa saja yang menganalisis Al-Quran dengan ilmu-ilmu rasional seperti falsafah dan teologi, hanya akan menimbulkan kesesatan dan kebid’ahan semata-mata.

Antara masalah-masalah lain ialah pola berfikir sebahagian umat Islam yang mengandaikan kajian masa lalu yang dihasilkan berkaitan ilmu-ilmu ke-Islaman sebagai suatu yang muktamad tidak boleh dipertikaikan lagi.

Generasi berikutnya tidak boleh mengajukan pertanyaan kritis, apalagi melakukan kritik terhadap hasil kajian. Tugas umat Islam generasi belakang tidak lain hanya mengikut tanpa soal.

Kesan dari fahaman diatas telah menyebabkan umat Islam menjadi gagap dalam merespon kepada perubahan-perubahan yang berlaku dalam kehidupan mengikut shu'un Ilahi.

Pemikiran umat Islam yang dikawal oleh fahaman sebegini juga akan menyebabkan hilang sifat kreatif dalam bertanya, merespon dan mempersoalkan sesuatu yang berubah, kerana sepanjang hidupnya cenderung tidak boleh berfikir terutama apabila berkaitan persoalan agama. Lebih teruk lagi mereka juga akan dengan mudah mengkafirkan orang-orang yang tidak sehaluan.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika saat ini kita menyaksikan khutbah-khutbah di masjid terasa membosankan. Tarik-menarik kepentingan dan dakwaan kebenaran (truth claim) telah mencemari kesucian Islam itu sendiri.

Sekiranya fahaman yang sempit begini masih berterusan ianya pasti akan menyulitkan umat Islam untuk menjadi 'khairan umat' - umat terbaik.

admin .

No comments:

Post a Comment