Monday, May 9, 2016

AMALAN PUASA DAN MANUSIA SEJAGAT.

AMALAN PUASA DAN MANUSIA SEJAGAT.

Al-Baqarah:183 - Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi telah mengenali amalan puasa.

Orang Greek dikatakan mengetahui mengenai puasa daripada orang Mesir purba. Mereka berpuasa sejurus sebelum mereka pergi berperang. Orang Rome yang ikut jejak langkah orang Greek juga berpuasa, terutamanya apabila diserang oleh musuh, untuk memperoleh kemenangan. Mereka percaya amalan puasa menguatkan mereka dan mengajar mereka kesabaran dan ketahanan, iaitu dua nilai yang diperlukan untuk kejayaan dalam perjuangan melawan nafsu batin mahupun musuh yang lahir.

Amalan puasa bagi mereka yang menempuh masa dugaan dan sengsara juga dilakukan oleh orang Cina purba, sementara amalan itu, dalam kebanyakan agama yang terawal, hanya bertujuan supaya tuhan-tuhan berbudi baik atau untuk menambahkan bekalan makanan mereka.

Lain pula dengan kepercayaan Hellensitik purba. Tuhan-tuhan mereka dipercayai sampaikan wahyu dalam mimpi dan visi hanya selepas berpuasa dengan penuh ikhlas.

Seperti itulah orang dayak di Amerika Utara yang mengamalkan puasa sebelum atau sedang dalam ikhtiar mendapatkan visi. Golongan syaman (orang alim yang dikatakan mempunyai kuasa untuk menyembuhkan penyakit dan berhubung secara psikik), di kalangan orang Evenk atau dulu dipanggil Tungus dari Siberia, lazimnya menerima visi yang awal bukan dengan sesuatu ikhtiar tetapi setelah jatuh sakit yang tidak dapat diterangkan; namun, selepas visi awal itu mereka berpuasa dan melatih diri untuk melihat visi yang selanjutnya dan untuk mengawal roh.

Puasa juga dilakukan kerana sesuatu sambutan yang dianggap suci. Golongan paderi di kalangan kaum dayak Pueblo di barat-daya Amerika berpuasa semasa mereka menyendiri sebelum upacara utama yang berkaitan dengan pertukaran musim.

Di negeri Cina, lazimnya berpuasa pada suatu jangka masa yang ditentukan sebelum lakukan sesuatu pengorbanan pada malam solstis musim sejuk iaitu ketika kuasa 'Yang' (kuasa positif) dipercayai memulakan kitaran barunya.

Dalam anutan Judaisme, berpuasa menurut cara-cara tertentu serta lakukan meditasi tertentu akan membawa kepada keadaan bersawai, atau menurun, yang membolehkan individu memisahkan diri daripada dunia.

Adat Mesir dan Babylon purba menganggap amalan puasa sebagai satu cara untuk menebus dosa berserta tindakan lain yang menunjukkan kesedihan.

Beberapa puak di Peru sebelum zaman Columbus juga menganggap puasa sebagai satu daripada syarat untuk menebus dosa.

Di dalam al-Quran puasa turut disebut sebagai satu daripada cara untuk menebus kesalahan. Pertama, kesalahan yang berkaitan dengan ibadah haji. Terdapat 2 ayat mengenainya: (2:196), (5:95).

Kedua, dalam kes pembunuhan.
(4:92).

Ketiga, untuk menebus sumpah yang tidak disempurnakan. (5:89).

Keempat, kerana menzihar isteri (58:3-4).

Kerana perkembangan yang pesat dalam zuhud pada abad pertama dan kedua, amalan puasa jadi suatu cara penting untuk menanggalkan badan daripada ikatan amalan kebendaan dan keseronokan, lalu membolehkan individu mencapai darjat tinggi yang baik dan mendekatkan dengan roh suci. Pun begitu, para biarawan diberi amaran supaya menjauhkan berpuasa dengan melampau yang boleh memudaratkan badan dan roh.

Selain mengamalkan puasa 40 hari dalam tempoh Lent, mazhab Roman Katholik dan Ortodoks Timur berpuasa semasa Advent, iaitu suatu jangka masa untuk bertaubat sebelum Krismas. Di kalangan Roman Katholik amalan itu telah diubah sejak Kaunsel Vatican yang kedua (1962-65) untuk mengizinkan individu buat pilihan yang lebih luas, dengan berpuasa wajib hanya pada hari Ash Wednesday dan Good Friday semasa Lent. Gereja Ortodoks Greek pula telah hapuskan puasa yang tegar sementara gereja-gereja Protestant umumnya beri pilihan kepada ahli masing-masing untuk buat keputusan sendiri mengenai amalan puasa.

Kitab Hindu ada menyebut mengenai seorang wali zaman purba bernama Dadhichi yang berpuasa dan lakukan meditasi selama beberapa tahun. Dia lakukannya sambil duduk dengan tidak mengubah kedudukannya. Apabila dia dijumpai hanya tulangnya sahaja yang tinggal dan dia disaluti lumpur berbentuk seperti sebuah busut. Brahma, pencipta alam semesta, dan golongan Asura telah mengambil tulang-tulangnya lalu dibuat senjata daripadanya untuk melawan musuh mereka iaitu golongan Sura. Asura menang dalam peperangan ini.

Begitu tinggi sekali darjat diberi kepada Dadhichi yang berpuasa. Di India orang-orang Hindu yang dianggap suci (sadhu) dikagumi kerana mereka selalu berpuasa secara peribadi atas pelbagai sebab. Orang zuhud Hindu dan Jain berpuasa ketika dalam haji dan semasa bersedia untuk perayaan-perayaan agama tertentu.

Sami Buddha dari mazhab Theravada berpuasa pada hari-hari suci (uposatha) pada setiap bulan sementara dalam agama orang Cina klasik, puasa diamalkan sebelum masa untuk mereka berkorban. Walaupun Buddha ajar kesederhanaan dalam puasa, ramai sami Buddha lelaki dan perempuan berpegang teguh kepada adat makan hanya sekali sehari, dan mereka dihendaki berpuasa pada hari bulan baru atau bulan penuh. Di kalangan penganut Buddha hari ini adalah lazim bagi mereka berpuasa dan buat pengakuan atas dosa yang dilakukan sebanyak empat kali sebulan. Mereka percaya puasa adalah satu daripada 13 amalan yang membawa kepada kehidupan yang gembira di samping jadi alat untuk menyucikan diri.

Dalam kepercayaan orang Yahudi, puasa adalah suatu jangka masa apabila seseorang menahan diri daripada makan dan tidur. Lazimnya ia bersangkutan dengan perbuatan menahan diri yang lain. Contoh dalam Bible termasuk Daniel yang tidak berurap (Daniel 10:3), dan keengganan (Nabi) Daud untuk menukarkan pakaian dan mandi semasa dia berpuasa (II Samuel 12:16-20).

Mereka menyatakan bahawa puasa adalah jawapan kepada keperluan rohaniah dan membayangkan, dalam erti kata yang seluasnya, ia adalah suatu bentuk “penyeksaan kepada roh.” Maka puasa tertinggi pada Hari penebus (Yom Kippur) mengandungi segala bentuk larangan di samping jadi hari untuk sembahyang, insaf dan menahan diri.

Adalah dipercayai bahawa hasil daripada semua sekatan ini dan rayuan yang dipohonkan adalah perasaan insaf dan taubat iaitu suatu proses yang mendekatkan diri dengan komitmen terhadap Tuhan.

Di samping taubat jadi pendorong utama, puasa digunakan sebagai persediaan untuk berhubung dengan alam yang lebih tinggi atau untuk menerima wahyu.

Puasa orang Yahudi seperti yang diketahui hari ini termasuk yang termaktub dalam Bible, puasa yang dikenakan oleh pendeta, dan puasa yang dibebankan sendiri oleh individu. Puasa daripada Bible ialah yang diamalkan pada Hari penebus, yang tujuannya adalah taubat, pada bulan Tisheri iaitu bulan yang pertama dalam kalendar Yahudi.

Puasa ini masih diamalkan hingga ke hari ini, iaitu merupakan suatu contoh puasa yang ditetapkan oleh para pendeta. Contoh lagi ialah puasa Anak Pertama, yang dilakukan oleh anak lelaki pertama dalam keluarga Yahudi untuk memperingati mereka yang diselamatkan daripada penyakit hawar yang dikenakan ke atas orang Mesir.

Hampir kesemua jenis puasa bermula dari waktu fajar hingga waktu senja.

Ramai tokoh sejarah dan sains juga berpuasa. Socrates dan Plato berpuasa selama 10 hari untuk kesihatan mental dan fizikal. Pythagoras berpuasa selama 40 hari sebelum menduduki peperiksaan di Universiti Alexandria. Aristotle, Galen, Paracelsus, and Hippocrates turut berpuasa. Lama sebelum itu, Siddhartha Gautama atau Buddha telah mengamalkannya juga.

Menurut kitab Bible, Yesus (Nabi Isa) berpuasa selama 40 hari: “Dan setelah berpuasa empat puluh hari dan empat puluh malam, akhirnya laparlah Yesus” (Matius 4:2).

Ia seakan-akan sama dengan peristiwa penurunan kitab al-Quran yang berlaku pada bulan yang diwajibkan berpuasa. Firman-Nya: “Bulan Ramadan yang padanya al-Quran diturunkan untuk jadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas daripada Petunjuk itu, dan Pembeza. Maka hendaklah orang-orang antara kamu yang menyaksikan (hadir) pada bulan itu, berpuasa” (2:185).

Masa berpuasa ditetapkan dengan arahan Allah berbunyi,

“Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam” (2:187).

Waktu subuh adalah waktu sebelum fajar, sementara waktu maghrib pula adalah waktu sebelum malam. Perkataan malam adalah “lail” dalam bahasa Arab. Dalam konteks al-Quran, waktu malam adalah waktu gelap iaitu waktu yang tiada lagi cahaya siang.

Bercampur dengan isteri turut dilarang tetapi diharuskan pada waktu malam. Sebelum al-Quran turun ia dilarang sama sekali sepanjang musim puasa.

Hanya orang yang sakit atau dalam perjalanan sahaja dikecualikan daripada berpuasa (2:184 dan 2:185). Orang yang tinggalkan puasa dihendaki berpuasa pada hari atau hari-hari lain untuk mencukupkan bilangan hari. Bilangan hari untuk sebulan dalam kalendar lunar ialah dua puluh sembilan atau tiga puluh.

Sekiranya dia tidak mampu berpuasa pada hari-hari lain maka dia hendaklah menuruti ketetapan daripada Allah yang berbunyi,

“Dan jika sesiapa antara kamu sakit, atau jika dia dalam perjalanan, maka sebilangan daripada hari-hari lain; dan bagi orang-orang yang tidak boleh, ditebus dengan memberi makan seorang miskin, tetapi lebih baik baginya, yang buat kebaikan dengan sukarela, bahawa kamu berpuasa adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu tahu.” (2:184).

Puasa adalah satu-satunya terapi pemulihahan yang semula jadi. Ia adalah unsur alam yang purba lagi sejagat sebagai “ubat” untuk banyak masalah. Seperti haiwan dengan tingkah laku kenaluriannya berpuasa apabila jatuh sakit. Ikan salmon perak berpuasa berminggu-minggu lamanya ketika berenang ke hulu sungai yang jaraknya beratus batu untuk bertelur. Ratu semut tidak makan apa-apa sehingga telurnya menetas. Banyak jenis serangga dan haiwan berpuasa dalam hibernasi.

Hippocrates, bapa perubatan, mensyorkan puasa kepada ramai pesakitnya. Katanya, “Apabila kamu memberi makan kepada orang yang sakit, kamu memberi makan kepada penyakit. Sebaliknya pula, jika kamu menahan makanan, penyakit itu akan menyurut.”

Penyakit seperti akne dan ekzema, tinitus (bunyi dalam telinga yang kronik), gayat, fibromialgia, glaukoma, displasia serviks, sakit leher dan pinggang yang kronik, polimialgia reumatika, dan banyak yang lain boleh dibantu dengan puasa dalam proses pemulihannya. Kepekakan pun dapat dipulihkan dengan berpuasa menurut suatu laporan doktor yang disedarnya ketika merawat penyakit lain.

Tanda-tanda ketagihan (withdrawal symptoms) dalam penagihan dadah seperti alkohol, kokaina, nokotina dan kafeina dapat dihilangkan dengan cepat semasa pesakit berpuasa.

Puasa dikatakan juga boleh beri manfaat kepada keadaan kesihatan seperti demam selesema, aterosklerosis, flu, penyakit arteri koronari, bronkitis, angina pektoris, pening atau sakit kepala, hipertensi, sembelit, diabetes atau kencing manis, ketakcernaan, demam, cirit-birit, alahan alam persekitaran, penyakit lelah, gemuk, insomnia, kanser, sakit kulit, dan epilepsi.

Amalan itu juga didapati berkesan dalam beberapa kes keletihan terutamanya apabila ia disebabkan oleh kongesi organ dan tenaga, dan kepada ramai pesakit mental, dari kerisauan ke skizofrenia. Kesemua ini adalah hanya beberapa kelebihan dalam amalan puasa yang dapat dikesan.

admin.

No comments:

Post a Comment