Sunday, May 1, 2016

Hakikat Islam


Hakikat Islam itu ialah suatu peraturan yang berdasarkan fitrah manusia yang semulajadi. Kalimah fitrah
yang semulajadi ini perlu diingati bahawa kemahuan setiap orang kepada Islam itu samalah seperti
kemahuan kepada makanan dan minuman yang menjadi sebab hidup mereka. Peraturan hidup yang
dinamakan Islam ini telah dinamakan dalam Al-Quran dengan nama ‘al-din’ sebagaimana Allah taala
berfirman, yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam”. (Al-Quran: 3: 19).
Agama Islam ini telah ditetapkan oleh Tuhan untuk manusia sebelum daripada dijadikan tujuh petala langit
dan bumi; dan inilah agama yang sebenar di sisiNya. Dengan sebab itu Allah berfirman, yang bermaksud:
“Sesiapa yang mencari satu agama lain daripada Islam, maka tidak akan diterima daripadanya; sedangkan
dia di akhirat seorang daripada mereka yang rugi”. (Al-Quran: 3: 85).
Apabila Allah taala mencipta adam dan Hawa dan keturunannya di dunia, maka pengetahuan
yang dikurniakan kepada mereka pada masa itu sebagai sedutan daripada Islam mengikut kadar yang dapat
diterima dan diamalkan dengan kelayakan yang ada pada mereka, hingga tibalah zaman Idris (A.S.) Maka
kelayakan bagi menerima ilmu daripada sedutan pengajaran agama Islam itu telah bertambah luas. Maka
timbullah pada zaman itu beberapa percubaan yang memastikan peraturan yang lebih tinggi daripada
zaman adam (A.S.). Perkembangan ini bukanlah pada agama Islam tetapi pada kebudayaan dalam jiwa
masyarakat mereka sahaja.
Walaupun pada zaman Idris (A.S.) itu manusia sudah mulai mengkaji dan menyiasat ilmu bintang,
ilmu falak dan sebagainya, tetapi daripada segi ilmu kemasyarakatan mereka masih mentah, tidak begitu
matang hingga ternyata pada satu peringkat iaitu pada zaman Nuh  (A.S.). Inilah zaman yang boleh
disifatkan permulaan membuka sejarah yang luas dalam pelbagai ilmu yang disedut dari pengajaran Islam.
Dengan sebab itu Nuh  (A.S.) dilantik sebagai rasul pertama di bumi ini. Adapun adam dan Idris (A.S.)
tidak lebih daripada menjadi nabi sahaja.
Allah taala, dalam Al-Quran, telah menjadikan zaman Nuh  (A.S.) sebagai zaman permulaan
sejarah perkembangan Islam yang menjadi asas bagi kebudayaan yang selepas mereka, sebagaimana Allah
befirman yang bermaksud: “Ia telah terangkan bagi kamu dari agama, apa yang Ia wajibkan dia kepada
Nuh , dan yang Kami wahyukan kepadamu, dan apa yang Kami wajibkan dia keapda Ibrahim dan Musa dan
Isa ; bahawa hendaklah kamu dirikan agama dengan tetap dan janganlah kamu bercerai berai padanya”. (Al-
Quran: 42: 13). Ayat ini menunjukkan bahawa dari kemajuan yang tercapai pada zaman Nuh  (A.S.) hingga
kepada perkembangan pada zaman Ibrahim, Musa, Isa  (A.S.) adalah dalam salasilah agama Islam yang
satu. Maka manusia perlu mengikuti pesanan Allah kepada Muhammad  (S.A.W.) supaya roh Islam yang
satu yang terbentuk dalam beberapa kebudayaan itu hendaklah ditegakkan dan janganlah diasingkan. –
(Jemaah Wali Allah, Kota Bharu, Kelantan, 3 Mei 1970).

No comments:

Post a Comment