Monday, February 25, 2019

SIAPAKAH YANG WAJIB PERGI HAJI.

SIAPAKAH YANG WAJIB PERGI HAJI.

Tidak dapat dinafikan pentingnya IBADAT HAJI sebagai rukun Islām yang kelima kepada perkembangan pemikiran dan persatuan umat Islām di seluruh dunia. Pentingnya bukan sahaja dipadang dari segi ibadat perseorangan, akan tetapi yang lebih utama dipandang dari segi PERSATUAN UMAT ISLĀM, yang merupakan “United nations” yang pertama dan terunggul bagi umat Islām. Mengunjungi Bait Allāh al- Ḥaram, yang disebut di dalam Al-Qurʾān sebagai Rumah pertama di dunia bagi umat Islām, menggiatkan kita seluruhnya kepada perjuangan Nabi Ibrāhīm AS yang telah berjaya meletakkan asas International Soceity bagi semua umat yang beragama mengikut Millah Ḥanīfī yang dibawa oleh Nabi Ibrāhīm AS itu.

Kunjungan untuk haji itulah satu-satunya jalan bagi umat Islām berkumpul kembali untuk menyatakan suka-duka, susah-senang dalam perkembangan fikiran dan pentadbiran dan bertukar-tukar fikiran untuk mencari jalan bagi terus berjuang memperkembangkan ajaran Islām ke seluruh dunia.

Akan tetapi, sekarang, ibadat haji hanya merupakan ibadat perseorangan, pertemuan umat Islām yang beku dan tidak bermaya, perhimpunan yang lebih merupakan tradisi dan memaknakan ibadat ini sebagai suatu perhimpunan untuk meminta ampun kepada Tuhan dengan perbuatan-perbuatan yang aneh dan sia-sia. Dan kalau dipandang secara kasar sahaja, kehadiran umat Islām ke Makkah adalah amat merugikan sama sekali. Wang dihabiskan ribuan ringgit dengan masa yang dibuang percuma, dan ketika peluang tidak ada yang dibawa selain daripada ‘adat Arab’ dengan jubah dan egal sahaja. Dan lagi paling tinggi disebut ‘Tok Haji”, sedangkan  pemikirannya tidak bertambah, pengalamannya sebagai mubaligh Islām tidak bertambah, malah kadang-kadang lebih aniaya (zalim) lagi setelah pulang dari haji.

Oleh sebab kita tidak pernah mendalami agak sebentar mengenai tujuan ibadat haji yang mengandungi pengertian-pengertian politik dan berhubung langsung dengan kekuasaan yang ofensif dari Islām, maka kita telah dihanyutkan oleh pengertian-pengertian jumud beku (jumud) dan statik daripada ʿulamāʾ-ʿulamāʾ kita. Kita tidak diberi pengertian yang sebenar. Kita tidak diberi pentafsiran yang jujur terhadap ayat-ayat Al-Qurʾān mengenai ibadat haji ini. Kita hanya digalakkan untuk pergi haji, tetapi kita tidak diberitahu untuk apa. Sebab, setiap perhimpunan mempunyai maksud yang luas dan mempunyai pengertian yang berlainan daripada ibadat-ibadat perseorangan seperti sembahyang lima waktu atau puasa bulan Ramadan.

Sebenarnya kita telah dihanyutkan oleh ʿulamāʾ-ʿulamāʾ  kita yang beku, statik dan anti-sejarah, sehingga kita tidak mengerti sedikit pun untuk apa kita pergi haji.

Di dalam Al-Qurʾān Tuhan telah menyeru seluruh umat Islām supaya pergi haji, dari jauh dan dekat, dari setiap penjuru dunia, dengan kenderaan dan berjalan kaki, mesti berkumpul dan melihat atau berbincang tentang apa sahaja masalah, dan melakukan korban sebagai ingatan terhadap pengorbanan nabi-nabi yang lalu dalam menegakkan Islām. Ini perlu kita melihat kepada sejarah perkembangan Islām dan mempelajarinya.

Di dalam Al-Qurʾān, surah al-Imrān ayat 6, menyebutkan:

Sesungguhnya rumah yang mula-mula diperbuat tempat manusia beribadat, ialah Baitullāh di Makkah, yang mempunyai berkat dan untuk petunjuk kepada seisi alam.

Ini merupakan markas utama bagi umat Islām sedunia, sebagai satu perwujudan dari pelaksanaan cita-cita Ibrāhīm AS untuk menyatukan seluruh umat manusia yang menganut agama Ḥanīfī yang diasaskan oleh beliau. Walaupun penentangan-penentangan dilakukan oleh orang Yahudi dan Naṣrānī, itu hanyalah dari sikap beku dan fanatik mereka kepada nab-nabi yang diutus lebih dahulu dari Nabi Muḥammad SAW. Pada zaman Rasūl Allāh SAW mereka terus diseru supaya kembali kepada kitab-kitab mereka, kerana di dalam kitab-kitab itu mereka akan tersua dengan pengajaran Islām yang asas. Ini termaktub dalam ayat 64 dari surah ini juga. Apabila pengajaran yang asas itu ditemui bersama, maka mudahlah tercipta International Soceity sebagai yang dicita-citakan oleh Ibrāhīm A.S. dan dilanjutkan oleh nab-nabi Allāh yang  lain.

Akan tetapi penyataan tentang kerasulan Muḥammad  SAW telah ditolak mentah-mentah oleh kaum Yahudi dan Naṣārā. Mereka fanatik (syirik) dan mendewa-dewakan nab-nabi dalam kalangan mereka sahaja. Dan dari sifat fanatik dan memuja-muja nabi-nabi dalam kalangan mereka itulah maka Persatruan Umat tidak tercapai, sebagaimana yang dikehendaki oleh Ibrāhīm AS iaitu ‘bapa’ dari semua millah Ḥanīfī.

Cita-cita inilah kemudiannya dilanjutkan oleh Nabi Muḥammad  SAW dan beliau terus berjuang untuk menegakkan Persatuan Umat di seluruh dunia, iaitu dengan membenarkan kitab-kitab dan nabi-nabi yang dahulu, kerana dengan membuat pengakuan membenarkan perjuangan-perjuangan orang yang lalu sahajalah merupakan satu jalan yang ringkas ke arah Persatuan Umat itu.

Dan untuk ini, Nabi Muḥammad  SAW telah mengubahkan kiblat umat Islām ke Baitullāh, tidak lagi ke Baitul Muqaddis. Dan ini bertepatan pula dengan saranan-saranan beliau sebagai nabi yang diutuskan di tanah Arab.

Untuk melihat perkembangan penyatuan umat inilah maka ibadat haji bukanlah ibadat biasa yang bersifat perseorangan, akan tetapi mengandungi cita-cita politik dan kekuasaan yang kental, yang dengan sedar dilakukan oleh Nabi Muḥammad  SAW dan sahabat-sahabatnya.

Dalam surah tersebut juga (al-Imrān), ayat 97, dengan terang Allāh menyatakan orang yang diwajibkan haji:

Di sana (Makkah) beberapa tanda yang nyata, antaranya maqām Ibrāhīm. Sesiapa yang masuk ke Makkah nescaya mendapat aman sentosa. Allāh wajibkan atas manusia mengerjakan haji (hajjul bait) ialah orang yang layak (manistata’a) atas polisinya (sabillillah). Sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allāh maha kaya daripada sekalian alam.

Dalam ayat ini nyata bahawa Allāh menerangkan bahawa Makkah mempunyai lambang markas ketinggian perjuangan Nabi Ibrāhīm (A.S. Yang dimaksudkan dengan maqām Ibrāhīm itu ialah Baitullāh atau Ka‘bah yang dijadikan markas untuk Persatuan Umat bagi seluruh dunia. Maqām itu bukannya pusara Nabi Ibrāhīm sebagaimana yang kita diberitahu oleh ʿulamāʾ-ʿulamāʾ kita selama ini. Maqām yang sebenar ialah maqām ketinggian dan pelaksanaan dari cita-cita perjuangan pengasas agama Ḥanīfī itu. Maqām itu, iaitu Ka‘bah adalah lambang perjuangan yang mesti diteruskan oleh orang kemudian untuk menuju persatuan umat atau International Soceity itu.

Dan orang yang diwajibkan haji itu ialah orang yang terpilih, kerana kehadirannya ke Makkah adalah berhubung langsung dengan politik dan pemerintahan atau kekuasaan.

Perkataan ‘ḥaji’ dalam ayat ini ‘ḥijju-bait’  berasal dari ḥujja yang disebut juga sebagai ḥujjah ialah muzaharah (mempamerkan kekuatan) dari kekuatan atau perbarisan yang hebat dan ramai. Jadi pengertian yang tetap ialah Perhimpunan Perbarisan baik dalam ibadat atau pelaksanaan dari cita-cita politik dan kekuasaan Rasūl Allāh SAW Dan orang yang membuat perbarisan itu adalah mereka yang mempunyai kelayakan iaitu disebutkan dengan kalimah manistata’a.

Syeikh berkata, maksud haji ialah perhimpunan millah-millah Islām di Makkah; kerana agama perlukan perhimpunan seperti itu dan inilah perhimpunan yang tertinggi, manakala perhimpunan pertama ialah perhimpunan di rumah. Perhimpunan kedua ialah perhimpunan peringkat daerah. Perhimpunan ketiga ialah perhimpunan peringkat negeri. Perhimpunan keempat ialah perhimpunan peringkat antara-millah. Manakala Madinah adalah pusat perhimpunan kerajaan ‘Arab dan Makkah adalah pusat perhimpunan semua millah peringkat antarabangsa.

Dengan perhimpunan seperti itu dapat meyebarkan undang-undang Ilahi ke seluruh dunia dan perhimpunan peringkat keempat ini terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama perhimpunan golongan rendah, kedua golongan sederhana dan ketiga golongan tinggi.

Dalam perhimpunan ini ketua setiap millah diwajibkan hadir, tetapi di pusat perhimpunan itu tiada ketua. Jika tidak demikian perhimpunan itu akan menjadi paksaan ke atas semua millah. Jika ada ketua, maka semua millah lain akan menjadi hambanya dan merosakkan perhimpunan. Mereka hendaklah mempunyai kebebasan yang secukupnya dan terselamat dari menjadi hamba kepada sesiapa melainkan kepada Allāh yang Esa yang Maha Kuasa.

Apabila tiada ketua di pusat perhimpunan ini, maka setiap orang wajib berpegang teguh kepada Allāh dan berpegang kepada diri sendiri terlebih dahulu dan dari situ terbentuk satu peraturan. Peraturan perhimpunan ini tidak mungkin rosak selama-lamanya walaupun berlaku gegaran yang kuat. Jika sistem itu tidak terjadi dari diri mereka sendiri, kerosakan itu berlaku apabila berlaku gegaran yang meruntuhkan dan memusnahkan, kerana perhimpunan tidak boleh diadakan melainkan terdapat pada setiap seorang itu perkara yang berfaedah kepada orang lain atau boleh diambil faedah daripada orang lain. Jika tidak demikian, tidak mungkin berlaku perhimpunan.

Gegaran yang kuat boleh memusnahkan perhimpunan seperti itu dan perhimpunan manusia pada satu masa itu pasti terdapat keburukan dan pada masa yang lain terdapat kebaikan. Jika diandaikan tidak berlaku keburukan, andaian ini tidak mungkin diterima kerana fitrah manusia; tetapi apabila terdapat kebaikan lebih banyak daripada keburukan, maka perhimpunan itu dikira baik. Jika terdapat lebih banyak keburukan pada perhimpunan itu, maka perhimpunan itu dikira perhimpunan yang buruk.

Orang yang berihram memakai pakaian ihram selama tiga bulan seolah-olah mereka menunjukkan kepada kumpulan dalam perhimpunan bahawa mereka berpegang kepada sistem mereka sendiri dan tidak melakukan sebarang bentuk kezaliman termasuklah terhadap rambut, kuku dan lain-lain. Jika seseorang mahu menguasai perhimpunan itu secra paksaan, dia dianggap sebagai Firʿaūn. Allāh berfirman:

dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya. (Quran: 22: 25).

Haji nik mohd saleh haji wan Musa