Sunday, June 12, 2016

Mengakui Kebaikan Ialah Mengiktiraf Kebenaran Al-Qurʾān.

Mengakui Kebaikan Ialah Mengiktiraf Kebenaran Al-Qurʾān.
Allāh berfirman:

“Dan mengakui kebaikan”. (Al-Qurʾān: 92: 6).
Shaykh berkata, maksud kalimah ‘mengakui kebaikan’ dalam ayat di atas ialah mengiktiraf kebenaran Al-Qurʾān. Kita hendaklah yakin bahawa sesuatu yang dinyatakan dalam Al-Qurʾān datangnya daripada Allāh taʿālā.

“Maka Kami akan mudahkan dia pada jalan yang mudah”. (Al-Qurʾān: 92: 7).
Allāh akan permudahkan kerja-kerja yang mudah kepada orang yang mengiktiraf kebenaran Al-Qurʾān, kerana pengajaran Al-Qurʾān adalah sesuai dengan fitrah manusia. Al-Qurʾān mengajar manusia supaya sentiasa kekal di atas fitrahnya.
Satu fitrah manusia ialah saling menolong. Dengan sifat ini segala masalah dapat diatasi. Orang yang beriman dengan Al-Qurʾān sanggup mengorbankan sebahagian hartanya kerana bimbang terhadap kemurkaan Allāh. Maka Allāh permudahkan perkara yang mudah dihadapinya.

Orang Kaya Yang Bakhil Merasa Dirinya Serba Cukup.
Allāh berfirman:

“Adapun orang yang bakhil dan merasa terkaya”. (Al-Qurʾān: 92: 8).
Orang yang bakhil dan merasa terkaya enggan membelanjakan sebahagian hartanya kepada orang yang memerlukannya. Mereka merasa diri mereka serba cukup dan tidak perlukan pertolongan orang lain. Sikap ini adalah sebagai persediaan untuk menempuh jalan susah kerana sikap ini berlawanan dengan fitrah manusia.
Shaykh berkata, istilah astaghna pada hakikatnya ialah melanggar dan melampaui batasan fitrah yang menyebabkan  seseorang itu merasa megah seperti Firʿaūn.

“Dan mendustakan kebenaran”. (Al-Qurʾān: 92: 9).
Mendustakan kebenaran ialah mendustakan Al-Qurʾān. Sifat astaghna pada seseorang menyebabkan dia mendustakan kebenaran walaupun dia percaya bahawa Al-Qurʾān itu benar. Dia tidak akan menerima teguran yang baik yang ternyata dapat memajukan manusia. Maka buruklah padahnya. Mereka bakhil dengan pengorbanan. Mereka tidak mengikuti jalan yang adil. Untuk mereka Allāh berfirman:

“Kami akan permudahkan dia ke jalan yang susah”. (Al-Qurʾān: 92: 10).
Mereka senang mengikuti jalan yang susah kerana mereka menolak kebenaran. Oleh sebab mereka memilih jalan yang susah, maka Allāh permudahkan jalan yang susah itu kepada mereka.

Petikan tafsir al hakm.

No comments:

Post a Comment