Monday, April 18, 2016

HAK-HAK WANITA DALAM ISLAM  TERHADAP MASYARAKAT

HAK-HAK WANITA DALAM Islam 
TERHADAP MASYARAKAT

Pada zaman umat Islam  sedang lemah sekarang, pelbagai dakyah dan pengajaran yang sedikit pun tidak berasaskan pengajaran Islam  mengenai taraf dan kedudukan wanita dalam masyarakat, telah disebarkan dan disemaikan ke dalam jiwa anak-anak perempuan Islam .
Tidak hairan, kalau kesilapan itu datang daripada golongan yang mahu mengadakan dakyah mengikut dasar penjajah yang mahu supaya umat Islam  sentiasa menjadi umat yang hina di dunia ini dan tidak berpeluang menjadi umat yang mulia dan merdeka seperti umat Islam  pada zaman keemasan Islam  dahulu. Tetapi apa yang amat menghairankan kami ialah Lujnah ʿAlimulama   di Universiti Al-Azhar, Mesir , sendiri dalam fatwanya yang diterjemahkan oleh Abdullah   Basamih juga telah menyokong pemikiran yang sempit itu. Mereka mengharamkan wanita Islam  daripada mengambil bahagian dalam bidang pekerjaan yang telah diberi oleh Allah dan rasulNya kepada mereka (Penerbitan di Singapura, September, 1952) untuk berbakti kepada masyarakat. Mereka telah mengharamkan golongan wanita mengundi dalam pilihan raya; kerana mengundi itu dikatakan membuka jalan untuk campurkuasa am yang ditegah oleh syariat  kepada golongan wanita Islam .
Fatwa ini sungguh anih. Saya telah menatap dengan teliti dan merujuk setiap dalil yang dibentangkan di dalamnya satu per satu; maka saya dengan keyakinan yang penuh berani mengatakan bahawa segala huraian yang terkandung dalam buku fatwa itu sebenarnya terpesong jauh dari pengajaran Al-Quran, amalan Rasul Allah (S.A.W.), para sahabat dan para ulama Ahl Al-Sunnah wa  al-Jamaah sekalian. Segala tempat sandaran dalam fatwa itu hanya diambil dari pendapat-pendapat yang tidak sihat dan hadith-hadith yang tidak ṣaḥiḥ.
Secara ringkasnya, di dunia yang serba bijak ini, jika (kita) mahu pemperbaiki semula nasib wanita mengikut pengajaran Islam  yang tulen, kita hendaklah mengkaji dan menyemak masalah kedudukan wanita itu dari pengajaran Al-Quran dan amalan-amalan Rasul Allah (S.A.W.) serta contoh anak-anak isterinya yang menjadi contoh kepada wanita-wanita muʾmin dan amalan khalifah danulama    yang muhakik sekalian.
Dalam rencana ini saya ingin melahirkan betapa perlunya umat Islam  menciptakan semangat persefahaman hidup antara lelaki dan wanita, semoga dengan menghilangkan perasaan curiga dan takut mereka dengan sifat-sifat ini, mereka dapat berjuang bersama-sama dalam semua bidang kehidupan yang dikehendaki oleh Islam  untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang teguh, adil dan bertanggungjawab.
Para ulama   Islam  yang memakan upah penjajah telah lama menanam semangat persaingan antara lelaki dan wanita dalam masyarakat dan menyalurkan seruan mereka yang jahat itu dengan dalil-dalil agama semenjak kejatuhan Khalifah Islam . Dengan sebab itu, peluang yang patut diperolehi oleh umat Islam  tentang kemerdekaan, kemuliaan dan kebahagiaan hidup semuanya telah hilang. Maka jadilah umat Islam  sekarang di mana sahaja di dunia ini sebagai umat yang tidak berdaya untuk hidup, melainkan dengan menumpang ihsan (kebaikan) dari kuasa penjajah yang besar hingga mereka terasa tidak selamat tanpa menyerahkan urusan pertahanan (negara) kepada mereka (kuasa-kuasa besar). Inilah sebabnya negara-negara Islam  dan umat Islam  sekarang telah dipermain-mainkan oleh penjajah yang melaga-lagakan mereka antara satu sama lain untuk menghulur bantuan kewangan dan senjata yang akan membinasakan mereka, dan menjadi satu sumber bagi penyerahan kuasa dan hak-hak mereka kepada penjajah itu supaya sentiasa terkawal menjadi jajahan takluk secara moden. Adakah umat Islam  telah sedar dan berpuas hati dengan keadaan ini dan bolehkan mereka meninggikan syiar Islam  seperti yang diperintah oleh Allah dan rasulNya setelah umat Islam  menjadi hina?
Umat Islam  ini, tidak pernah merasa kesal di atas kehilangan hak-hak mereka bertindak dan menentang, kerana difahamkan menjaga sesebuah negara dan mengawal keselamatannya adalah satu perkara yang amat sukar, dan mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan politik mereka tetap teguh.
Mereka rasa tidak perlu mendidik wanita-wanita mereka supaya bebas dalam pergaulan, bebas dalam pekerjaan, bebas dalam berfikir dan bebas dalam melakukan sesuatu yang dipandang perlu untuk kesejahteraan negara mereka, kerana pekerjaan itu dipandang buruk dan keji. Oleh itu sesungguhnya mereka merasa bertuah kerana segala pekerjaan yang keji ini dibiarkan dan dilakukan oleh golongan kafir yang melindungi mereka sahaja.Umat Islam  al-hamdulillah tidak terpaksa berbuat demikian. Inilah keadaan umat Islam  yang telah terpesong cara berfikir dan akidah dari pengajaran Al-Quran. Mereka memandang, merekalah orang Islam  yang sejati. Mereka menjaga diri dari tergelincir ke dalam pekerjaan maksiat, mereka berpuas hati hidup dengan sembahyang, puasa, memberi zakat dan jika berada, mereka pergi ke Mekah beberapa kali, banyak mengingati Allah, bertaubat, menziarah kubur dan sebagainya. Mereka menyangka keluarga mereka tetap suci dan bersih, walaupun negara mereka yang kaya tergadai kepada penjajah dan mereka menjadi orang dagang di negara sendiri, tidak mengapa – na’uzubillahi minzaalik. 
Adakah kefahaman dan akidah yang seumpama ini sesuai dengan pengajaran Islam ? Tidak! Tidak! Tidak sama sekali. Itulah sebabnya saya rasa perlu menerangkan dalam rencana ini apakah martabat dan tugas wanita Islam  terhadap masyarakat mengikut pengajaran  Al-Quran dan hadith Rasul Allah (S.A.W.) yang menjadi asas pegangan semua umat Islam .
Jika kita membaca sejarah bangsa-bangsa Barat dan Timur dari abad ke abad, kita tidak akan dapati suatu falsafah hidup yang sesungguhnya memberi taraf kehormatan, kebebasan yang sebenar kepada golongan wanita, melainkan dari Al-Quran yang diturunkan oleh Allah (S.W.T.) untuk memberi rahmat kepada semua manusia.
Junjungan besar kita, Nabi Muhammad  (S.A.W.) telah dibangkit pada permulaan abad ke tujuh Masihi. Beliau datang sebagai penyeru manusia kepada tauhid dan memperbaiki diri manusia yang telah dibinasakan oleh taklid keagamaan dan sikap fanatik kebangsaan yang terkeluar daripada sifat-sifat kemanusiaan yang sejati. Maka dalam bahagian dakwah junjungan kita Nabi Muhammad  (S.A.W.), yang penting sekali ialah memperbaiki keadaan kaum wanita yang telah diperhambakan dan tidak diberi tempat dan hak dalam masyarakat sejak beberapa abad yang lalu, sebagaimana yang dikehendaki oleh fitrah  manusia.
Dengan sebab itu, keutamaan yang diberi oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad  (S.A.W.) dalam kebebasan dan hak kepada golongan wanita itu boleh dikatakan suatu anugerah yang mesti dibanggakan oleh seluruh golongan wanita di seluruh dunia.
Sekarang marilah kita renungkan bagaimana Al-Quran menerangkan tentang taraf dan martabat golongan wanita dalam sebuah masyarakat dengan golongan lelaki dan peranan setiap wanita yang mesti dilakukan, supaya kewajipan yang diperintahkan oleh Allah (S.W.T.) kepada mereka disempurnakan untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Fasal Pertama.
Allah (S.W.T.) menyatakan bahawa kewujudan wanita adalah sebahagian dari kewujudan lelaki; dengan ini menunjukkan bahawa kewujudan lelaki dan wanita itu terbit dari hakikat yang satu. Maka tidak mungkin umat manusia hidup melainkan dengan usaha lelaki dan wanita.
Tuhan berfirman:

Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu sebahagian lelaki dan sebahagian lagi wanita dan Kami lahirkan di dalam kamu beberapa bangsa dan puak supaya kamu dapat hidup dengan baik antara kamu, tetapi yang lebih mulia sekali antara kamu di sisi Allah ialah mereka yang lebih bersifat takwa. (Al-Quran: 49: 13).
Ayat di atas menerangkan dengan jelas bahawa lelaki dan wanita adalah satu manusia yang lahir dengan dua bahagian kelayakan yang tidak hidup salah satu tanpa bersama-sama yang satu lagi.
Maka dengan terkumpulnya kedua-dua bahagian lelaki dan wanita itu dapat melahirkan keturunan yang menciptakan bangsa dan puak itu, dapat menyumbangkan kebaikan antara satu sama lain. Dengan sebab itu tidak perlu diragukan bahawa mereka yang berjaya mempertahankan kebaikan yang dikehendaki oleh Allah dalam sesebuah masyarakat, mereka itulah yang lebih mulia di sisi Allah.

Wahai manusia, hendaklah kamu pertahankan undang-undang Tuhan kamu yang menciptakan daripada roh yang satu, kemudian menciptakan daripada roh itu pasangan-pasangan kepadanya dan daripada pasangan itulah membiak keturunan lelaki dan wanita yang banyak. Dengan sebab itu hendaklah kamu pertahankan undang-undang Allah yang kamu selalu memohon dengan menyebut namaNya dan hendaklah kamu pertahankan tali perhubungan kasih sayang di antara umat manusia; sesungguhnya Allah sentiasa mengawal keselamatan kamu. (Al-Quran: 4: 1).
Dalam ayat ini Allah menjelaskan supaya setiap orang berpegang teguh dengan pengajaran Tuhan yang mencipta mereka daripada roh kemanusiaan yang satu. Kemudian daripada roh itulah diciptakan pasangan, iaitu Adam dan Hawa. Dan daripada pasangan itu membiak keturunan dari lelaki dan wanita yang banyak. Dengan sebab itu manusia diperintah supaya mempertahankan undang-undang Allah dengan teguh. Iaitu Tuhan yang mereka selalu memohon sesuatu dengan menyebut namaNya dan supaya manusia mempertahankan perhubungan kasih sayang yang lahir dalam kemahuan roh kemanusiaan yang satu itu.
Dari ayat ini nyatalah bahawa asas bagi pergaulan dan tamadun yang diajar oleh Al-Quran dibina di atas semangat tauhid kepada Tuhan yang Esa, iaitu Tuhan yang mencipta dan Tuhan yang manusia selalu meminta sesuatu hajat dan perlindungan serta hidayah daripadaNya; dan di atas semangat persamaan kemanusiaan di antara semua bangsa di dunia ini.
Tuhan telah menerangkan bahawa permulaan lahir pergaulan dan tamadun ialah daripada lahirnya pasangan-pasangan lelaki dan wanita, kedua-duanya menjelma daripada roh yang satu iaitu roh kemanusiaan yang dinamakan oleh Imam Ḥujjat al-Islam  Shah Wali Allah al-Dihlawi dan ulama   ulama Ishraqiah- satu golongan ahli falsafah dari pengikut Aflatun, dengan nama Imam al-nauʿ al-insani.
Dengan keterangan ini tidaklah perlu diragukan lagi bahawa lelaki dan wanita adalah suatu makhluk yang satu pada asal kejadiannya, yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Maka tidak mungkin tercipta suatu kemajuan dan kejayaan dalam kehidupan manusia selagi tiada persefahaman dan tiada kerjasama antara lelaki dan wanita dalam semua urusan kehidupan manusia. Tetapi umat Islam  hari ini masih tidak mencari jalan bagi persefahaman dengan golongan wanita dalam kehidupan, dan mereka meletakkan golongan wanita itu sebagai suatu makhluk yang tidak layak mempunyai tanggungjawab yang merdeka dalam kehidupan bermasyarakat. Golongan wanita ini hanya layak hidup dengan menumpang kebaikan golongan lelaki sahaja. Mereka hendaklah diawasi dan dijaga supaya tidak terjerumus ke lembah kerosakan akhlak dan sebagainya. Inilah akidah dan perasaan yang tertanam dalam jiwa umat Islam  sekarang yang mereka telah warisi daripada pengajaran    penjajah yang mahu menjatuhkan kemuliaan umat Islam  di dunia ini.

Fasal Kedua
Naṣ Al-Quran tentang Lelaki dan wanita adalah
sama daripada segi keimanan di sisi Allah.

Junjungan kita Nabi Muhammad  (S.A.W.) telah mengisytiharkan tentang keimanan golongan wanita adalah sama dengan keimanan golongan lelaki.
Allah berfirman:

Wahai orang beriman daripada golongan lelaki apabila datang kepada kamu golongan wanita yang beriman dengan tujuan berhijrah ke negara Islam , maka hendaklah kamu dugakan mereka. Tuhan lebih mengetahui dengan iman mereka itu. Oleh sebab itu jika kamu mengetahui yang mereka itu wanita-wanita yang beriman, maka janganlah kamu biarkan mereka pulang kepada golongan kafir. (Al-Quran: 60: 10).
Allah taʿala berfirman:

Dan orang yang mengganggu muʾmin dan muʾminat dengan sesuatu yang mereka tidak kerjakan, maka sesungguhnya mereka memikul dusta yang besar dan dosa yang nyata. (Al-Quran: 33: 58).
Allah taʿala berfirman:

Sesungguhnya mereka yang suka membuat fitnah kepada golongan lelaki yang beriman dan golongan wanita yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka itu di sediakan azab neraka jahanam dan azab yang membakar. (Al-Quran: 85: 10).
Maka dari ayat-ayat yang tersebut di atas, nyatalah bahawa darjah kehormatan golongan lelaki yang beriman dan kehormatan golongan wanita yang beriman di sisi Allah adalah sama, tiada perbezaan walaupun sedikit.
Maka Al-Quran telah meletakkan hukum taklif di atas kedua-dua golongan ini juga sama seperti golongan wanita juga diperintah menyempurnakan rukun-rukun Islam  seperti sembahyang, zakat, puasa dan haji seperti diperintahkan kepada golongan lelaki; walaupun bagi golongan wanita, kerana sifat khusus kewanitaannya terpaksa digugurkan hukum sembahyang semasa datang haiḍ dan nifas, tetapi tidak diwajibkan qaḍa, kerana pahalanya tidak dikurangkan, sebagaimana juga golongan lelaki yang sentiasa dapat menunaikan tanpa sebab yang menghalangnya. Adapun puasa pada bulan Ramaḍan, walaupun digugurkan semasa datang haiḍ dan nifas, tetapi dibenarkan qaḍa, kerana ibadat puasa hanya tiga puluh hari dalam setahun, bukan seperti sembahyang yang mesti dilakukan lima waktu setiap hari hingga tamat hayatnya. Jika diperintah qaḍa, tentulah menjadi beban yang berat. Adapun ibadat haji pula, maka tidak terhalang keapda golongan wanita mengerjakannya pada sebarang keadaan sekalipun dikecualikan tawaf di Bait Allah sahaja tidak dibenarkan selagi mereka belum suci dari hadas yang tersebut di atas. Demikian juga menunaikan zakat, maka tiada suatupun yang menghalang golongan wanita melakukannya apabila mempunyai nisab-nisab yang cukup mengikut hukum syarak.
Dari keterangan ini sudah jelas bahawa golongan wanita itu sama-sama mempunyai tanggungjawab dan menerima taklif Allah dengan golongan lelaki. Dengan sebab itu segala daya dan usaha yang perlu dilakukan oleh lelaki bagi menyempurnakan hukum taklif itu adalah perlu juga dilakukan oleh golongan wanita. Maka golongan wanita tidak harus dipandang sebagai golongan yang menumpang hidup dengan kebaikan golongan lelaki. Inilah sangkaan yang berlawanan dengan pengajaran Al-Quran.

Fasal Ketiga.

Naṣ Al-Quran Tentang Pembalasan Allah Di akhirat Bagi
Golongan Wanita Adalah Sama Dengan Golongan Lelaki.

Oleh kerana kewajipan golongan wanita dalam menunaikan hukum-hukum Allah yang ditaklifkan oleh Tuhan di dunia ini sama dengan golongan lelaki; maka pembalasan Allah dari amalan itu di akhirat sama ada syurga atau neraka sama sahaja bagi golongan wanita dan golongan lelaki.
Allah taʿala berfirman:

sesiapa jua yang membuat pekerjaan yang baik dari golongan lelaki atau golongan wanita dengan keadaan dirinya benar-benar beriman, maka Kami akan menyediakan baginya kehidupan yang baik dan Kami akan membalaskan untuk mereka pahala amalan yang mereka lakukan dengan sebaik-baiknya. (Al-Quran: 16: 97).
Allah taʿala berfirman:

Sesiapa yang membuat pekerjaan yang jahat, maka mereka tidak akan dibalas lebih daripada apa yang mereka kerjakan; tetapi sesiapa yang membuat pekerjaan yang baik dari golongan lelaki atau golongan perempuan dengan keadaan dirinya sebenar-benarnya beriman; maka mereka itu akan memasuki syurga yang akan dilimpahkan rezeki di dalamnya dengan tidak terkira. (Al-Quran: 40: 40).
Allah berfirman:

Dan sesiapa yang membuat sesuatu pekerjaan yang baik dari golongan lelaki atau golongan wanita, dengan keadaan dirinya benar-benar beriman, maka mereka itu akan memasuki syurga dan tidak akan dilakukan zalim walau sebesar zarah sekalipun. (Al-Quran: 4: 124).
Allah taʿala beriman:

Maka telah memperkenankan bagi mereka oleh Tuhan dengan memberi jaminan bahawa aku tidaklah aku sia-siakan perbuatan seseorang yang berbuat daripada kamu, baik pun dari golongan lelaki atau dari golongan wanita antara setengah kamu dengan setengah yang lain. (Al-Quran: 3: 195).
Allah taʿala berfirman:

Sesungguhnya orang lelaki yang Islam  serta orang perempuan yang Islam , dan orang lelaki yang beriman serta orang perempuan yang beriman, dan orang lelaki yang taat serta orang perempuan yang taat, dan orang lelaki yang benar serta orang perempuan yang benar, dan orang lelaki yang sabar serta orang perempuan yang sabar, dan orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang lelaki yang bersedekah serta orang perempuan yang bersedekah, dan orang lelaki yang berpuasa serta orang perempuan yang berpuasa, dan orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (Al-Quran: 33: 35).
Ayat-ayat di atas ini menerangkan dengan jelas tentang jaminan Allah kepada golongan wanita adalah sama dengan jaminan kepada golongan lelaki tentang pembalasan di akhirat dengan amalan-amalan dan perbuatan yang serupa.
Maka dimanakah perbezaannya, kewajipan antara golongan wanita dengan golongan lelaki itu? Mereka yang membezakan dan menentang kewajipan-kewajipan itu datang dari kejahilan mereka dengan pengajaran Al-Quran dan tugan-tugas yang ditentukan oleh Allah kepada kedua-dua golongan lelaki dan wanita sahaja.
Itulah sebabnya mereka tidak sanggup memberi peluang kepada golongan wanita itu pelajaran yang cukup dan kebebasan yang mutlak supaya dapat mendukung perintah-perintah Allah yang ditaklifkan ke atas diri mereka masing-masing.

Fasal Keempat.

Tanggungjawab Yang Ditugaskan Oleh Allah Ke atas Golongan Lelaki Dan Golongan Wanita Dalam Urusan Mendirikan Syiar Islam  Dan Kegiatan Kemasyarakatan Dan Politik.

Islam  menghendaki golongan wanita supaya bersama-sama golongan lelaki dalam ibadat yang berkumpulan seperti sembahyang berjemaah, sembahyang Jumaʿat, sembahyang hari raya  ʿAid al-Fiṭri dan sembahyang hari raya ʿAid al-Aḍha. Maka dalam semua ibadat berkumpulan yang tersebut itu golongan wanita dikehendaki bersama golongan lelaki; walaupun pada suatu ketika hukumnya diringankan kerana bimbang menjadi keberatan disebabkan adanya urusan-urusan yang lebih penting.
Junjungan kita Nabi Muhammad  (S.A.W.) dalam hadith yang ṣaḥiḥ telah membenarkan golongan wanita yang datang haiḍ supaya bersama-sama dalam majlis sembahyang hari raya, tetapi ditegah sembahyang hingga suci dari haiḍ. Demikian juga ibadat haji, yang diperintah membuat secara berkumpulan yang bercampur, difarḍukan ke atas golongan wanita seperti golongan lelaki sebagaimana disebut dalam huraian yang lalu. Dalam percampuran kedua-dua golongan itu mengerjakan ibadat haji; golongan wanita diharam menutup muka dan memakai sarung tangan semasa berihram.
Dari perintah syarak seperti yang tersebut ini, sudah cukup jelas bahawa golongan wanita dibenarkan bergaul dan bersama-sama dalam suatu ibadat yang penting dengan tidak perlu menutup muka dan tangan dalam pergaulan yang terbuka itu. Demikian juga junjungan kita Nabi Muhammad  (S.A.W.) telah melatih sebahagian dari isteri-isterinya dan anak perempuannya Sayyitana Faṭimah al-Zahra dan golongan wanita Muhajirin dan Anṣar dengan kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan urusan peperangan dan sebagainya, termasuklah pengetahuan untuk mengintip rahsia dari negara musuh, pengetahuan dakyah yang boleh menundukkan kekuasaan tadbir musuh, pengetahuan muzik untuk menggalakkan dan menaikkan semangat tentera yang keluar berperang dan pengetahuan untuk melayan dan melegakan perasaan tentera yang sakit dan luka kerana peperangan; seperti merawat mereka dan sebagainya.
Seperti tersebut dalam hadith-hadith yang ṣaḥiḥ bahawa golongan wanita pada zaman Rasul Allah (S.A.W.), dengan tanpa perasaan keberatan sedikitpun atau malu; mereka bersama-sama Rasul Allah (S.A.W.) dan tentera Islam  yang keluar berperang di barisan hadapan dengan pergaulan yang luas dan terbuka untuk menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah dan diberkati kepada masyarakat.
Kebebasan golongan wanita yang dianugerahkan oleh Islam  bersama-sama dengan kebijaksanaannya pada zaman itu, tidak perlu lagi digambarkan dengan sebarang bentuk sekalipun, mala cukuplah dengan sepatah pujian Allah (S.W.T.) sendiri yang mahu usaha mereka dalam menjayakan perjuangan Rasul Allah (S.A.W.); sebagaimana firmanNya:

dan jika tidak kerana beberapa kaum lelaki yang muʿmin dan beberapa kaum wanita yang muʿmin, kamu tidak ketahui hal mereka itu, haruslah kamu perangi mereka itu, maka akan menimpa ke atas kamu suatu bencana daripada mereka dengan tidak mempunyai suatu maklumat. (Al-Quran: 48: 25).
Dari keterangan ayat ini, cukup jelas bahawa, kalau tidak kerana usaha dan kerjasama golongan lelaki dan wanita yang telah mendapat pendidikan khusus daripada junjungan kita Nabi Muhammad  (S.A.W.), mereka yang bertugas sebagai perisik rahsia untuk menjayakan maksud kebangkitan Nabi (S.A.W.); tentulah baginda tidak dapat menawan negeri yang diperintah oleh kaum Quraish yang musyrik itu supaya dijadikan sebuah negara Islam  dengan begitu mudah tanpa menumpahkan darah sedikitpun.
Maka dari sejarah ini golongan lelaki dan golongan wanita kita sekarang hendaklah mengambil pengajaran, sekiranya kita mahu menjadi bangsa yang merdeka sebenar, berakhlak tinggi dan bahagia dalam kalangan umat-umat yang tamadun di dunia sekarang.
Kita tidak harus mengikuti pengajaran yang terkeliru dan terpesong dari maksud dan contoh yang ditunjukkan oleh pengajaran Al-Quran dan diamalkan oleh junjungan kita Nabi besar Muhammad  (S.A.W.) serta para sahabatnya pada permulaan lahir Islam .
Kita hendaklah mengenali siapakah yang dinamakan ulama    dalam istilah Al-Quran yang kita patut mengambil pengajaran daripadanya. Adakah mereka yang berjubah dan berserban besar dan banyak mengamalkan amalan ibadat farḍu ain dan sentiasa melazimkan surau-surau, madrasah-madrasah dan masjid-masjid dan boleh mengajar kitab-kitab sifat dua puluh, hukum-hukum bersuci dan sebagainya, menunaikan ibadat haji ke Mekah walaupun berpuluh kali semasa hayatnya, tidak bergaul dengan golongan wanita dan memandang wanita sebagai makhluk yang najis itu dikatakanulama   ? Tidak! Orang yang seperti ini tidak layak digelarulama    mengikut istilah Al-Quran. Tuhan telah menerangkan sifat ulama    yang sebenar dalam Al-Quran dengan firmanNya:

Telah menyaksi oleh Allah bahawa tidak ada mereka yang mendiri keadilan yang sebenar selain daripada dirinya yang tiada Tuhan melainkan Dia dan malaikat dan semua ahli ilmu (ulama). (Al-Quran: 3: 18).
Di manakah ulama    yang sanggup menceburkan diri dalam usaha kerana mendirikan keadilan dan berbakti kepada masyarakat hari ini seperti contoh yang telah ditunjukkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad  (S.A.W.) itu? Khasnya, baginda memberi hak kepada golongan wanita.
Dan manakah ulama    yang sanggup membebaskan golongan wanita dan melayakkan mereka supaya berbakti kepada masyarakat seperti ditunjukkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad  (S.A.W.) dengan contoh daripada isteri-isteri dan anak-anak baginda sendiri dan golongan wanita Islam  pada zaman itu?
Apa yang kita lihat pada ulama     Islam  kita pada hari ini ialah golongan yang menerima pengajaran untuk membersihkan diri; dan dari rasa kebersihan itu, mereka menyangka diri mereka sahaja yang lebih baik daripada orang lain dalam segala hal, merekalah orang yang hampir dengan Tuhan dan tetap akan menerima pembalasan baik daripada Allah serta ratusan anak perawan bidadari dalam syurga untuk memuaskan nafsu mereka. Mereka hidup di dunia ini berasingan dari orang ramai. Walaupun mereka tidak terkaya daripada bantuan orang ramai, tetapi pada iktikadnya orang ramai dikehendaki membantu mereka untuk mencari pahala dan untuk mendamping diri dengan Tuhan.
Mereka memandang kepada semua usaha selain dari menunai farḍu ain dan meratib, talkin di atas kubur, semuanya amalan dunia yang tidak berguna.
Mereka memandang kepada semua golongan wanita sebagai makhluk yang tidak mempunyai hakikat kemanusiaan. Golongan wanita dikatakan sangat perlu kepada pengajaran agama yang dikehendaki olehnya ialah untuk memperbodohkan wanita dengan nama hukum Allah supaya taat secara buta-tuli kepada segala kehendak perintahnya yang bodoh dan kemahuan nafsunya yang jahat itu. Dan supaya mereka mudah beristeri secara paksaan kerana takutkan Allah dan neraka.
Kalau kita dan golongan wanita kita masih berʿulamaʾ kepada mereka seperti ini, maka segala nasib hidup kita dan nasib hidup golongan wanita kita akan sentiasa menjadi gelap gelita dan tidak akan meningkat kepada kehidupan yang mempunyai cahaya makrifat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya dalam pengajaran Al-Quran.
Setelah saya selesai memberi penerangan betapa sesatnyaulama    kita memberi pengajaran kepada golongan wanita yang terang-terang berlawanan dengan pengajaran Al-Quran, maka sekarang marilah kita mengetahui pula cara pentadbiran yang baik untuk mendidik wanita kita mengikut pengajaran Al-Quran dan golongan wanita kita hendaklah mengambil perhatian yang khusus untuk memperbaiki nasib mereka.
[Rencana ini telah disesuaikan dari rencana yang ditulis oleh Haji Nik Mohd Salleh bin Haji Wan Musa untuk kuliah Pengajian Al-Quran, bertarikh 1hb. Februari 1970]. 

No comments:

Post a Comment