Thursday, December 24, 2015

Pendahuluan al-buruj



Pendahuluan

Surah ini menerangkan bahawa dalam sejarah manusia, manusia terbahagi kepada dua peringkat millah yang besar.[1]
i.                  Peringkat pertama bermula pada zaman Nabi Adam (A.S.) hingga ke zaman Nabi Ibrahim (A.S.). Peringkat ini dinamakan Millah Ṣabiʾah. Ada juga yang berpendapat peringkat ini bermula pada zaman Nuḥ (A.S.), kerana pada zaman Adam (A.S.) hingga ke zaman Nuḥ (A.S.) keadaan pemikiran manusia masih terlalu rendah.
ii.               Peringkat kedua bermula pada zaman Ibrahim (A.S.) hingga ke zaman sekarang dan akan datang. Peringkat ini dinamakan zaman Millah Ḥanifi. Pelopor Millah Ḥanifi ialah Ibrahim (A.S.).

Millah Ṣabiʾah
Umat dalam Millah Ṣabiʾah menumpu perhatian kepada bintang-bintang. Mereka belajar ilmu bintang dan kesan-kesannya kepada seluruh alam serta perkaitannya dengan akhlak, kejadian diri mereka dan kehidupan mereka. Pemerintahan dan pembersihan akhlak mereka berdasarkan pemerhatian mereka terhadap kesan bintang-bintang.
Shaykh berkata, pada zaman itu manusia tidak menumpu kepada tajalli yang berada di tengah Ḥaẓirat al-quds yang dipanggil ‘illat bagi semua ‘illat atau sebab bagi semua sebab. Mereka hanya menumpu kepada sebab-sebab yang hampir. Setelah Ibrahim (A.S.) diutuskan, beliau membersihkan jalan pembersihan akhlak dan budaya mengikut cara yang dikehendaki oleh tajalli di tengah Ḥaẓirat al-quds.
Ahli Millah Ṣabiʾah yang masih wujud sekarang ialah penganut Millah Hindu,  Buddha, Confucius dan millah-millah lain. Mereka mencipta banyak lambang bintang pada bentuk bangunan dan rumah kediaman mereka. Bentuk bangunan itu menggambarkan satu rupa buruj yang mempunyai ‘khawas’ ke atas penghuni bangunan itu.
Pada peringkat pertama ini, ilmu bintang memang dibolehkan dan benar, tetapi setelah berlalu zaman, telah berlaku banyak penyelewengan dalam pelaksanaan ilmu bintang. Oleh kerana sering berlaku kesilapan, maka Millah Ḥanifi dan akhirnya pada zaman Millah Muhammadiyah, ilmu bintang dilarang secara menyeluruh, kerana walaupun manusia berhubung dengan bintang, mereka hanya berhubung dengan sebahagian dari tajalli Allah melalui makhlukNya.

Millah Ḥanifi
Perpecahan dalam Millah Ḥanifi membentuk tiga millah utama iaitu
i.                  Millah Yahudi
ii.               Millah Naṣara
iii.            Millah Muhammadiyah
Perpecahan ini berlarutan hingga sekarang, seolah-olah tiada penyelesaian, malah semakin lama semakin jauh terpisah. Sebenarnya perpecahan itu bermula dari sikap taksub ahli-ahli millah sahaja. Pada asasnya tiada perbezaan antara tiga millah ini. Malah matlamat dalam Millah Ṣabiʾah juga sama dengan matlamat Millah Ḥanifi, tetapi hanya berbeza daripada segi pelaksanaan kehendak al-din.
Pengikut Millah Ḥanifi dikehendaki berhubung secara terus dengan pusat tajalli Allah (S.W.T.) tanpa sebarang perantaraan. Dengan sebab itulah, Millah Ṣabiʾah dibatalkan kerana tidak sesuai dengan zaman dan tidak lengkap.
Semua peristiwa yang berlaku di bumi berasal daripada Ḥaẓirat al-quds. Ḥaẓirat al-quds adalah pusat yang melahirkan semua benda yang wujud di alam ini. Ḥaẓirat al-quds juga merupakan humpunan al-Malaʾ al-a’la.
Setelah pemikiran manusia menjadi lebih matang, maka cara mereka berdamping diri kepada Allah perlu diperbaiki. Cara yang baru ini dibawa oleh Ibrahim (A.S.) mengikut kehendak tajalli ditengah Ḥaẓirat al-quds. Ini ditegaskan oleh Ibrahim (A.S.):
“Sesungguhnya aku tumpukan haluanku kepada Pencipta langit dan bumi dengan berpihak kepada yang benar dan aku bukan dari kalangan orang musyrik”. (al-An’am: 79).
Kita diarah membaca firman di atas dalam setiap kali sembahyang kerana mengingati penegasan Ibrahim (A.S.) sebagai garis pemisah dalam pegangan antara peringkat belum matang dan peringkat sesudah matang. Dengan doa ini kita dikehendaki menumpu perhatian kepada Pencipta yang awal sahaja.
Surah al-Buruj menerangkan kedua-dua peringkat perkembangan kematangan manusia yang dinyatakan dan memberitahu kepada ahli bintang tentang kiamat.

Dipetik dari tafsr al hakm, haji nik abdullah bin haji wan musa.


[1] Lihat carta al-din, millah dan mazhab dalam lampiran I dan II di akhir surah ini.

No comments:

Post a Comment