Wednesday, April 27, 2016

Hikmat mikraj nabi saw yang sepatutnya difahamkan

Hikmat mikraj nabi saw yang sepatutnya difahamkan

Sekarang akan dibincangkan sepuluh hukum untuk menegakkan keamanan antarabangsa di bumi ini dan mengiktiraf taraf yang sama antara bangsa-bangsa yang gagah dan bangsa-bangsa yang lemah dan menjaga hak kemerdekaan, berjimat cermat dan sama rata dalam siasah dalam kalangan mereka. Allāh berfirman:

1.“Dan telah dihukumkan oleh Tuhan engkau bahawa janganlah kamu sembah selain daripadaNya dan kepada dua ibu bapa hendaklah kamu berkasih sayang, sekiranya telah sampai umurnya tua, seorang atau kedua-duanya, maka janganlah engkau berkata dengan perkataan yang kasar dan janganlah engkau menyakitkan hati kedua-duanya, hendaklah engkau berkata dengan perkataan yang mulia. (Al-Qurʾān: 17: 23).

Dan hendaklah rendahkan bagi kedua-duanya tanda kehinaan daripada kasih sayang, dan hendaklah berdoa: “Wahai Tuhanku, kasih sayanglah kepada kedua-duanya seperti kasih sayang kedua-duanya kepadaku dan membela kedua-duanya pada masa aku kanak-kanak. (Al-Qurʾān: 17: 24).

Sebenarnya Tuhan kamu Maha Mengetahui apa-apa yang tersimpan di dalam hati kamu jika kamu orang yang beramal salih, maka Allah bersedia mengampun mereka yang taat dibawah hukumNya”. (Al-Qurʾān: 17: 25).
Tujuan hukum yang pertama ini supaya mengesakan ibadat kepada Allāh dan berkhidmat kepada dua ibu bapa.

2. “Hendaklah berikan hak pertalian yang dekat dan orang yang kesusahan dan orang yang berhajat; janganlah engkau melebihkan belanja yang lebih daripada hajat. (Al-Qurʾān: 17: 26).

Bahawasanya mereka yang melebihkan belanja daripada hajat itu bersaudara dengan syaitan dan ialah mereka yang amat kufur kepada Tuhannya”. (Al-Qurʾān: 17: 27).
Tujuan hukum yang kedua ini ialah untuk menegakkan semangat pergaulan dan perhubungan manusia sebangsa.

Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati. (Al-Qurʾān: 17: 28).

3. “Dan janganlah engkau jadikan tangan engkau dibelenggu ke tengkuk engkau dan jangan pula engkau lepaskan dia selepas-lepas, sebab itu jadilah engkau dicerca dan dihina”. (Al-Qurʾān: 17: 29).
Tujuan hukum ketiga ialah supaya manusia berjimat cermat dengan baik dalam pergaulan, kerana dalam dunia ini terdapat dua golongan manusia iaitu golongan kaya dan golongan miskin.

Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya. (Al-Qurʾān: 17: 30).

4. “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan harta benda kamu itu, Kami akan memberi rezeki mereka dan kamu, bahawa membunuh mereka adalah satu kesalahan yang amat besar”. (Al-Qurʾān: 17: 31).
Tujuan hukum keempat ialah supaya penduduk dan anak-anak diberi pendidikan dalam pelbagai bidang mengikut kelayakan masing-masing.

5. “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”. (Al-Qurʾān: 17: 32).
Tujuan hukum kelima ialah untuk menjaga kehormatan golongan wanita dalam masyarakat.

6. “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allāh membunuhnya dengan tidak sebenar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia mendapat sepenuh-penuh pertolongan”. (Al-Qurʾān: 17: 33).
Hukum yang keenam ini menerangkan undang-undang untuk memelihara kehormatan dan kemuliaan setiap individu dalam pergaulan hidup mereka.

7. Dan janganlah kamu mengganggu harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik, sehingga ia baligh; dan sempurnakanlah perjanjian, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Al-Qurʾān: 17: 34).
Tujuan hukum ketujuh ialah untuk memelihara harta anak yatim piatu yang lemah.

8. “Dan hendaklah sempurnakan sukatan jika kamu penyukat dan timbangkanlah dengan neraca yang betul, itulah sebaik-baik dan seelok-elok jalan”. (Al-Qurʾān: 17: 35).
Tujuan hukum kelapan ialah supaya manusia menyempurnakan hak yang sama atau adil dalam pergaulan dan menegakkan semangat kasih sayang.

9. “Dan janganlah kamu buat-buat pandai pada apa yang yang kamu tidak mengerti dengan sebenarnya, kerana telinga, mata, hati semuanya akan ditanya”. (Al-Qurʾān: 17: 36).
Ayat ini sama seperti yang diwahyukan kepada Mūsā. Tambahan pada ayat ini ialah firman Allāh:

Dan janganlah kamu buat-buat pandai pada apa yang yang kamu tidak mengerti dengan sebenarnya, (Al-Qurʾān: 17: 36).
Inilah asas yang terdapat pada sharīʿat Al-Qurʾān dan sebagai jalan penafian ke atas perkara-perkara khurafat dan penyelewengan terhadap sifat-sifat kemanusiaan dan menyeru untuk memastikan kebenaran. Dengan ini umat Islam dengan ilmu mereka dapat mendahului kaum-kaum lain. Jika mereka tertinggal, mereka akan mengalami kemunduran.
Tujuan hukum yang kesembilan ialah untuk mengajar adab sopan kepada setiap orang ahli ilmu atau pemimpin bangsa supaya tutur kata dan gerak gerinya tidak terkeluar daripada pengetahuannya.

10. “Dan janganlah kamu berjalan di bumi ini dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak boleh memecahkan bumi dan kamu tidak akan dapat menyamai setinggi bukit”. (Al-Qurʾān: 17: 37).
Ayat ini sebagai tambahan kepada hukum Taurāt, kerana berjalan dengan berlagak sombong termasuk dalam menyombong diri dan menafikan hak yang sama yang menjadi tabii manusia. Jika manusia bercita-cita mahu menyatukan umat manusia supaya berada di atas satu matlamat yang sama, maka kewajipan mereka ialah memberi hak yang sama tanpa membezakan antara kaum dan suku kaum. Menyekat dan melarang dari berlagak sombong itu boleh membawa kepada persamaan dengan seluruh umat di dunia.
Sesiapa yang menempatkan dirinya sama dengan manusia lain, tiada keutamaan dari mereka melainkan sifat adil dan ihsan (al-taqwa) dan menghapuskan kezaliman; sudah tentu ia dapat menyatukan manusia di atas landasan yang sama. Tanpa cara yang dibentangkan itu tidak mungkin dapat menyatukan manusia seluruh dunia. Inilah maksud firman Allāh:

Sesungguhnya  Al-Qurʾān ini memberi petunjuk ke jalan yang amat lurus (Al-Qurʾān: 17: 9).
Tujuan hukum kesepuluh ialah untuk mengajar adab kepada setiap manusia supaya tidak bersikap sombong atau besar diri dalam pergaulan dengan saudaranya.
Demikian sepuluh hukum dasar yang ditetapkan oleh Allāh taʾālā pada malam miʿraj untuk dijadikan asas pergaulan antarabangsa seperti Hindu, Majusi, Yahudi, Naṣārā dan lain-lain di dunia ini; juga menegakkan sebuah perlembagaan antarabangsa untuk menjaga keamanan dan hak yang adil dari kalangan semua bangsa.
Maka kehendak agama Islām ialah menyelamatkan kehidupan manusia dan menyemaikan perasaan kasih mesra dan saling bekerjasama dalam jiwa setiap manusia dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada golongan lelaki dan perempuan di bawah undang-undang pergaulan itu dan menyempurnakan hak setiap individu dengan sepenuhnya.

Stretegi
Perkara kedua yang diputuskan pada malam Miʿrāj itu ialah menubuhkan suatu perlembagaan baharu untuk melatih pasukan persekutuan keamanaan antarabangsa untuk menegakkan undang-undang yang tersebut dalam pergaulan antarabangsa dan mengawal semua bangsa yang bekerjasama di bawah undang-undang itu supaya tidak melanggar batasan-batasannya.
Semua cendekiawan yang bijaksana dahulu dan sekarang bersetuju bahawa kejayaan sesuatu bangsa memerlukan tiga perkara. Pertama, tujuan yang baik. Kedua, peraturan yang baik. Ketiga, semangat perpaduan yang teguh. Tujuan yang baik dan peraturan yang baik sudah diterangkan dalam perkara pertama. Sekarang akan diterangkan perkara ketiga iaitu semangat perpaduan yang teguh.
Semangat perpaduan yang teguh disertai dengan pendidikan dalam pelbagai bidang mengikut kelayakan semulajadi setiap manusia adalah asas yang kukuh untuk membangunkan sesebuah negara.
Falsafah pendidikan dalam millah Ṣābiīn mengikut keperluan kebangsaan sahaja, tetapi apabila muncul millah Ḥanīfī, yang menyatukan semua bangsa di bumi ini, maka falsafah pendidikan dalam millah Ṣābiīn perlu diubah supaya lebih luas dan sesuai dengan semua kaum.
Maka hukum-hukum dan prinsip yang lebih luas itu disampaikan oleh Allāh melalui Nabi Muḥammad (S.A.W.) pada malam Miʿrāj, iaitu supaya mengadakan satu peraturan baharu untuk mendidik manusia. Peraturan itu dinamakan ṣolāt (perhubungan kasih sayang) atau sembahyang.
Dalam diri manusia terdapat perasaan yang dinamakan “Ev´¯QÛ¯ ECLÝ” atau cinta yang sejati. Perasaan cinta ini tertumpu ke dua tempat. Pertama, cinta yang tertumpu kepada Allāh. Kedua, cinta yang tertumpu kepada bangsa sendiri. Allāh taʿālā berfirman; maksudnya:

“Dibalakan ke atas mereka yang memutuskan pertalian cinta kepada Allāh dan cinta kepada bangsa”. (Al-Qurʾān: 3: 112).
Mereka yang memutuskan pertalian cinta antara manusia tersebut akan ditimpa bala dan kehinaan di mana mereka berada. Maka mereka hendaklah bergantung kepada tali Allāh dan tali perhubungan di antara manusia.
Kecenderungan hati setiap manusia sebagai tempat pergantungan cintanya yang pertama dinamakan ibadat (memperhambakan diri kepada Tuhan); manakala kecenderungan hati ke tempat pergantungan cinta yang kedua dinamakan ṣolāt atau perhubungan kasih mesra atau sembahyang.
Bagi orang awam, perhubungan kasih mesra hanya di antara saudara dalam keluarga dan waris sahaja, tetapi bagi para nabi dan ḥukamāʾ, perhubungan kasih mesra ialah memupuk persaudaraan dan kerjasama dalam kalangan semua manusia daripada semua bangsa di dunia ini. Perhubungan kasih mesra itulah sebagai asas penegakkan semua kemajuan dan kebahagiaan semua bangsa di dunia ini. Maka Allāh taʿālā amat mengambil berat dengan sumpah setia setiap roh manusia supaya mereka berperasaan dengan kasih mesra tersebut. Kemudian dibangkitkan pula Nabi Muḥammad (S.A.W.) untuk memberi peringatan tentang sumpah setia dan perjanjian itu kepada setiap manusia dengan diberikan kitab yang menerangkan undang-undang perjanjian itu. Allāh taʿālā berfirman; maksudnya:

“Dan hendaklah kamu sempurnakan perjanjian Allāh, manakala kamu telah berjanji. Dan janganlah kamu batalkan sumpah kamu itu kemudian daripada ditetapkan; sesungguhnya telah kamu jadikan Allāh itu penjaga di atas kamu, bahawa Allāh amat mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Al-Qurʾān: 16: 91).
Allāh berfirman lagi; maksudnya:

“Mereka yang membatalkan perjanjian Allāh kemudian daripada meneguhkannya serta memutuskan perhubungan yang Allāh hukumkan supaya dihubungkan kasih sayang di antara manusia itu dan membuat kacau bilau di bumi ini, sebenarnya ialah mereka yang mendapat kerugian”. (Al-Qurʾān: 2: 27).
Pada zaman Nabi (S.A.W.) telah ramai orang yang memeluk agama Islām. Maka ramailah yang mendapat pendidikan daripada baginda. Maka baginda pun mengatur tugas mereka berkhidmat kepada agama dan bangsa. Ada kumpulan yang terlibat dalam sistem pendidikan, ada yang ditugaskan dalam perniagaan dan tidak ketinggalan juga kumpulan yang ditugaskan dalam ketenteraan. Setiap kumpulan diberikan tugas yang khusus.
Secara ringkasnya, tidak diragukan lagi bahawa Miʿrāj Nabi (S.A.W.) telah membuka satu lembaran sejarah baharu dan amat besar di alam manusia dengan tujuan mentadbir, mengurus dan mendidik manusia seperti yang diberikan oleh Allāh taʿālā kepada Nabi Muḥammad (S.A.W.) pada malam itu.
Manusia dikehendaki mengambil pesanan Allāh ini dan contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muḥammad (S.A.W.). Inilah contoh yang dicari-cari oleh semua bangsa di dunia. Maka manusia digesa segera mengamalkannya. Mereka dikehendaki berkorban jiwa dan harta untuk menegakkannya. Inilah agama Islām yang maha suci, maha tinggi dan maha besar yang dipilih oleh Allāh taʿālā kepada kita supaya kita hidup dan mati di atasnya. Allāh taʿālā berfirman; maksudnya:

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allāh yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang yang menyekutukan Allāh”. (Qurʾān: 6: 79).
Maka Allāh mengatakan Dia membeli diri orang beriman dengan pembalasan syurga atau kebahagiaan dengan memiliki negara. Dalam ayat yang lain Allāh menyatakan bahawa Dia akan mengazab orang yang syirik, murtad dan dijajah di dalam neraka; kerana bangsa yang dijajah tidak boleh mengadakan sebarang kebaikan untuk faedah bangsanya. Akhlak mereka rosak. Mereka syirik, mereka mendewakan pemimpin, mengampu orang besar dan takut menyatakan kebenaran.
Islām ditegakkan di atas dasar tauhid dan menjauhkan syirik yang berlawanan dengannya. Tauhid diamalkan dengan menegakkan persatuan umat, membangunkan satu ideologi dan sebuah negara yang merdeka, berdikari, bebas daripada sikap hamba dan diperalatkan oleh negara kuasa besar. Islām mencela syirik yang diamalkan oleh manusia kerana syirik menjadi sebab utama kejatuhan Islām pada zaman sekarang.
Hakikat memberi peringatan (inzar) ialah seruan sebenar bahawa Islām ditegakkan di atas jihad atau revolusi atau perubahan besar yang menyeluruh melalui perjuangan yang memerlukan pengorbanan jiwa dan harta. Perkara ini telah dinyatakan di dalam Al-Qurʾān dengan banyak dan telah dipraktikkan oleh Nabi Muḥammad (S.A.W.). Hakikat jihad yang dianjurkan dalam Islām ialah supaya menegakkan sebuah negara dan telah diulangkan lagi oleh Abū Bakar al-Siddīq setelah beliau dipilih sebagai khalifah pertama. Beliau menyeru supaya umat Islām terus berjihad untuk melaksanakan keadilan sosial supaya senang beribadat.
Manusia mengenali kezaliman dan mereka mengumpul segala sebab keduniaan untuk mereka, dan mereka tidak mengharapkan kebaikan, mereka melihat keadilan orang yang benar dan mereka berada dalam keadaan yang sukar. Tetapi mereka dilihat sebagai manusia yang paling mulia dan orang ramai mengharapkan kebaikan daripada mereka. Perbezaan di dunia ini adalah perkara semulajadi. Kemudian perbezaan ini bertambah di akhirat. Orang yang bertakwa akan pergi ke Ḥaẓīrat al-quds dan syurga. Sebaliknya orang fasik dihumban ke dalam neraka. Perkara ini tiada apa-apa melainkan untuk melahirkan perbezaan mengikut undang-undang negeri setempat. Kepada maksud ini diisyaratkan pada ayat 21:

Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain dan sesungguhnya akhirat itu lebih tinggi tingkat perbezaannya dan lebih besar kkeutamaannya. (Al-Qurʾān: 17: 21).
Titik tumpuan semua pandangan itu ialah bahawa Allāh itu Esa dan tiada sekutu bagiNya, yang menegakkan langit dan bumi dan menegakkan sifat kemanusiaan. Apabila seseorang tidak lupa dari pengenalan itu dan mahu menambah pada pengenalannya, dia akan selamat di akhirat. Jika tidak sedemikian, maka tidak berguna kepadanya sesuatu. Kepada maksud ini terdapat isyarat pada firman Tuhan;

Janganlah engkau adakan tuhan yang lain bersama Allāh, kerana akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan. (Al-Qurʾān: 17: 22).
Sekarang kami kembarkan sepuluh hukum dalam Taurāt seperti yang tersebut dalam nas Taurāt.
i). Jangan ada padamu Allāh lain di hadapanKu.
ii). Jangan menyebut nama Tuhan-mu dengan sembarangan.
iii). Ingatlah dan sucikanlah hari Sabtu sebagai hari minggu.
iv). Hormatilah ayahmu dan ibumu.
v). Jangan kamu membunuh.
vi). Jangan berzina.
vii). Jangan mencuri.
viii). Jangan mengucap saksi dusta tentang sesamamu.
ix). Jangan mengintai rumah kawan kamu.
x). Jangan kamu rindu kepada isteri kawan kamu dan jangan kamu rindu kepada hambanya dan jangan kamu mahu lembu jantan orang lain atau keldainya atau sesuatu dari harta kawan baik kamu.

Oleh haji nik mohd salleh wan musa

No comments:

Post a Comment