Thursday, June 23, 2016

Harta Orang Yang Mengabaikan kanun Ilahi Tidak Dapat Menolongnya

Harta Orang Yang Mengabaikan kanun Ilahi Tidak Dapat Menolongnya.
Allāh berfirman:

“Dan hartanya tidak akan menolong dia apabila dia jatuh”. (Al-Qurʾān:  92: 11).
Maksudnya, orang yang mengabaikan kanun Ilahi, harta mereka tidak dapat menolong mereka sedikitpun. Semasa dia senang dan mengumpul harta yang banyak dia tidak sedar dan tidak memenuhi kehendak fiṭrahnya. Harta yang dikumpulkan itu tidak berguna apabila dia digulingkan.

Hanya Allāh Yang Mendorong Seseorang Ke jalan Yang Baik.
Allāh berfirman:

“Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah menunjuk jalan yang lurus”. (Al-Qurʾān: 92: 12).
Maksudnya, hanya Allāh yang mendorong ke jalan yang baik. Kita hanya berdoa supaya kita didorong ke jalan yang baik. Pimpinan ke arah jalan yang lurus ada perhubungan dengan kanun Ilahi (hukum fiṭrah). Ini bererti hidayah boleh didapati melalui doa dan usaha berpandukan kanun Ilahi iaitu peraturan dan perubahan penciptaan Allāh setiap hari. Doa yang paling berkesan ialah melalui usaha dan melaksanakan tugas. Untuk berjaya, manusia perlu berusaha.
Istilah hudā bermaksud berpegang teguh kepada unsur akhlak induk seperti kesucian, taat kepada kebenaran, sedia memaaf dan bersikap adil.

“Dan sesungguhnya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia, (13). Oleh itu Aku ancamkan kamu dengan api yang menyala-nyala.(14). Tidak masuk ke dalamnya melainkan orang yang amat celaka”. (15). (Al-Qurʾān: 92: 13,14, 15).
Allāh mengugut dengan api yang menyala-nyala. Sebenarnya di dunia pun sudah ada api yang menyala-nyala iaitu api kemarahan orang ramai akibat perbuatan jahat seseorang. Ini bererti dia menyalakan api dan dia akan masuk ke dalam api itu kerana dia telah mencelakakan dirinya.

Dipetik dari tafsir al hakm.

Tuesday, June 14, 2016

petikan ikhtisar hujjatullah jilid satu.

Imam Ghazali menggambarkan azab kubur dengan tiga peringkat,  beliau berkata: “Perbandingan berita-berita hadis ini mengandungi zahir yang sahih dan rahsianya yang tersembunyi, tetapi amat jelas di sisi orang yang berakal,  sesiapa yang tidak didedahkan hakikatnya, tidak sepatutnya menentang perkara zahir, kerana darjah keimanan yang paling rendah ialah menerima dan mengakui.  Jika anda berkata, anda melihat orang kafir di dalam kubur secara teliti dan tidak terdapat sedikitpun perkara itu, maka bagaimanakah anda mengakui perkara yang bertentangan dengan kenyataan?”
“Ada tiga peringkat untuk anda mengakui perkara seperti ini.  Pertama, yang paling baik, jelas dan selamat ialah anda mengakui perkara itu ada tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar anda, kerana mata kasar anda tidak sesuai untuk melihat perkara di alam malakut.  Setiap perkara akhirat termasuk dalam alam malakut.  Para sahabat percaya bahawa mereka didatangi Jibril walaupun mereka tidak dapat melihatnya dan mereka percaya Nabi s.a.w. melihatnya.  Jika anda tidak beriman dengan perkara ini, anda perlu mengesahkan keimanan anda terhadap malaikat.  Jika anda beriman kepadanya dan mengakui Nabi s.a.w. melihat perkara yang tidak dilihat oleh umatnya, bagaimanakah anda menolak perkara yang berlaku kepada mayat?  Maka ular yang memagut dalam kubur bukannya ular di alam ini, tetapi ular lain yang diketahui melalui pancaindera lain.”
“Kedua, perhatikan peristiwa dalam mimpi.  Seorang dipagut ular dan dia terasa sakit, dia bertempik dan badanya berpeluh dan terperanjat.  Peristiwa itu berlaku pada dirinya seperti dia dalam keadaan sedar.  Pada zahirnya dia diam dan tiada ular yang memagutnya.  Dia merasa sakit tetapi anda tidak melihatnya.  Tiada perbezaan antara kesakitan kerana dipagut ular khayalan atau dipatut ular sebenar.”
“ketiga, anda tahu ular tidak boleh menyakitkan, tetapi yang menyakitkan ialah kesan racun ular,  racun ular tidak menyakitkan.  Jika kesan yang seperti itu terdapat pada perkara bukan racun, maka kesakitannya juga sama,  keazaban jenis ini diperkenalkan berdasaarkan sebab-sebab biasa. Tidak mungkin diperkenalkan keseronokan hubnngan seks melainkan melalui sebabnya.  Maka hasil bebab terjadi walaupun tidak terdapat rupa sebab.  Hasil sebab itulah yang dikehendaki, bukan zatnya.  Sifat yahg membinasa berubah menjadi benda yang membinasa, menyakitkan dan memedihkan jiwa selepas mati,  kesan kesakitannya seperti kesan pagutan ular yang tidak wujud.”  Inilah pendapat Imam Ghazali.

petikan ikhtisar hujjatullah jilid satu bab 2. alam misal.

Sunday, June 12, 2016

Mengakui Kebaikan Ialah Mengiktiraf Kebenaran Al-Qurʾān.

Mengakui Kebaikan Ialah Mengiktiraf Kebenaran Al-Qurʾān.
Allāh berfirman:

“Dan mengakui kebaikan”. (Al-Qurʾān: 92: 6).
Shaykh berkata, maksud kalimah ‘mengakui kebaikan’ dalam ayat di atas ialah mengiktiraf kebenaran Al-Qurʾān. Kita hendaklah yakin bahawa sesuatu yang dinyatakan dalam Al-Qurʾān datangnya daripada Allāh taʿālā.

“Maka Kami akan mudahkan dia pada jalan yang mudah”. (Al-Qurʾān: 92: 7).
Allāh akan permudahkan kerja-kerja yang mudah kepada orang yang mengiktiraf kebenaran Al-Qurʾān, kerana pengajaran Al-Qurʾān adalah sesuai dengan fitrah manusia. Al-Qurʾān mengajar manusia supaya sentiasa kekal di atas fitrahnya.
Satu fitrah manusia ialah saling menolong. Dengan sifat ini segala masalah dapat diatasi. Orang yang beriman dengan Al-Qurʾān sanggup mengorbankan sebahagian hartanya kerana bimbang terhadap kemurkaan Allāh. Maka Allāh permudahkan perkara yang mudah dihadapinya.

Orang Kaya Yang Bakhil Merasa Dirinya Serba Cukup.
Allāh berfirman:

“Adapun orang yang bakhil dan merasa terkaya”. (Al-Qurʾān: 92: 8).
Orang yang bakhil dan merasa terkaya enggan membelanjakan sebahagian hartanya kepada orang yang memerlukannya. Mereka merasa diri mereka serba cukup dan tidak perlukan pertolongan orang lain. Sikap ini adalah sebagai persediaan untuk menempuh jalan susah kerana sikap ini berlawanan dengan fitrah manusia.
Shaykh berkata, istilah astaghna pada hakikatnya ialah melanggar dan melampaui batasan fitrah yang menyebabkan  seseorang itu merasa megah seperti Firʿaūn.

“Dan mendustakan kebenaran”. (Al-Qurʾān: 92: 9).
Mendustakan kebenaran ialah mendustakan Al-Qurʾān. Sifat astaghna pada seseorang menyebabkan dia mendustakan kebenaran walaupun dia percaya bahawa Al-Qurʾān itu benar. Dia tidak akan menerima teguran yang baik yang ternyata dapat memajukan manusia. Maka buruklah padahnya. Mereka bakhil dengan pengorbanan. Mereka tidak mengikuti jalan yang adil. Untuk mereka Allāh berfirman:

“Kami akan permudahkan dia ke jalan yang susah”. (Al-Qurʾān: 92: 10).
Mereka senang mengikuti jalan yang susah kerana mereka menolak kebenaran. Oleh sebab mereka memilih jalan yang susah, maka Allāh permudahkan jalan yang susah itu kepada mereka.

Petikan tafsir al hakm.