Wednesday, September 27, 2017

PERANAN ISLAM MENYATUPADUKAN SEMUA KAUM



PERANAN ISLAM MENYATUPADUKAN SEMUA KAUM
Oleh hasan muhamad.

Islam adalah agama yang diturunkan Allah menerusi nabi akhir zaman yang dirumuskan daripada asas semua ajaran nabi-nabi terdahulu dan menganjur supaya manusia berpegang kepada prinsip yang mendorong kepada kerjasama ke arah menyatupadukan masyarakat manusia pada peringkat sejagat tanpa mengira batas sentimen perkauman dan resam agama masing-masing.

Dibangkitkan Nabi Muhamad s.a.w adalah untuk menyempurnakan asas baik yang telah ada pada umat manusia peninggalan daripada ajaran yang ditinggalkan oleh nabi-nabi yang telah diutuskan oleh Allah  kepada kaumnya. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.a.w. yang bermaksud: Aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak.

Pada asasnya akhlak dan sifat kemanusiaan yang ada pada setiap manusia itu adalah suatu makhluk Allah yang menginginkan suasana keharmonian yang meliputi semua makhluk Allah di mukabumi ini .

Hakikat ini terkandung di dalam Roh Natiqah yang sentiasa mendorong manusia ke arah kebaikan dan kesempurnaan. Dorongan itu menjadi suatu keperluan kepada setiap manusia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat .

Roh Natiqah yang telah tercelup dengan ikatan hakikat ketuhanan pada asal kejadiannya yang dimiliki oleh semua manusia tentang pengetahuan hakikat ketuhanan dan keinginan fitrah semula jadi manusia . Asas pengetahuan dan persamaan antara semua manusia adalah kukuh dan semula jadi. Allah telah menguji kepada semua roh manusia dengan Firmannya didalam surah Al-A’raf ayat 172:

Maksudnya: Dan ketika Tuhan kamu menjadikan turunan anak Adam dari punggungnya dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka sendiri katanya bukankah Aku ini Tuhan kamu mereka mengatakan ya kami menjadi saksi nanti dihari kiamat kamu tidak dapat mengatakan bahawa kami melengahkan hal ini .

Dailog ini menggambarkan bahawa semua roh manusia adalah telah dicelup dengan ikatan hakikat ketuhanan bahawa manusia itu perlu akur dan patuh kepada Allah dan asas persamaan -pengetahuan khas tentang hakikat keinginan semulajadi manusia.

Sejauhmana manusia itu dapat menghayati akur janji yang terkandung di dalam pengetahuan yang telah sedia tercelup di dalam Roh Natiqah (Sifat Malakiah) itulah matlamat hidup manusia untuk mencapai kebahagian sejati dan pengukur kepada sejauh mana tahap iman seseorang.

Allah telah menjelaskan hakikat persamaan manusia pada hakikat kejadiannya di dalam Al-Quran di dalam surah AI-Nisa ayat 1:

Maksudnya: Wahai manusia hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah yang menjadikan kamu daripada jiwa yang satu. Kalimah Napsinwahidah yang bererti jiwa yang satu pada Nauk lnsaniah (acuan yang satu) bahawa manusia itu mempunyai prinsip asas kemanusiaan yang satu.

FITRAH SEMULAJADI MANUSIA

Allah telah menjelaskan usul fitrah semula jadi manusia yang terkandung di dalam pengetahuan Roh Natiqah sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran melalui surah Al-Israk ayat 23 hingga ayat 37 dan rumusan ringkasnya seperti berikut :
1) Kasihkan Allah dan kedua ibu bapa.
2) Beri hak kepada mereka yang berkhidmat untuk masyarakat .
3) Jangan membazir.
4) Jangan bakhil.
5) Memilih cara hidup yang sederhana.
6) Memberi pendidikan kepada anak.
7) Menghormati  sesama manusia
8) Jangan menindas golongan yang lemah
9) Berlaku adil.
10) Jangan berlagak tahu perkara yang kamu tidak tahu.

Hakikat fitrah semulajadi manusia di dalam Kitab Hujjatullah AI-Balighah (Juzuk 1: m.s. 117) seperti berikut:

1) Bersih.
2). Patuh kepada kebenaran dari Allah. (Ikhbar ta 'ala/mengagung-agungkan kebesaran Tuhan pencipta)
3) Toleransi.(samahah/tolak ansur dalam bermasyarakat/muamalat)
4) Adil,(kemuncak akhlak)

Adil adalah 3/4 daripada agama menjadi skil kepada pencapaian masyarakat.

Demikianlah Allah telah menjelaskan prinsip-prinsip fitrah semulajadi dan manusia perlu berada di atas landasannya. Maka Roh Natiqah yang ada pada diri manusia dapat mengecapi kepuasan dan kebahagiaan sejati. Hakikat ini didokong oleh semua ajaran nabi-nabi dan yang menjadi pemangkin kepada pembinaan asas perpaduan di dikalangan  umat manusia di dunia ini.

Pencapaian keinginan Roh Natiqah adalah ukuran sebenar kepuasan rohani.  Setiap amalan dan matlamat hidup manusia perlu mengambil kira kepuasan rohani kerana setiap perlakuan manusia itu terdapat dua kepentingan iaitu keperluan jasmani dan rohani. Maka orang yang berjaya itu memperolehi kepentingan yang seimbang di antara keperluan jasmani untuk memenuhi keperluan hidup di dunia dan kepuasan rohani yang berpanjangan hingga ke akhirat .

Mereka berupaya menangani antara dua tuntutan Malakiah dan Bahimiah dengan sempurna dan kekuatan sifat Malakiah dapat mengawal kekuatan Bahimiah mengikut landasan sifat Malakiah dan kesinambungan itu akan menghasilkan martabat insan yang sempurna dan layak memikul tugas dan tanggungjawab  bumi manusia dicipta untuk hidup dan membina khilafah di muka bumi ini dan menerima ganjarannya di akhirat kelak .

Allah telah menjadikan alam ini bersama benda yang ada di dalamnya untuk menyokong kehidupan manusia supaya dapat mencapai matlamat kebahagiaan sejati yang bermula daripada hidup di dunia dan akhirat itu tempat sambungan dan menerima hasilnya. Oleh itu kehidupan didunia ini hendaklah diatur dengan sempurna sejajar dengan kehendak rohani yang menyeluruh kepada setiap insan berpandukan hakikat tauhid yang Maha Esa.

Tugas untuk kebaikan umum adalah lebih mulia disisi Allah iaitu sebanyak mana manfaat yang dapat dinikmati oleh makhluk Allah daripada usaha seorang mukmin maka itulah nilai sebenar seseorang mukmin disisi Allah. Maka syariat Islam telah menggariskan bahawa fardu kifayah itu lebih besar daripada fardu ain kerana manfaatnya lebih menyeluruh dan kesempurnaan tugas fardu kifayah adalah hasil daripada pencapaian fardu ain , Dan ilmu fardu ain hanya suatu bab didalam ilmu Fardu kifayah yang menjadi persediaan kepada rahmatan bil al lamin.

Setiap manusia telah dikurniakan oleh Allah sesuatu keistimewaan sama ada harta, kuasa atau ilmu pengetahuan dan kepada mereka yang mendapat petunjuk jalan yang lurus daripada Allah. Mereka menggunakan segala amanah Allah itu pada tempat yang sewajarnya kerana segala-galanya adalah hak milik mutlak Allah dan hak milik perseorangan itu sekadar berhak menikmati lebih utama daripada orang lain dan orang lain juga ada hak ke atas milik perseorangan.

Al-Imam Sheikh Abdul Karim AI-Jilli di dalam kilab Insaanul -Kamil (m.s. 143).

maksudnya ketahuilah bahawa Allah menciptakan negeri akhirat dan semua yang terkandung didalamnya adalah salinan dari dunia dan ciptaan dunia adalah salinan daripada ilmu Allah yang azali. Maka dunia itu asal manakala akhirat itu cawangannya yang telah disebut dalam hadis bahawa dunia itu tempat bercucuk tanam bagi akhirat. Dari penjelasan ini dapat difahamkan bahawa kehidupan di dunia bersama segala sumber yang ada sebagai bahan modal adalah untuk mendapat keredhaan dan ganjaran daripada Allah.

Prinsip-prinsip ini turut didokong oleh semua nabi sebagai intisari kepada pengajaran agama cuma yang membezakannya adalah pada pelaksanaan syariatnya. Perbezaan syariat itu berlaku apabila manusia berada di alam jisim dan persekitaran iklim yang berbeza boleh mempengaruhi resam dan falsafah hidup dan perbezaan itu semakin nyata apabila mereka mendidik generasi mereka dengan cara yang tersendiri samada dalam hal kehidupan atau cara mereka mendekati Tuhan Yang Maha Kuasa. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

Maksudnya: Kanak-kanak itu dilahirkan suci maka kedua ibubapalah yang mencorakkan menjadi Yahudi, Nasara atau Majusi.

Maksud Hadis ini menjelaskan bahawa peranan ibubapa mencorakkan resam kehidupan anaknya bermula dari keluarga (jibillah) dan seterusnya mempengaruhi kelompok masyarakat dan generasi ini akan menyambung dan meningkatkan resam yang mereka warisi kerana bagi mereka itulah pilihan terbaik dan Allah telah menampakkan keelokan amalan kepada sesuatu kaum dan nabi yang dibangkitkan kepada kaum itu akan mengambil kira resam baik yang ada pada mereka dan menyempurnakan mana yang kurang baik apabila membentuk syariat yang difardhukan kepada kaumnya untuk melaksanakan taklif Allah.

Syah Waliyullah telah menerangkan falsafah kebangkitan nabi didalam kitab Tafhimat-al Ilahiyyah (juzud I m.s. 68).

Maksudnya: Nabi-nabi diutuskan untuk kaum itu hanya untuk memerhati sesuatu yang telah sedia ada disisi mereka sama ada dalam babagian ittiqad atau amal yang mana sesuai pada usul akhlak dikekalkan dan menuju ke arah yang lebih sempurna dan mana yang menyalahi adalah ditegah daripada melakukannya .

Firman Allah surah Al-Hujrat ayat 13:

Maksudnya: Hai manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kamu seorang lelaki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu beberapa bangsa dan suku-suku bangsa supaya kamu mengenal satu sama lain sesungguhnya yang paling mulia antara kamu pada pandangan Tuhan ialah yang lebih bertaqwa. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Tahu dan Mengerti.

Allah berfirman surah As-Syura ayat 13:

Maksudnya: Allah mensyariatkan untuk kamu agama, apa yang dia telah berpesan kepada Nuh dan yang telah kami wahyukan kepada kamu dan apa yang telah kami wasiatkannya kepada Ibrahim dan Musa dan lsa supaya mereka menegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah daripadanya.

Mujahid berkata: "Kami berpesan kepada kamu wahai Muhamad dan kepada mereka dengan agama yang satu". Allah berfirman didalam surah Al-Mukminun ayat 52,53:

Maksudnya: Sesungguhnya agama ini agama kamu, agama yang tunggal dan aku adalah Tuhan kamu hendaklah kamu bertaqwa kepada aku lalu mereka pecahkan urusan mereka dikalangan mereka beberapa golongan  dan setiap golongan bergembira dengan apa yang ada disisi mereka.

Allah berfirman didalam surah AI-Maidah ayat 48:

Maksudnya, Bagi setiap umat daripada kamu Kami jadikan syariat dan manahij.

Allah berfirman surah AI-Haj ayat 67:

Maksudnya: Bagi setiap umat kami telah jadikan untuk mereka syariat yang mereka beramal dengannya .

Firman Allah surah Al-Anam ayat 108:

Maksudnya: Janganlah kamu nistakan apa yang mereka sembah selain daripada Allah supaya jangan mereka pula mencela Tuhan dengan tidak berdasarkan pengetahuan, Allah telah menampakkan keelokan pada pandangan sesuatu kaum akan amalan mereka kemudian Allah tempat mereka kembali dan akan diterangkan kepada mereka apa yang mereka lakukan.

Dari keterangan ayat-ayat Allah itu dengan jelas syariat dan manahij disisi mereka berasaskan maklumat yang telah sampai kepada mereka dan Allah telah menampakkan keelokan yang menguatkan keyakinan mereka dan mereka bergembira dengan shariat  yang mereka beramal dengannya. 

Mereka sangggup mempertahankan kedaulatan dan keyakinan kaumnya yang Allah menjadikan manusia itu berbangsa-bangsa dan berbagai suku untuk saling mengenali antara satu sama lain dan mengambil tahu di sebalik perbezaan syariat itu suatu pengajaran Allah menerusi nabi-nabi mereka.

Allah melarang kamu mendustakan apa yang mereka sembah selain daripada Allah nanti mereka akan mencela Allah dengan cara yang melampau batas dan mereka akan memusuhi kamu dan hujjah kebenaran yang menjadi agenda kamu tidak dapat terlaksana kepada mereka.

Allah berpesan supaya kamu menegakkan agama Allah dan elakkan daripada berpecah dan berilah saranan kepada mereka tentang prinsip agama yang satu dan Allah Tuhan mereka yang satu.

UTUSAN ALLAH

Firman Allah dalam surah Al-Nahli ayat36:

Maksudnya: Sesunguhnya telah kami bangkitkan setiap umat itu rasul supaya menyuruh menyembah Allah dan menjauhi thoghut.

Surah AI-Fatir ayat 24.:-

Maksudnya: Dan tiada suatu kaum melainkan telah datang dikalangan mereka nabi yang menakuti azab Ilahi.
Surah AI-Mukmin ayat 78:
Maksudnya: Dan sesungguhnya telah kami utuskan sebelum engkau (Nabi Muhamad s.a.w) setengah daripada rasul-rasul itu telah kami cerita kepada engkau dan sebahagian mereka tidak pernah kami cerita kepada engkau.
Sheikh Thana Ullah di dalam. tafsir AI-Quran Bikala-Murrahman (m.s.) 301, telah menerangkan bahawa rasul-rasul yang telah diceritakan didalam AI-Quran seperti Nabi Musa , Isa , Zakaria , Ibrahim, Ismail, Ishak dan lain-lain ada pun rasul-rasul  yang tidak dicerita oleh Allah ialah rasul-rasul yang dibangkitkan di Eropah, Asia dan Afrika sedangkan mereka juga telah menerima utusan Allah supaya memben petunjuk kepada mereka , kerana Firman Allah menyatakan tiada suatu umat melainkan telah datang dikalangan mereka rasul yang menakuti dengan azab Ilahi.
Dari penjelasan ini amat jelas bahawa setiap umat manusia didunia ini telah diutus oleh Allah utusan yang bertaraf nabi atau rasul. Kebangkitan para nabi atau rasul disekitar semenanjung Arab dan Timur Tengah telah dikhabarkan oleh Allah didalam AI-Quran kerana maklumat kebangkitan mereka telah ada pada pengetahuan orang Arab. Ada pun kebangkitan nabi-nabi dan rasul-rasul diluar daripada semenanjung Arab dan Timur Tengah yang tidak dicerita oleh Allah didalam Al-Quran antaranya ialah Zardas di Iran, Siddhartha Gautama dan Krishna di India, Socrates,di Eropah, . Confucius di Cina, Sinto di Jepun dan lain-lain. 
Mereka telah meninggalkan risalah suci yang menyeru kepada kebaikan untuk kaumnya supaya kembali kepada fitrah semula jadi manusia dan menunjuk jalan serta berusaha agar tercapai kebahagiaan hidup didunia dan akhirat.
Mereka yang beriman kepada Allah diperintahkan supaya beriman kepada semua nabi dan kitab-kitab suci yang diturunkan kepada semua nabi sama ada nabi-nabi yang utuskan disekitar semenanjung tanah Arab dan Timur Tengah yang diasaskan oleh Nabi Ibrahim telah mengasaskan agama yang dinamakan Agama Hanifi dan nabi-nabi yang diutuskan kepada umat manusia di Asia ,Eropah dan Afrika dinamakan Agama Sabein yang tidak diceritakan oleh Allah didalam AI-Quran. Ulama-ulama Muhakkiq didalam kitab-kitab mereka telah bersepakat mengatakan bahawa mereka adalah golongan yang termasuk didalam golongan Mufahhamun yang bertaraf nabi pada zamannya.  
Oleh kerana tahap kelompok mansia itu tidak sama tahap pengetahuan dan keperluan maka utusan Allah juga tidak sama dari segi syariatnya.
Antara perbezaan itu ialah:
Mereka yang menerima dari Allah pengetahuan yang berhubung dengan pembersihan jiwa.
Mereka yang mengutamakan akhlak dan pengetahuan mentadbir masyarakat.
Mereka yang mempunyai pengetahuan siasah dan menegak keadiJan dan membasmi kezaliman.
Mereka yang dihampiri jamaah malaikat yang mengilhamkan dan memperlihatkan kepadanya rahsia alam malakut, ia disokong oleh roh suci dan lahir beberapa keramat pada dirinya.
Mereka yang dikurniakan lidah dan hatinya cahaya ketuhanan yang dapat memberi manafaat kepada manusia yang bersahabat dan mendengar nasihatnya serta mewarisi daripada persahabatan itu semangat ketenangan yang sampai ke peringkat
kesempurnaan dan ia bersungguh-sungguh menunjuk jalan kepada manusia.

Demikianlah para nabi terdahulu yang dikurniakan cetusan ilmu kenabian secara
khusus yang sesuai dengan permasaalahan kaumnya dengan cara yang berlainan antara mereka tetapi sama matlamatnya untuk mendorong manusia dapat mengimarahkan bumi Allah dengan acuan yang kekal di atas prinsip fitrah semulajadi manusia sebagai pengukur.

Peranan semua nabi perlu dihormati oleh semua pihak pada dasar roh kesatuan
menegak dan mempertahan kebenaran. Agama Islam telah menetapkan salah satu rukun iaitu beriman kepada semua nabi dan beriman kepada semua kitab yang diwahyukan kepadanya.

Sesungguhnya agama yang diwahyukan oleh Allah sejak Nabi Adam a.s hingga kepada Nabi Muhamad s.a. w ialah Agama Islam. Cuma ia berlainan pada nama dan syariat sahaja. Bagi pengikut Nabi Musa ia dinamakan Yahudi, pengikut Nabi lsa dinamakan Nasara dan perbezaan syariat yang berlaku kepada bentuk perlaksanaan, berasaskan persekitaran dan resam setempat yang memudahkan mereka melaksanakan taklif Allah yang difardhukan ke atas mereka.

Firman Allah dalam surah AI-Nisa ayat 136.

maksudnya:Wahai orang yang beriman hendaklah kamu beriman kepada Allah
dan rasul-rasul , kitab-kitab suci yang telah diturunkan terdahulu dan siapa yang ingkar kepada Allah dan malaikat-malaikat dan kitab-kitab dan rasul-rasulnya dan hari akhirat maka sesungguhnya telah,sesat pada jalan yang amat jauh.

Surah Al-Baqarah ayat 136 :-

Maksudnya: Katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak., Nabi Yaakob dan anak-anaknya dan apa yang dikurniakan kepada semua (nabi yang diutuskan) dari Tuhan mereka dan kami tidak akan membeza-bezakan antara mereka dan kami tetap diatas perintah Allah dengan semangat Islam.

Surah Al-Imran ayat 84:

Maksudnya: Katakan kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakob dan anak-anaknya dan apa yang diberi kepada Musa, Isa dan nabi-nabi dari Tuhan mereka kami tidak akan membezakan seorang pun dikalangan mereka dan kami patuh kepada Tuhan.

Firman Allah dalam surah AI-Baqarah ayat 62:

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang beriman. mereka orang Yahudi, orang Nasara dan Sabien ( mereka yang beriman sebelum Nabi Ibrahim termasuk penganut (Buddha dan Hindu) yang beriman kepada Allah (Al-Quran dan Nabi Muhamad) dan hari akhirat amalan baik mereka akan mendapat ganjaran daripada Allah dan mereka tidak merasa takut dan bimbang.

Dan keterangan yang dinaskan oleh Allah didalam kitab suci AI-Quran bahawa , mereka yang beriman kepada Allah diperintahkan supaya beriman kepada semua nabi-nabi dan kitab-kitab suci yang diwahyukan oleh Allah kepada semua nabi yang diutuskan untuk kaumnya dan kepada mereka yang beriman kepada mana-mana nabi dan sentiasa berbuat baik sesungguhnya mereka tidak perlu takut dan bimbang kerana mereka akan mendapat ganjaran daripada Allah.

Kebangkitan Nabi Muhamad s.a.w adalah untuk menyempurnakan asas-asas baik yang telah dibina oleh semua nabi-nabi terdahulu kepada bentuk sejagat dan menyatukan mereka yang beriman kepada Allah dari semua nabi dibawah bumbung kesatuan prinsip yang didokong oleh semua nabi.

Hanya pengajaran yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w sahaja yang diutuskan dalam skop antarabangsa yang dipertanggung jawabkan menangani persoalan perpaduan sejagat yang dihadapi oleh umat manusia kini.  Maka pendekatan prinsip perlu dikenal pasti mengenai asas kebaikan yang menjadi titik persamaan, pegangan dan keimanan bagi sesuatu kaum.

KERJASAMA SEJAGAT

surah AI-Imran ayat 64: 

Maksudnya: Katakanlah wahai ahli kitab marilah bekerjasama diatas dasar yang sama antara kita dan tidak menyembah selain daripada Allah jika mereka berpaling katakanlah sesungguhnya kami orang Islam.

Ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam mempunyai peranan ke arah menyatu padukan umat manusia berasaskan prinsip-prinsip persamaan yang terdapat di dalam asas-asas pengajaran Ilahi.

Walaupun dalam kitab-kitab mereka berlaku tahrif dan kelemahan dalam sudut tertentu sehingga terlupus garis panduan yang membezakan antara Suhuf asal dan tafsiran yang ditambah tetapi asas-asas pengajaran yang mengajak manusia kepada kebaikan sebagai terjemahan kepada kehendak fitrah manusia semula jadi yang terkandung , didalam Roh Natiqah adalah masih kekal dan tidak terusik.

Sekiranya kitab suci yang ada pada mereka itu telah hilang identitinya sabagai kitab suci dan lansung tidak boleh diakui sama sekali, maka Allah tidak akan memerintah Nabi Muhamad s.a.w untuk menjemput ahli kitab untuk bekerjasama berasaskan persamaan yang ada pada mereka.

Sahih Bukhari didalam kitab Al-Tauhid juzuk 1 : m.s. 1127) menyatakan maksudnya: Berkata Abdullah bin Abbas "mengubah,membuang adalah tidak seorang pun berkuasa membuang satu lafaz tulisan yang terkandung didalam kitab Allah melainkan mereka mengubah kerana takwilan yang dilakukan itu tidak mengikut usul takwil yang sebenar".

Dengan keterangan ini nyatalah pindaan yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasara terhadap kitab Taurat dan Injil dan kaumnya yang terdahulu terhadap kitab-kitab Ilahi yang diturunkan kepada nabi-nabi mereka berlaku kepada generasi yang mewarisi pengajaran selepas wafatnya nabi-nabi Mereka menghadapi masalah kelemahan menterjemah, mentafsir dan takwilan yang sebenar sehingga apa yang dilakukannya telah terpesong daripada tujuan asal.

Shah Waliyullah menyatakan didalam kitab Sataat (bil: 22) yang bermaksud, Kitab-kitab terdahulu daripada AI-Quran semuanya seumpama Hadis Qudsi kecuali mana yang dikehendaki Allah. Sabda Nabi Muhamad s.a.w yang bermaksud bahawa wahyu kepada nabi telah beriman oleh manusia lazimnya terkandung dua perkara penting.

Berkat yang diturunkan dari Alam malakut yang memberi kebaikan serta redha Mala-AI-Ala pada orang yang membaca kitab Ilahi dan berusaha menyampaikan kepada orang lain.
Kitab itu mesti kekal sepanjang masa dan umat nabi itu ditaufikkan memeliharanya.

Jika terhilangnya dua sumber pengenalan penting itu, maka status kitab Ilahi sudah tiada, Sebaliknya ia sebagai kitab dari seorang anak Adam yang  mengumpul ilmu nabi beserta ijtihadnya seumpama Sahih Bukhari dan Muslim didalam Millah Muhammadiah

Daripada penjelasan Syah Waliyullah nyatalah darjat kitab-kitab Ilahi yang terdahulu yang terdapat pada kaum Yahudi, Nasara,Majusi,Hindu dan Buddha menepati taraf kitab-kitab Sahih Bukhari, Muslim, Tarmizi, dan lain-lain. Sebagaimana hadis Nabi Muhamad s.a.w. telah ditulis oleh ulama Islam menjelang hampir satu abad bermula dari hijrah Nabi s.a.w., bermulanya rawi hadis dikaji dan dihalusi disaat kaum muslimin berpecah-belah dan pengaruh luar memainkan peranan untuk melemahkan umat Islam .

Dalam tahun 200 Hijrah, kitab hadis sempurna dikarang dan disusun mengikut dengan maksud yang difahami oleh perawi dan mengkategorikan  sanad Mustakfid, Mashor, Sahih, Hassan, Dhaif dan Mursal.

Walau pun kitab-kitab hadis itu dibukukan dengan paling cermat dan halus sekali , namun darjah hadis tidak boleh disamakan dengan Al-Quran sebagai sumber hukum ,asasi yang mempunyai kebenaran mutlak.

Ada pun kitab-kitab Ilahi yang ditinggalkan oleh nabi-nabi yang terdahulu yang ada pada umat Yahudi, Nasara, Hindu, Buddha dan Majusi ditulis selepas kewafatan nabi-nabi mereka ratusan tahun kemudian, maka wajarlah pengiktirafan kitab-kitab Ilahi itu setaraf dengan kitab-kitab hadis yang tidak lebih daripada untuk dijadikan  iktibar dan hidayah.

MEMBINA PRINSIP

Firman Allah surah AI-Nahli ayat 89-90.

Maksudnya: Dan dihari kami bangunkan setiap umat seorang saksi dikalangan mereka; sendiri dan kami kemukakan engkau sebagai saksi bagi mereka dan kami turunkan kitab kepada engkau untuk menjelaskan segala pimpinan kurnia dan berita gembira untuk orang Islam, sesungguhnya Allah telah memerintah supaya menegak , keadilan mengasihi makhluk Allah, memupuk semangat persaudaraan melarang perbuatan jahat , keji dan derhaka.

Dari keterangan Allah yang maha mengetahui telah mengutuskan utusannya kepada semua kaum dan telah meninggalkan kitab suci kepada kaumnya sebagai saksi tentang kehadiran mereka dan mereka (nabi) menjadi saksi terhadap kaumnya sama ada menerima atau menentang perutusan daripada Allah.

Mereka yang beriman kepada Allah difardukan supaya beriman kepada semua nabi berasaskan nilai-nilai prinsip yang menjadi landasan kepada ajaran semua para nabi.

Prinsip-prinsip ini turut didokong oleh semua nabi dan menjadi intisari kepada semua ajaran agama dan ditakrifkan bahawa ugama itu satu pada prinsipnya. Kepada mereka yang beriman dengan mana-mana ajaran nabi dan sentiasa berbuat baik, mereka termasuk dikalangan orang yang beriman dan akan mendapat ganjaran baik disisi Allah.

(Al-Baqarah ayat 62).

Agama yang diredhai Allah ialah gambaran hakikat fitrah kemanusiaan yang menjadi intisari kepada ajaran agama sejak daripada Nabi Adam hingga kepada Nabi , Muhamad s.aw yang menyeru kepada orang mukmin supaya mendapat hidayah daripada Allah. Sesungguhnya dikalangan orang mukmin itu bersaudara.

Persaudaraan dikalangan orang mukmin tidak terbatas kepada mukmin yang mempunyai aliran yang sama dari segi syariat, malah mukmin dalam erti kata berasaskan kepada suatu aliran prinsip yang telah ditentukan oleh Allah didalam kitab sucinya.

Gagasan persaudaraan Islam perlu, bertitik tolak diatas asas prinsip yang menentukan hala tuju kearah mewujudkan keharmonian kaum secara menyeluruh sama ada golongan yang mempunyai gambaran makrifat ketuhanan yang sempurna atau kurang sempurna berhak mendapat percikan daripada pengajaran Ilahi yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w yang memberi rahmat ke seluruh alam.

Hasil daripada seruan yang menyentuh persoalan pokok dan kepentingan sejagat sebagai daya penarik kepada manusia dan sekaligus menerima Islam.
1) Mengajak mereka bekerjasama berasaskan kebaikan bersama.
2) Mengajak mereka mentauhidkan diri kepada Allah sabagai asas untuk membina semangat bersatu.
3) Menyeru supaya menjauhi daripada syirik kerana ia mendorong manusia kepada perpecahan dan menyimpang daripada semangat patuh kepada kebenaran yang pecahkan
.4) Membenar dan menyokong kebenaran yang terdapat pada kitab-kitab dan  rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah kepada kamu.

langkah demikian telah meletakkan sejarah kegemilangan dan kedaulatan Islam yang penuh dengan daya penarik kepada manusia untuk menerima Islam . Usaha kearah mengembalikan kedaulatan Islam dalam bentuk terjemahan kepada perlaksanaan yang sesuai dengan perkembangan manusia kini yang terdedah kepada era globalisasi, maka perlu ada suatu golongan yang boleh menangani dan menyeru kepada kebaikan sebagaimana Firman Allah didalam AI-Quran surah AI-Imran . ayat 104:

Maksudnya: Hendaklah ada di kalangan kamu golongan yang menyeru kepada
kebaikan dan menegah daripada mungkar.

Mereka itu mencari jalan untuk mengatasi kemelut manusia yang terdiri daripada pelbagai etnik. Syariat menganjur supaya bersama-sama membuat kajian yang mendalam berpandukan kitab Ilahi serta mencari pendekatan prinsip sekaligus mencapai kata sepakat yang boleh diterima pakai sesuai dengan masyarakat yang berbilang kaum seperti di Malaysia.

Sejarah kepimpinan Negara Malaysia yang terbuka dan sederhana telah membantu kearah kerjasama membangun dan memajukan negara dalam beberapa peringkat dan saya percaya kerjasama membentuk falsafah kemanusiaan sejagat akan menjadi kenyataan di Malaysia.

Peranan menyusun dan menganjur aliran penting ini terletak kepada umat Islam yang mendokong ajaran Nabi Muhamad s.a.w mengikut keadah yang telah ditentukan oleh Allah didalam AI-Quran.

Usaha dakwah Islam kepada manusia tidak terhad setakat mengislamkan individu supaya menjadi muslim atau muslimah sahaja. Malah sasaran utamanya adalah untuk menyerapkan prinsip Islam yang dapat mempengaruhi kelompok manusia yang besar supaya mereka dapat memberi kerjasama yakni setelah mereka yakin bahawa kegiatan yang dianjurkan dibawah kepimpinan Islam adalah menjurus kearah unsur-unsur yang positif dan elok untuk dicontohi oleh seluruh manusia sejagat.

Mereka tidak sanggup patuh kepada mana-mana ketetapan yang tidak mengambil kira asas keyakinan yang mereka pegang sebagai saluran untuk menemui Tuhan di hari kemudian.Mereka adalah tergolong dikalangan mukmin yang perlu dibimbing kearah yang lebih sempurna dan kitab-kitab suci mereka perlu diletak pada tempat yang sewajarnya sebagai asas rujukan yang saling melengkapi antara satu sama lain bersama Al-Quran. Ia menjadi pemangkin untuk dihormati antara satu sama lain sejajar dengan prinsip akhlak dan fitrah yang dihargai bersama.

Hakikat ini akan berlaku apabila kepimpinan Islam, dapat menganjurkan kerjasama yang mendorong ke arah menyatukan orang-orang yang beriman kepada Allah tanpa mengira samada mereka mendapat gambaran makrifat ketuhanan yang  sempurna atau kurang sempurna. Mereka ini perlu didekati secara berhikmah agar prinsip persaudaraan dapat disebarkan. Mereka perlu diberi ruang untuk menyumbang ke arah kebaikan sejagat  sebagaimana Nabi Muhamad saw sebelum menjadi nabi, baginda telah dapat menyelesaikan suatu pertikaian antara puak yang mahu mendapat hak untuk meletakkan Batu Hajarul Aswad di Masjidil-Haram dan baginda telah memberi hak yang sama rata kepada semua pihak dengan cara mengangkat batu tersebut diatas kain serban baginda.

Umat Islam yang mendokong ajaran AI-Qur'an dan Sunnah Nabi Muhamad s.a. w . (hikmah yang terkandung pada hadis) berupaya menjemput para cendekiawan ahli kitab, dan pemimpin-pemimpin kaum yang menganuti ajaran nabi-nabi dan beriman dengan hari pembalasan Allah dalam suatu institusi yang mempunyai fungsi memantau usul-usul sejagat dan keharmonian kaum. Antara usul asas yang menjurus kepada keharmonian ialah:

1) Masyarakat adil.
2) Memupuk sifat mengasihi makhluk Allah.
3) Memupuk semangat persaudaraan dikalangan manusia.

Pencapaian daripada tiga prinsip ini adalah pengukur kepada Kerajaan Baldatun Tayyibat Warabbul-Ghafur.
Gagasan kedua ialah kata sepakat dikalangan anggota institusi antaranya ialah:
1) Sependapat tentang kebesaran Allah.
2) Sependapat menyuci nama-nama Allah
3)Sependapat menjauhkan diri daripada syirik dalam amal ibadat.
4) Sependapat untuk tidak membicarakan bagaimana Allah bersifat dengan sifat kesempurnaan.
5) Sependapat untuk saling mengakui perutusan dari risalah yang dibawa oleh semua rasul daripada Allah dan sebarang rumusan hendaklah di buat berpandukan usul-usul pokok yang terkandung didalam kitab Ilahi.
Berpandukan semangat kemanusiaan yang satu kerana manusia di jadikan Allah sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat dan tolong menolong antara satu sama lain ahli falsafah pernah menyatakan manusia mempunyai sifat yang suka bergaul memandangkan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam maka skop kerjasama kearah pembentukan manusia hendaklah berasaskan pengajaran daripada kitab-kitab ilahi.

JIHAD

Daripada semangat kerjasama yang kuat itu dapat membendung tindakan golongan jahat yang dipengaruhi oleh hawa nafsu terhadap golongan yang Jemah dan golongan yang jahat ini boleh meruntuhkan tamadun manusia dan menghancurkan sesebuah negara.
Sesungguhnya Allah S.W.T yang Maha Adil dengan sifat pengasih kepada hamba-Nya memerintahkan Nabi Muhamad s.a.w supaya melaksanakan keadilan untuk  menjamin ketenteraman dan keselamatan semua pihak walaupun secara kekerasan terhadap mereka yang membahayakan masyarakat dan memusnahkan tamadun manusia.
Sesungguhnya amalan yang jahat itu adalah bertentangan dengan manusia yang mempunyai akal sempurna yang sentiasa mengharapkan kebaikan kepada masyarakat umum. Oleh itu, mereka yang melakukan kejahatan dan penindasan itu telah sedar dan akur bahawa mereka adalah dipihak yang bersalah. Shah Waliyullah di dalam kitab Hujjatullah al-Balighah Juzuk 2 : m.s. 784) mengenai falsafah jihad yang bemaksud Kasih sayang yang penuh sempurna kepada umat manusia hanya Allah yang menunjukkan sifat ihsan supaya dapat menahan golongan yang zalim daripada melakukan kezaliman dan memperbaiki tamadun rumahtangga dan negara mereka. Negara yang dikuasai oleh jiwa yang bengis adalah halangan yang kuat umpama bahagian yang buruk pada badan manusia yang boleh menjadi sihat dengan membuangnya. Tabib dalam bidang itu yang menjelaskan mengenai tabiat kejadian tersebut dan berpendapat  bahagian yang buruk itu perlu dibuang. Melakukan kejahatan yang sedikit tetapi jika ia membawa banyak kebaikan, maka hukumnya adalah wajib untuk melakukan kejahatan tersebut. Beliau menambah, "Dan untuk engkau suatu iktibar dengan kaum Quraisy dan mereka yang berhampiran dikalangan bangsa Arab mereka itu makhluk Allah yang jauh daripada sifat ihsan. Mereka menzalimi golongan yang lemah, melakukan pembunuhan yang dahsyat, tawan menawan antara mereka tanpa menghalusi sebab dan dalil yang sepatutnya. Maka Nabi Muhamad s.a.w telah berjihad terhadap mereka dan membunuh dikalangan mereka dengan lebih dahsyat dan ganas sehingga lahirnya hukum Allah dan mereka patuh kepada hukum tersebut selepas itu mereka bersifat kasih sayang terhadap makhluk Allah dan tersusun elok urusan hidup mereka dengan adanya syariat hukum jihad maka terciptalah kasih sayang di dalam kehidupan.
Daripada penjelasan falsafah jihad ini, ia jelas menunjukkan bahawa ia dituju kepada mereka yang tidak mengakui hak-hak keadilan sebenar (Dinul-Hak).  Mereka tidak mengakui bahawa kebangkitan Nabi Muhamad s.a.w adalah untuk menundukkan golongan yang zalim dan menghalang mereka daripada melakukan penindasan terhadap golongan yang lemah. Nabi Muhamad s.a.w telah berjihad sehingga mereka tunduk dan berubah daripada kejahatan yang sebati dengan kehidupan mereka. Tidak kira samada mereka berubah secara sukarela atau dipaksa dan dihina. Bagi mereka yang memiliki jiwa bengis dan ganas mereka terpaksa patuh kepada kebenaran yang dikuatkuasakan ke atas mereka.
Fiman Allah surah Saff ayat 9:
Maksudnya: Ialah Tuhan yang mengutuskan rasulnya dengan petunjuk dan keadilan sebenar (Dinul-Hak) supaya melahirkan di atas semua agama walaupun pada keseluruhanya dibenci oleh kaum musyrikin.
Allah telah menjelaskan bahawa Nabi. Muhamad s.a.w mempunyai dua tugas penting iaitu Hidayah dan Dinul-Hak (keadilan sebenar). Untuk memberi Hidayah dan kefahaman Islam, nabi memberi didikan secara lemah lembut dan bersikap terbuka. Adapun dalam hal untuk menegak Dinul-Hak, Nabi Muhamad s.a.w terpaksa melaksanakan kekerasan dan berjihad terhadap mereka yang tidak mungkin mengubah sikap mereka yang melakukan kezaliman tanpa mengenal batas perikemanusiaan. Mengikut sejarah Saidina Umar dan tentera Islam semasa menjatuhkan kerajaan Rom beliau telah diberi penghormatan oleh Rahib supaya Saidina Umar bersembahyang didalam gereja tetapi beliau menolak dengan alasan jika beliau bersembahyang di gereja, nescaya orang Islam akan menjadikan gereja itu masjid dan beliau bertanya dimanakah pula penganut Kristian hendak beribadat?. Dari kenyataan Saidina Umar itu jelas bahawa jihad yang dianjurkan oleh Islam itu bukannya untuk menegakkan syiar Islam tetapi untuk menghalang  jiwa yang ganas dan bengis daripada melakukan kezaliman terhadap manusia yang lemah dan memaksa mereka supaya patuh kepada peraturan yang menjamin keadilan sebenar (Dinul-Hak)  supaya dapat melahirkan keharmonian masyarakat.
Mana-mana pihak pun akan menentang jika kehidupan mereka diganggu oleh jiwa bengis dan ganas yang menghalang mereka daripada mengecapi kesempurnaan hidup dan alangkah baiknya jika ada pihak yang sanggup berjihad demi kesucian dan rahmat  kepada masyarakat umum.
Allah mengutuskan nabi akhir zaman untuk memberi rahmat kepada seluruh alam dan mengemblengkan seIuruh keupayaan yang ada daripada semua pihak serta mengajak mereka bekerjasama berasaskan tuntutan yang sama daripada ajaran semua nabi antara kami dan kamu kearah membina asas perpaduan dan keharmonian sejagat sebagaimana yang disarankan didalam kitab Allah (Al-Imran ayat 64).
Prinsip persamaan Dinul-Hak dikalangan semua syariat menjadi pemangkin kearah kerjasama dan perpaduan dikalangan semua ahli syariat usaha kearah pencapaian itu dapat mengukur sejauh mana umat Islam dapat melaksanakan ajaran AI-Quran dan Sunnah untuk membentuk umat yang satu dan meletakkan Islam diatas ikatan perpaduan umat manusia serta Berjaya membuktikan bahawa Islam itu tinggi daripada yang lain seperti mana yang dimaksudkan oleh Nabi Muhamad s.a.w.
"Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya"
Untuk menzahirkan kebenaran di atas semua tanpa batas kepuakan sebagai persediaan Rahmatan bil alamin.
Disusun oleh:Hasan bin Muhamad. AJK Pertubuhan Pengajian Islam Negeri Kelantan.