Thursday, December 24, 2015

Sifat Haiwan Dan Sifat Malaikat Pada Manusia.



Sifat Haiwan Dan Sifat Malaikat Pada Manusia.
Pada manusia terdapat sifat haiwan yang boleh dilihat dan sifat malaikat atau al-nafs al-naṭiqah yang tidak dapat dilihat. Ada dua cara menyampaikan pengajaran kepada nauʿ manusia.

i.                 Cara yang mengutamakan kehendak sifat malaikat dan mengabaikan kepentingan sifat haiwan. Cara ini menganggap bahawa sifat haiwan tidak boleh dibawa bersama-sama roh menemui Allah, khususnya untuk memasuki syurga. Cara ini diamalkan oleh pengikut millah abiʾah seperti sami-sami Buddha yang mementingkan kehendak sifat malaikat sahaja. Mengikut cara ini manusia berada dalam keadaan rebutan atau saling menarik antara sifat haiwan dan sifat malaikat. Dua sifat ini menarik ke arah yang berlawanan untuk menyempurnakan kehendak masing-masing. Cara ini berlawanan dengan fiṭrah manusia dan sukar diamalkan. Misalnya sukar bagi seseorang itu berpuasa sepanjang hayat, sedangkan agama itu mudah dan secucuk dengan fiṭrah manusia.
ii.             Cara yang menjaga dan meraikan kehendak sifat haiwan dan sifat malaikat serentak. Cara ini dinamakan cara perdamaian dan sesuai dengan fiṭrah manusia, senang diamalkan dan dihayati oleh setiap peringkat manusia seperti orang tua, orang muda, lelaki dan perempuan. Para nabi diutus untuk menerangkan cara yang kedua ini. Inilah jalan para nabi.
Oleh kerana dua cara ini tidak dibezakan secara jelas, maka timbul salah faham dalam kalangan ahli ilmu semasa menyesuaikan ilmu yang dibawa oleh para nabi. Ahli-ahli ilmu terkeliru antara pendapat para ukamaʾ yang bercanggah dengan pendapat para nabi.
Hanya Shah Wali Allah dapat menerangkan dengan jelas tentang dua cara ini. Perkara ini disebut kerana masyarakat memandang masalah ini tidak penting dan sering diabaikan. Akibatnya orang ramai tidak dapat membezakan antara jalan yang mudah dan jalan yang susah.

Al-Quran Menerangkan Hanya Perkara-perkara Penting.
Al-Qurʾan menerangkan hanya perkara-perkara penting. Maka untuk mengetahui lebih lanjut, umat Islam terpaksa merujuk kepada kisah yang ditulis oleh ulama Yahudi dan diselitkan dalam tafsiran Al-Qurʾan. Pendapat mereka ditelan bulat-bulat oleh orang Islam tanpa meragui tentang kebenarannya. Pentafsiran yang sedemikian tidak berguna untuk memahami hikmah pengajaran Al-Qurʾan. Sebagai contoh, apakah hikmah Allah taʿala mengutuskan Musa (A.S.)? Mengapakah Allah jadikan Asiah sebagai isteri Firʿaun? Dengan membaca pentafsiran yang didapati sekarang semua kisah dalam Al-Qurʾan tinggal sebagai kisah sahaja dan dua soalan di atas tidak terjawab.

Dipetik dari tafsr al hakm karangan haji nik abdullah haji wan musa.

1 comment: