Thursday, July 19, 2018

KEHIDUPAN MANUSIA MEMERLUKAN PENGAJARAN PARA NABI YANG DIUTUS DARIPADA TUHAN

2

KEHIDUPAN MANUSIA MEMERLUKAN PENGAJARAN PARA NABI YANG DIUTUS DARIPADA TUHAN

Allah jadikan tabiat dan kelayakan manusia berbeza antara satu sama lain, tetapi semua manusia memerlukan kehidupan yang bahagia. Jika manusia tidak mencapai kehidupan yang bahagia, ini bererti rahmat yang ditetapkan dalam perutusan para nabi tidak terhasil.

Maka mengikut hikmat Allah, dijadikan dalam kalangan manusia golongan mufahhamun yang dikurniakan ilmu secara khusus. Golongan ini diterangkan oleh Syah Wali Allah Al-Dihlawi seperti berikut:


“Ketahuilah bahawa peringkat manusia yang paling tinggi ialah golongan mufahhamun. Mereka adalah ahli istilah (mempunyai kekuatan malaikat yang seimbang dengan kekuatan haiwan) di mana kekuatan malaikat mereka berada pada darjah yang amat tinggi yang mendorong mereka melahirkan suatu cita-cita dalam usaha menegakkan peraturan untuk membentuk masyarakat dengan dorongan benar dan tercurah ke atas mereka beberapa pengetahuan dan ehwal Ilahi daripada Al-Mala al-aala.

Ada banyak golongan Mufahhamun. Kelayakan mereka juga berbeza. Syah Wali Allah menerangkannya seperti berikut.

Mereka yang menerima daripada Allah pengetahuan tentang pembersihan jiwa dengan amalan ibadat. Golongan ini dinamakan orang yang sempurna atau Al-Kamil.

Mereka yang menguasai ilmu akhlak yang utama dan ilmu pentadbiran keluarga. Golongan ini dinamakan Al-Hakim.

Mereka yang menguasai ilmu siasah secara menyeluruh untuk menegakkan keadilan dalam masyarakat dan membasmi kezaliman. Mereka dinamakan Pengganti Allah atau Khalifah.

Mereka yang didampingi oleh Jemaah Malaikat Tertinggi (Al-Mala al-aala) yang mengajar mereka sesuatu, menurun dan memperlihatkan kepada mereka sesuatu di alam malakut. Tangan mereka melahirkan pelbagai keramat. Mereka dinamakan orang yang disokong oleh roh suci.

Mereka yang dilahirkan di hati dan kata-kata dengan cahaya petunjuk yang berguna kepada manusia yang bersahabat dan mendengar nasihat mereka. Mereka mewariskan ketenangan dan cahaya petunjuk kepada sahabat-sahabat sehingga mereka menjadi sempurna. Mereka memimpin manusia dengan gigih. Mereka dinamakan penunjuk dan pendidik.

Mereka yang menguasai ilmu cara membentuk millah kebangsaan berdasarkan syariat Ilahi dan kebaikannya. Mereka berusaha dengan gigih membangunkan millah yang telah runtuh. Mereka dinamakan pemimpin atau Al-Imam.

Mereka yang diilhamkan supaya memberi amaran revolusi dan bala yang telah ditakdirkan kepada manusia mengikut peraturan alam di dunia. Mereka menyedarkan manusia dengan laknat Allah ke atas satu kaum dan memberitahu kepada manusia perkara tersebut. Pada masa tertentu mereka mengasingkan diri daripada tawanan nafsu dan tergambar kepada mereka peristiwa alam kubur dan alam Mahsyar nanti. Mereka memberitahu kepada orang ramai semua peristiwa itu. Mereka dinamakan orang yang memberi amaran bahaya pembalasan Ilahi atau Munzir.

Allah bangkitkan golongan mufahhamun ini pada setiap zaman untuk menyatukan manusia yang berbeza kelayakan dan pendapat, menundukkan sifat haiwan supaya patuh kepada sifat malaikat pada jiwa manusia.

Walaupun akal manusia yang sejahtera dapat mengenal kebaikan dan keburukan, tetapi manusia sentiasa dalam keadaan lemah kerana diselubungi oleh hijab tabii (nafsu), hijab resam, hijab pengenalan yang salah. Hijab-hijab ini menghalang kelahiran fitrah manusia yang sejati. Maka manusia memerlukan seorang yang bijaksana yang boleh memimpin mereka ke jalan yang sesuai dengan kebenaran. Mereka berpegang tenguh dengan jalan itu. Mereka sanggup menentang sesuatu yang bercanggah dengan jalan itu.

Golongan mufahhamun ini diperlukan dalam masyarakat kecil dan lebih diperlukan dalam masyarakat yang besar. Tugas mereka ialah mengadakan satu peraturan kehidupan yang baik dan adil untuk manusia.

Bagi masyarakat yang besar dengan penduduk yang berbeza daripada segi kepercayaan dan keturunan, sudah pasti memerlukan salah seorang mufahhamun yang mempunyai fitrah yang bersih, benar-benar mengetahui kaedah memerintah dan mentadbir untuk kebajikan rakyat, berjiwa tinggi dan boleh berhubung dengan alam malakut.

Tidak dapat dinafikan bahawa golongan mufahhamun ini penting kepada manusia untuk memimpin manusia ke jalan kebahagiaan yang sebenar dan abadi. Manusia memang memerlukan mufahhamun. Keperluan ini adalah perkara pasti dan menjadi kehendak fitrah manusia. Manusia mesti mengikuti pengajaran mufahhamun. Perkara ini ditegaskan oleh Syah Wali Allah seperti berikut:

“Demikian juga terdapat tukang besi, tukang kayu dan seumpama kedua-duanya, kebanyakan manusia tidak dapat melaksanakannya melainkan dengan peraturan-peraturan yang diwarisi daripada mereka yang dahulu dan guru-guru yang memimpin dan menggalakkan mereka kepadanya. Oleh itu apakah tanggapan anda dengan tuntutan yang mulia ini yang tidak diberi petunjuk kepadanya selain daripada orang yang diberi taufik dan tidak gemar kepadanya selain daripada orang yang ikhlas”.

    Maka dalam urusan siasah dan pentadbiran yang sangat mulia tujuan dan tajuknya, mustahil manusia dapat melakukannya tanpa pimpinan yang diusahakan oleh golongan mufahhamun yang tersebut itu. Mereka adalah golongan yang mempunyai pengetahuan kenabian walaupun sebahagian dari mereka tidak dikurniakan martabat nabi, seperti martabat Saidina Abu Bakar Sidiq, Saidina Umar Al-Faruk dengan martabat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., tetapi mereka yang mempunyai martabat ini boleh memberi pendapat kepada Nabi dan Nabi juga boleh meminta sebarang nasihat daripada mereka, sebagaimana berlaku di antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya itu kerana martabat mereka seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar mempunyai kelebihan dan kefahaman kenabian yang sama dengan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Mereka yang mempunyai martabat ini pada zaman dahulu pernah dipanggil dengan gelaran nabi, seperti Nabi Muhammad s.a.w. bersbda:

‘Ulama dalam umatku sama dengan para nabi dalam Bani Israel’.

Selapas Nabi Muhammad s.a.w., ulama Ahli Sunah Wal-Jamaah telah sepakat menegah dari menggunakan gelaran nabi supaya tidak terkeliru dengan pangkat kenabian Nabi Muhammad s.a.w. yang ditetapkan oleh Al-Quran sebagai penyempurna semua martabat kenabian yang dikurniakan oleh Allah kepada semua nabi dan rasul yang diutus dahulu. Oleh sebab itu mereka yang kemudian digelar mujaddid atau pembaru jalan menegakkan pengajaran agama atau ahli hikmat (ahli falsafah).

Imam Syah Ismail Al-Syahid menerangkan dalam kitab Abaqat seperti berikut:

“Bahawa Nabi s.a.w. tidak meninggalkan suatu panduan yang wajib diikuti di dunia ini selain daripada Al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w. dan fahaman yang dikurniakan kepada hukama (ahli falsafah), itu adalah kerana darjahnya yang terkawal dan dirinya dikurniakan ilmu daripada Allah secara khusus. Perbuatannya sentiasa sesuai dengan wahyu Ilahi”.

Saidina Ali berkata:

“Bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. tidak meninggalkan di sisi kita hanya Al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w., malah fahaman yang dikurniakan kepada seorang lelaki dengan Al-Quran (ini juga ditinggalkan)”.

Kebangkitan golongan mufahhamun ini tidak terhenti dengan kelahiran Nabi s.a.w. sebagai khatamun nabiiyin, kerana maksud khatamun nabiyiin adalah penutup martabat semua nabi atau penyempurna martabat semua nabi. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. bukan sebagai khatamun nubuwah atau penyempurna maqam kenabian. Ini bererti selepas Nabi Muhammad s.a.w. akan terus dilahirkan individu-individu yang mempunyai martabat dan kefahaman pengetahuan kenabian Nabi s.a.w. untuk menyebarkan pengajaran Al-Quran kepada manusia. Hanya seseorang yang memiliki pengetahuan kenabian (nubuwah) Nabi s.a.w. boleh memahami Al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Maka kata-kata Saidina Ali di atas menerangkan bahawa selain dari kitab Allah dan sunah Rasulullah s.a.w. yang ditinggalkan untuk panduan kita, juga fahaman Al-Quran dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada seorang rasikhunafil ilmi yang dinamakan Hikmat Al-Islam.

Sebenarnya, hanya mereka yang mempunyai martabat pengetahuan yang tinggi ini layak mentafsirkan dan mentakwilkan ayat-ayat muhkamat dan ayat-ayat mutasyabihat di dalam Al-Quran. Golongan ini sentiasa terdapat pada setiap zaman, setiap bangsa dan benua sejak zaman Adam a.s. hingga hari kiamat. Mereka adalah petugas yang memenuhi kehendak Allah s.w.t. untuk melimpahkan rahmat-Nya kepada seluruh manusia, memimpin manusia supaya mengenal kebenaran dan mencapai kebahagiaan yang abadi.

Banyak hadis yang menunjukkan golongan ini memang terdapat dalam masyarakat. Misalnya Nabi s.a.w. bersabda:

“Sesungguhya Allah tidak menghendaki dari atas ‘Arasy bahawa Abu Bakar itu akan melakukan kesilapan di bumi ini”.

Baginda bersabda lagi:

Segala pujian bagi Allah, Tuhan yang memberi sokongan kepadaku dengan Abu Bakar dan Umar sebagaimana Ia memberi sokongan kepadaku dengan Jibrail dan Mikail.

Baginda bersabda lagi:

Kebenaran itu berkata-kata di atas lidah Umar.

Kehidupan manusia memerlukan pengetahuan kenabian. Hanya pengetahuan kenabian dapat memimpin manusia menggunakan material secara seimbang dengan perkembangan akhlak dan rohani untuk memperoleh kehidupan dan kebahagiaan yang abadi. Maka Allah mengutuskan kepada setiap umat di dunia ini nabi-nabi yang memimpin mereka mengikut kehendak Allah s.w.t. Allah taala berfirman:

Sesungguhnya telah Kami bangkitkan dalam setiap umat itu nabi supaya menyuruh mereka menyembah Allah dan menjauhi daripada taghut.

Firman-Nya lagi:

Dan tidak ada satu umat pun melainkan telah datang dalam kalangan mereka nabi yang menakutkan dengan azab Ilahi.

Firman-Nya lagi:

Dan sesungguhnya telah Kami utuskan beberapa rasul sebelum dari engkau wahai Muhammad, sebahagian daripada mereka itu ialah rasul-rasul yang Kami telah ceritakan kepada engkau dan sebahagian lagi rasul-rasul yang Kami tidak pernah menceritakan hal mereka kepada engkau.  

    Syeikh Thana Ullah menerangkan dalam tafsir Al-Quran berjudul Bikalam Al-Rahman bahawa rasul-rasul yang pernah diceritakan Allah ialah Nabi Musa, Isa, Zakaria, Ibrahim, Ismail, Ishak dan lain-lain. Rasul-rasul yang tidak pernah diceritakan ialah rasul yang diutus di negara-negara India, Parsi, Eropah, Afrika dan China.

Ringkasnya, kepada setiap umat di dunia ini Allah mengutuskan rasul atau nabi. Selain daripada nabi-nabi yang diutus di semananjung Arab dan Timur Tengah, nabi dan rasul seperti Zahr Dahst di Iran, Krishna di India, Socrates di Yunan, Buddha di Burma, Confucius di China dan Shinto di Jepun.

Ulama Islam yang muhakik telah sekata berpendapat bahawa nama-nama yang tersebut di atas adalah dari golongan mufahhamun yang bergelar nabi pada zaman mereka. Mereka meninggalkan pengajaran mereka berbentuk suhuf dan kitab suci untuk umat mereka. Walaupun kitab-kitab mereka telah berubah kerana kelemahan semasa menterjemahnya, tetapi teks asal risalah suci mereka masih kekal hingga kini. Jika anda berpeluang membaca kitab-kitab itu, anda akan dapati kebenaran yang kami nyatakan. Jika teks asal telah hilang sudah tentu Allah taala tidak mengizinkan Nabi Muhammad s.a.w. menyeru Ahli Kitab supaya bekerjasama dengan baginda untuk mengikuti pengajaran yang sama. Allah berfirman:

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan sesuatu jua pun, dan jangan pula sebahagian yang lain jadikan orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah, kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang Islam”.  

    Semua umat di dunia ini telah menerima utusan berupa seorang nabi yang menyeru mereka supaya kembali kepada kebenaran dan memimpin mereka supaya berusaha untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Anda perlu faham bahawa pangkat kenabian nabi yang diutuskan kepada satu umat itu tidak sama dalam martabat ilmu; kerana pengetahuan nabi yang diutuskan itu sesuai dengan kebolehan dan perkembangan akal dan pengetahuan dan usaha yang terdapat pada umatnya.

Maka ada umat yang diutus seorang kamil, manakala umat lain pula diutus seorang munzir, atau bagi umat yang lebih tinggi pengetahuan diutus seorang hakim atau atau seorang yang lebih tinggi lagi martabat kenabiannya.

Nabi-nabi sebelum Nabi Musa a.s. hanya diutus kepada satu kaum tertentu, misalnya Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Salleh dan Nabi Hud. Walaupun Nabi Musa a.s. diutus untuk kaumnya, tetapi skop pengajarannya adalah lebih luas daripada skop pengajaran nabi-nabi sebelumnya.

Hanya Nabi Muhammad s.a.w. diutus untuk semua umat manusia di dunia seperti firman Allah,

‘Tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk semua manusia, mengembira dan menakutkan; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui’. (Quran: 34: 28).

Kesimpulannya, fitrah manusia memerlukan nabi untuk pemimpin dan mengajar mereka perkara yang mereka tidak ketahui. Pengajaran para nabi kepada setiap kaum menjadi asas yang kukuh untuk membentuk semula semangat perpaduan antara umat-umat di dunia ini di bawah pengajaran tauhid yang terkandung dalam Al-Quran yang agung.

(NHA020913)

Muqadimah takwil Qur'an haji Nik Mohd Salleh Haji Wan Musa..