Friday, May 13, 2016

Berpegang Dengan Rupa.

Berpegang Dengan Rupa.

Berpegang dengan rupa semata-mata boleh menyebabkan mereka tidak mampu membeza antara kebenaran dan kebatilan kerana hanya melihat pada rupa(zahir) sedangkan rupa pasti berubah setiap zaman mengikut keperluan. Walaubagaimanapun  maksud/nilai tidak akan berubah selama-lamanya.

Apabila rupa berubah, mereka ingkar kerana tidak memahami maksudnya (hikmahnya - ada kebaikkan yg tersirat).

Firman Allah swt: "Orang kafir dari Ahli Kitab dan orang musyrik tidak suka bahawa diturunkan atas kamu kebaikan dari Tuhan kamu, (Al-Qurʾān: 2: 105)

Maksud kebaikan ialah undang-undang Al-Qurʾān, kerana apabila manusia beramal dengannya mereka akan mendapat kebaikan di akhirat dan berkerajaan di dunia. Orang Yahudi dan Naṣranī bimbang rupa Kenaṣranīan dan Keyahudian yang khusus kepada mereka akan berubah kerana Nabi (S.A.W.) datang mengiktiraf maksud-maksud yang terdapat di sisi Mūsā tetapi dengan rupa yang berbeza. Oleh kerana mereka terikat dengan rupa yang khusus di sisi Mūsā dan ʿĪsā; mereka tidak menerima rupa yang dibawa oleh Nabi (S.A.W.).

"Mana-mana ayat yang Kami mansuhkan dia, atau Kami lupakan dia, Kami gantikan dengan yang lebih baik daripadanya atau seumpamanya. Tidakkah engkau ketahui, bahawa Allāh itu amat berkuasa atas setiap sesuatu?" (Al-Qurʾān: 2: 106).

Dan firman Allah swt lagi;
Dan mereka berkata: “Tidak akan masuk syurga melainkan siapa-siapa yang jadi Yahudi atau Nasranī, (Al-Qurʾān: 2: 111)

Maksudnya, orang Yahudi berkata bahawa tidak masuk ke syurga sama sekali melainkan dalam bentuk rupa Yahudi yang khusus. Orang Nasranī mendakwa demikian juga. Ayat ini menerangkan satu contoh mereka yang terikat kepada rupa yang khusus dalam sharīʿat mereka sahaja dan mereka berpegang dengan rupa agama yang khusus tanpa memahami maksudnya.

Yang demikian itu angan-angan mereka. Katakanlah: “Tunjukkanlah keterangan kamu jika memang kamu orang yang benar”. (Al-Qurʾān: 2: 111)

Inilah jawapan kepada mereka, dan membatalkan sifat mereka yang terikat dengan rupa yang khusus di sisi mereka tanpa mengambil maksudnya.

Anda hendaklah memahami;
1) rupa dan
2) maksud yang diraikan yang mengawal hikmah dan kebaikan.

Contohnya; rupa sembahyang, taharah, perbuatan-perbuatan sembahyang seperti rukuk, sujud dan lain-lain; dan maksud sembahyang ialah zikir dengan erti mengingati Allāh pada semua keperluan kita. Itulah sebabnya apabila seseorang sembahyang bersendirian di rumahnya, ingatannya kepada Allāh sedikit kerana segala keperluan yang merujuk kepada diri seorang individu adalah sedikit. Apabila sembahyang dilakukan secara berjemaah maka mengingati Allāh adalah lebih banyak kerana keperluan jemaah adalah banyak. Sekarang orang ramai tidak memahami maksud, tetapi mereka menumpu kepada rupa sahaja seperti menyamakan barisan, mengangkat tangan ke paras bahu atau telinga; dan mereka dapati banyak percanggahan.

Ketahuilah bahawa maksud itu tidak akan pernah berubah dan tidak bertukar. Rupa pasti berubah mengikut keperluan zaman. Sekarang ramai orang tidak faham perubahan itu dan mereka masih menetap di atas rupa  kerana tidak memahami maksud. Mereka menganggap dengan rupa itu mereka boleh sampai kepada maksud juga.

Dalam fasal ini juga diterangkan bahawa setiap orang yang berpegang dengan rupa (pelaksanaan syariat) sahaja tidak mendatang sebarang faedah. Allāh taʿālā berfirman:

Bukanlah kebajikan itu kamu memalingkan muka-muka kamu ke arah Timur dan Barat. (Al-Qurʾān:2:177)

Ahli kitab menganggap pemindahan kiblat dari Bait al-Maqdis ke Kaʿbah di Mekah adalah perkara besar, kerana mereka berpegang kepada rupa semata-mata.

Firman Allah swt:
"Wahai orang yang berakal! supaya kamu bertakwa. (Al-Qurʾān: 2: 179).
    Orang yang berakal ialah mereka yang mengetahui nilai kehidupan dan memeliharanya, mengetahui perkara yang dapat dilaksanakan untuk kebaikan umum dan perkara yang boleh disampaikan kepada mereka.

admin.

No comments:

Post a Comment