Monday, April 25, 2016

TUJUAN AL-QURʾĀN DITURUNKAN

TUJUAN AL-QURʾĀN DITURUNKAN
Tujuan Al-Qurʾān diturunkan adalah.  sama dengan tujuan Nabi Muhammad (S.A.W.) diutuskan. Dua tujuan ini merupakan satu gambaran yang sama dalam satu rangkaian yang dimaksudkan oleh Allāh (S.W.T.) untuk manusia di dunia ini, kerana Al-Qurʾān dan Nabi Muhammad (S.A.W.) merupakan satu gambaran. Maka dikatakan dengan jelas oleh semua orang bahawa Al-Qurʾān itulah mukjizat yang terbesar yang ditinggalkan olehnya. Sumber mukjizat yang agung ini sentiasa dikaji, ditafsirkan dan dikhitab dengan pelbagai cara dan kemahuan; walaupun kadang-kadang terkeluar dari maksud atau tujuan yang dikehendaki oleh Al-Qurʾān dan Nabi Muhammad (S.A.W.) sendiri.
Al-Qurʾān yang merupakan sumber pemikiran ini sentiasa disebut sebagai kitab suci, dengan maksud adakah Allāh berikan ke tangan Muhammad (S.A.W.) untuk dikatakan besar dan suci, atau untuk dilagukan atau diberkatkan sebagai tangkal azimat atau dibaca untuk mendapat pahala sahaja? Adakah Al-Qurʾān ini merupakan satu pengajaran atau suatu ideologi yang amat tinggi hingga tidak dapat diamalkan?
Orang Islām sering menyalahkan Al-Qurʾān dengan alasan bahawa Al-Qurʾān hanya satu teori dan tidak dapat diamalkan, dan itulah sebabnya Islām tidak lebih daripada agama ibadat semata-mata. Kalau ada ibadat haji, maka ibadat itu sudah lapuk, tidak berjiwa dan lebih merupakan ibadat tradisi sahaja. Adakah dakwaan-dakwaan begini terutamanya oleh golongan Orientalis barat bahawa Islām adalah agama teori semata-mata

untuk menjadikan sifat kesamian (ruhbaniah) itu benar?
Kita selalu disuakan dengan dakwaan yang demikian kerana kita tidak pernah cuba mengkaji secara mendalam falsafah sejarah perkembangan Islām dengan melihat kepada amali oleh Nabi Muhammad (S.A.W.) dan para khalifah al-rāshidīn. Jika kita tidak melihat falsafah sejarah Islām berdasarkan ayat-ayat Al-Qurʾān, maka sering menjadi hilang arah dan kecoh dan sesat dalam memahami untuk apa Al-Qurʾān dan Nabi Muhammad (S.A.W.) itu diturunkan ke dunia sehingga menjadi rahmat kepada seluruh alam.
Itulah sebabnya, selalu ditegaskan orang bahawa Al-Qurʾān mengandungi segala-galanya. Jika orang berbicara tentang naik ke bulan, kita mengatakan perkara itu tersebut dalam Al-Qurʾān. Jika orang berbicara tentang kajihayat atau biologi, maka dikatakan ada dalam Al-Qurʾān. Begitulah seterusnya, sehingga seolah-olah Allāh menurunkan Al-Qurʾān untuk mengajar manusia menanam, mengajar manusia mengilang, mengajar manusia beristeri, mengajar manusia berniaga dan sebagainya. Adakah masalah-masalah yang kecil seperti ini yang dimaksudkan oleh Al-Qurʾān dan atas hal-hal yang seumpama ini Muhammad (S.A.W.) diutuskan?
Allāh menyebut dalam Al-Qurʾān:

Allāh menjanjikan kepada orang beriman di antara kamu dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa mereka akan menjadi khalifah di bumi sebagaimana orang terdahulu menjadi khalifah, dan Allāh menetapkan agama yang disukaiNya untuk mereka; dan akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan; mereka menyembah Aku dan tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu. Sesiapa yang ingkar sesudah itu, maka mereka itu adalah orang yang fasik. (Al-Qurʾān: 24: 55).
Dalam ayat di atas, Allāh memberi jaminan sebagai satu perjanjian kepada umat Islām, iaitu pemerintahan. Untuk memahami lebih lanjut, kita rumuskan begini. Allah menuntut supaya umat Islām menegakkan:
Pemerintahan.
Agama
Keadilan masyarakat
Ibadat.
Maksud pemerintahan itu ialah negara. Umat Islām mesti mempunyai negara sebagai pusat mengamalkan hukum-hukum Allāh, kerana umat Islām tidak dapat membuat apa-apa, walaupun mereka berteriak dan melaung sebelum mereka dapat memegang tampuk pemerintahan. Keadaan ini kita dapat lihat dalam sejarah perjuangan Rasūl Allāh (S.A.W.) pada zaman beliau berada di Mekah, suatu kebaikan Islam pun tidak dapat diadakan, tidak dapat diamalkan keadilan, dan perkembangan Islām sendiri dilaksanakan secara teori sahaja; sehinggalah Rasūl Allāh (S.A.W.) bertapak di Madīnah; iaitu baginda mempunyai negara dan memegang kuasa pemerintahan. Dengan ini kita dapat saksikan bagaimana keadilan sosial yang dilkasanakannya hingga ke zaman-zaman khalifah al-rāshidīn selepasnya.
Apabila orang bertanya Rasūl Allāh (S.A.W.), apakah pelaksanaan yang baik untuk umat Islām untuk membawanya ke syurga; lalu beliau membaca Al-Qurʾān, surah al-Ṣaff ayat 4:

Sesungguhnya Allāh mengasihi orang yang berperang pada jalanNya, berbaris-baris seolah-olah mereka itu satu binaan yang tersusun. (Al-Qurʾān: 61: 4).
Perjuangan untuk mendapat negara atau kekuasaan adalah satu perjuangan yang hebat. Perjuangan inilah yang membuktikan suatu keutuhan iman orang beriman yang sejati, kerana hanya dengan adanya negara atau pusat pemerintahan, umat Islām dapat mengamalkan hukum-hukum yang termaktub dalam Al-Qurʾān. Maksud ayat ini ialah umat Islām hendaklah memasuki tentera sama ada secara terbuka atau menjadi perisik dengan tujuan menegakkan negara Islām.
Setelah umat Islām mempunyai negara, maka dapatlah agama, iaitu jalan kehidupan yang murni, jalan tamadun dapat ditentukan batas-batasnya dan agama itu hanya Islām yang telah diakui Allāh, iaitu agama yang dibangunkan di atas fiṭrah manusia, jalan pimpinan untuk kebajikan umat ini setelah ada negara. Rasūl Allāh (S.A.W.) dapat memberi pimpinan kepada dunia Rom Timur dan Parsi setelah beliau mempunyai negara, dan setelah mempunyai agama, maka ketakutan dapat dihapuskan dan di sini keadilan sosial dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Setelah keadilan sosial dapat diwujudkan, maka untuk mendirikan ibadat tidak terhalang lagi.
Dalam surah al-Nūr, ayat 55, ternyata Allāh menyebut bahawa negara itu di tempat pertama, kerana sebelum mempunyai pusat kekuatan dan kekuasaan, tidak mungkin sama sekali hukum Allāh dapat dilaksanakan. Bagaimanakah kita ingin menjalankan hukum-hukum Islām, jika kita masih di bawah kekuasaan pemerintahan yang bukan Islām atau di bawah orang yang tidak yakin dengan keadilan hukum-hukum Islām.
Maka, ternyata kepada kita, bahawa tujuan utama Al-Qurʾān ini diturunkan ialah untuk menegakkan pemerintahan di bumi. Kekuasaan itu wajib dipegang, dan ini memerlukan perjuangan yang berterusan. Untuk menegakkan pemerintahan inilah Allāh telah membeli manusia dan orang beriman untuk tujuan perjuangan sucinya itu dalam surah al-Taubah, ayat 111:

Sesungguhnya Allāh telah membeli diri orang beriman bersama-sama hartanya; bahawa untuk mereka ialah syurga, iaitu mereka yang berperang di jalan Allāh, membunuh atau dibunuh orang; sebenarnya itulah janji Allāh atasnya yang termaktub dalam Taurāt, Injīl dan Al-Qurʾān. Sesiapa lebih menunaikan janjinya daripada Allāh, hendaklah kamu beri khabar gembira dengan setia yang kami bersetia dengannya. Demikian itulah kemenangan yang besar. (Al-Qurʾān: 9: 111).
Hakikat ini terlalu pahit, tetapi inilah tujuan Al-Qurʾān diturunkan dan Muhammad (S.A.W.) diutuskan untuk manusia. Jika negara dapat diwujudkan, maka keperluan sebuah negara dapat difikirkan oleh para pentadbirnya yang disebut uli al-amr. Maksud uli al-amr ini ialah badan presidium yang terdiri daripada para ḥukamāʾ, pentadbir-pentadbir dan tokoh-tokoh perancangan negara sebagaimana yang pernah diamalkan oleh Rasūl Allāh (S.A.W.). Maka dengan sendirinya segala ilmu yang diperlukan untuk menegakkan atau melengkapkan negara hendaklah dipelajari, contohnya ilmu pertanian, perindustrian, sains dan teknologi dan ilmu-ilmu lain. Ilmu-ilmu ini tidak tersebut dalam Al-Qurʾān secara terperinci selain daripada memberi galakan untuk mempelajarinya demi kepentingan negara Islām itu.
Allāh membawa pelbagai kisah dalam kitab suci Al-Qurʾān. Semua kisah itu berhubung dengan pemerintahan. Contohnya, kisah Nabi Yūsuf (A.S.) yang bermula dengan kegagalan Nabi Nūḥ (A.S.). Kemudian pentadbiran yang bijaksana daripada Nabi Ibrāhīm (A.S.) yang menempatkan dua orang puteranya di tempat yang berlainan; Isḥāq di tepi laut tengah dan Ismāʿīl di tepi laut Merah, iaitu dua tempat pertemuan dari tiga buah benua, dengan cita-cita, apabila keturunannya berkembang dan memegang tampuk pemerintahan, keturunan Ismāʿīl dan Isḥāq akan bersatu di bawah satu millah, iaitu millah Ḥanīfī. Kisah ini dilanjutkan dengan perjuangan Mūsā (A.S.) yang kemudiannya mati bersama-sama umatnya, kerana umatnya itu tidak sanggup mendirikan negara di Palestin yang dikuasai oleh kaum ʿAmaliqah. Dan Allāh menceritakan kejayaan Dāʾwūd (A.S.) atas pemerintahan yang dimaksudkan. Demikian juga hingga ke kisah-kisah falsafah negara itu sampai kepada Iskandar Dhulqarnain yang diberi cabaran ke atas sikap penghuni gua yang melarikan diri dari kekuatan raja yang zalim.
Allāh memberi telalu banyak penilaian dengan akal kita, betapa pentingnya sebuah negara diwujudkan dalam tangan orang yang berjuang di jalan Allāh. Maka atas tujuan seperti itulah Al-Qurʾān diturunkan dan Muhammad (S.A.W.) diutuskan kepada manusia, kerana Al-Qurʾān adalah jalan petunjuk untuk manusia menjalankan hukum-hukum yang adil dan saksama. Namun demikian, keadilan dan kesaksamaan itu hanya dapat dilaksanakan setelah umat Islām mempunyai pemerintahan atau negara sendiri. Tanpa negara, cita-cita Islam adalah sama seperti burung yang pandai bercakap.
Dalam keadaan dunia sekarang ini, oleh kerana orang Islām sendiri sudah tidak yakin dengan agama (ideologi) Islām sebagai agama yang dapat menegakkan pemerintahan, maka umat Islām yang beriman hendaklah mencapainya dengan bersungguh-sungguh. Keadaan dunia yang sudah bertukar corak dalam semua perasaan (zouq) manusia, perlu dikaji dengan teliti. Umat Islām yang tulen hendaklah mengingati apa yang telah diamanahkan Allāh dalam surah al-Anfāl, pada ayat 15, 16 dan 17 yang mengatakan bahawa orang beriman dilarang berundur dalam perjuangan suci ini walaupun seorang diri; kerana perjuangan ini adalah sebagai suatu ujian Allāh, dan Allāh memberi pertolongan untuk tujuan tersebut, walaupun tidak dapat dilihat semasa hayatnya. Contoh ini dapat dilihat dalam peperangan Badar.
Kemenangan umat Islām dalam peperangan Badar telah menimbulkan kekuatan pada asas terbentuknya negara Islām di Madīnah, dan membuktikan dengan jelas bahawa jihad itu pendahuluan dan kemudian diikuti dengan pemerintahan, dan akhirnya dapatlah dilaksanakan fiqh dengan sempurna. Itulah sebabnya Shāh Walī Allāh al-Dihlawī dalam kitab Ḥujjat Allāh Al-Bālighah menyebut bahawa Al-Qurʾān adalah permulaan revolusi. Al-Qurʾān itu perjuangan revolusi, dan beliau sendiri menjadi korban revolusi dalam perjuangannya menentang penceroboh luar dan dalam negerinya. Jalan Shāh Walī Allāh dalam memahami surah al-Muddasthir adalah seorang revolusioner Islām yang terulung memahami pelopor revolusi Islām dari Nabi Muhammad (S.A.W.).
Hakikat inzar itulah revolusi mengikut pendapat Shāh Walī Allāh. Ayat (2) dalam surah al-Muddasthir: “ÀQߤ°Õ q×”, adalah inzar atau memberi peringatan bahawa imperialis Rom Timur dan Parsi mahu menelan ʿArab, dan mereka hendaklah menyucikan diri daripada syirik iaitu seperti berpecah belah dan mengampu orang besar yang menjajah. Mereka hendaklah bertauhid, maksudnya bersatu di bawah satu bendera, iaitu Islām untuk menegakkan perjuangan secara revolusi fizikal dan mental. Hakikat inilah dijadikan asas bahawa Islām adalah revolusi dan bertujuan untuk menegakkan pemerintahan kerajaan atau negara seperti yang tersebut di atas dan amat tepat dengan kedudukan umat Islām pada zaman kita sekarang yang dihimpit oleh imperialis dari barat dan timur.
Masa untuk kita memahami falsafah Al-Qurʾān dalam teori dan amalinya sudah tepat. Umat Islām pada zaman kita sekarang lebih merupakan hamba kepada negara-negara imperialis dunia. Kita tidak dapat menyatakan kekuatan kita kerana kita menggantungkan sesuatu keperluan kita kepada orang lain. Kita memahami Al-Qurʾān hanya secara ibadat dan khasiat-khasiat yang diperolehi apabila membacanya sahaja. Sedangkan pada zaman sahabat, Al-Qurʾān diajar secara amali. Para sahabat mengajarnya secara berperingkat-peringkat. Mereka mempelajari sepuluh ayat dengan kemahiran tentang inti hakikat, kemudian mereka mengamalkan dalam perjuangan. Kemudian mereka mempelajari sepuluh ayat yang lain. Contohnya, ʿAbd Allāh bin ʿUmar al-Khaṭṭāb mempelajari satu surah al-Baqarah selama lapan tahun. Ibn ʿUmar bukan belajar membaca Al-Qurʾān, tetapi beliau mempelajari bagaimana mengamalkan sesuatu mengikut pengajaran Al-Qurʾān.
Cita-cita Al-Qurʾān ialah menegakkan pemerintahan Islām yang menyeluruh di muka bumi; kerana dengan adanya negara demikian, semua dapat dilaksanakan; sehingga Allāh mengatakan Dia telah membeli diri orang beriman, untuk pembalasan syurga iaitu kebahagiaan dengan mempunyai negara. Dalam ayat yang lain Allāh akan mengazabkan orang yang syirik dan murtad dalam neraka, iaitu mereka dijajah; kerana bangsa yang dijajah tidak boleh menjalankan sesuatu kebaikan untuk faedah bangsanya. Akhlak mereka akan rosak. Mereka syirik, mereka mengampu orang besar. Mereka mendewa-dewakan pemimpin dan tidak berani menyatakan kebenaran.
Tunjang Islām ditegakkan di atas tauhid dan menjauhkan lawan tauhid iaitu syirik; untuk menegakkan persatuan umat, menegakkan satu ideologi, menegakkan sebuah negara yang merdeka, negara yang berdikari, membebaskan dirinya daripada sikap menurut dan menjadi kuda tunggangan oleh negara yang dianggap besar. Amalan syirik seperti ini dicela oleh Islām. Inilah punca sebenar kejatuhan Islām pada zaman kita ini.
Hakikat inzar itulah seruan sebenar bahawa Islām adalah ditegakkan di atas jihad atau revolusi, iaitu perubahan yang ditegakkan di atas perjuangan jiwa dan harta. Al-Qurʾān telah menyatakan ini dengan amat banyak dan telah diamalkan oleh Nabi Muhammad (S.A.W.). Hakikat jihad atau revolusi dalam Islām yang dianjurkan olehnya supaya wajib menegakkan negara, dan diulang lagi oleh Abū Bakar al-Siddīq ketika beliau dipilih sebagai khalifah pertama. Beliau menyeru supaya umat Islām terus berjihad, menegakkan pemerintahan untuk melaksanakan agama, keadilan sosial dan untuk senang beribadat.
Dengan kenyataan ini, maka teranglah bahawa tujuan diturunkan Al-Qurʾān dan diutuskan Nabi Muhammad (S.A.W.) ialah untuk mendirikan negara, dan untuk tujuan itu dengan sendirinya semua keperluan lain tertakluk di bawahnya. (Hj. Nik Mohd Salleh Musa – Kota Bharu, Kelantan, 1970).

No comments:

Post a Comment