Thursday, December 24, 2015

Pengajaran Para Nabi Tersimpan Dalam Fiṭrah Manusia.



Semua Manusia Mahukan Kebaikan.
Semua manusia mahukan kebaikan sama ada mereka pernah diajar oleh rasul atau tidak. Bentuk pelaksanaan perkara baik dan nilainya berbeza kerana keadaan masyarakat yang berbeza.
“Dan dialah yang mengeluarkan rumput-rumput. (4) Dia jadikan rumput itu kering kehitaman”. (Al-Qurʾan: 87: 4 & 5). 
Maksudnya, manusia yakin bahawa kebanyakan haiwan hidup dengan memakan rumput. Maka Allah mengadakan tempat meragut yang ditumbuhi rumput dengan banyak untuk binatang itu. Demikian juga manusia yakin bahawa mereka akan hidup sempurna dengan pelbagai ilmu yang diturunkan kepada para nabi untuk mengawal kehidupan mereka.[1] Pengajaran para nabi adalah perkara pasti kepada manusia dan bukannya sebagai keperluan tambahan. Maka hikmat diutuskan para nabi hanya untuk menyempurnakan kehidupan manusia yang semula jadi. Keperluan badan yang menghidupkan manusia tidak memerlukan pengajaran nabi, misalnya cara manusia mengadakan makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan jasmani yang lain sama dengan keperluan pada haiwan. Perbezaan antara manusia dan haiwan ialah manusia mempunyai akal yang menolongnya, dan dengan pimpinan ilmu para nabi membantu manusia mencapai kebahagiaannya.
“Akan Kami bacakan kepada kamu, maka tidaklah kamu lupa”. (Al-Qurʾan: 87: 6).

Pengajaran Para Nabi Tersimpan Dalam Fiṭrah Manusia.
Secara umumnya, ilmu itu tersedia, tersimpan dalam fiṭrah manusia. Para nabi datang hanya menerangkan dan mengingatkan kembali dan memperincikannya. Dengan sebab itu tidak dinafikan akan hilang mana-mana ilmu yang ada di samping mereka.
Allah menguruskan haiwan dengan menumbuhkan rumput pada musimnya. Kemudian rumput itu kering kehitaman pada musim yang lain. Maka dengan sifat ketuhananNya yang agung, Allah menguruskan manusia untuk mendapatkan makanan dengan menggunakan akal. Itulah kelebihan manusia berbanding dengan haiwan. Maka itulah sebabnya Allah berfirman yang bermaksud: “Akan Kami bacakan kepada kamu”. Di sini “kamu” ditujukan kepada Nabi Muammad (S.A.W.) sebagai guru dan pemimpin yang mengajar manusia tentang kehendak manusia itu sendiri. Inilah maksud kalimah: “maka tidaklah kamu lupa”.

Dipetik dari tafsr al hakm karangan haji nik abdullah haji wan musa.



[1] Demikian juga Allah taʿala telah menurunkan ilmu dari aẓirat al-quds melalui para nabi untuk mengekalkan kehidupan manusia. Tanpa ilmu, manusia tidak mungkin mencapai kesempurnaan sama ada di dunia atau di akhirat. Ilmu yang diberi oleh Allah kepada manusia melalui dua sumber. Pertama ilmu dari sumber semula jadi dan kedua dari sumber ilmu yang terkumpul. Ilmu dari dua sumber ini penting kepada manusia untuk mencapai kesempurnaan. Itulah yang diisyaratkan pada firmanNya.

No comments:

Post a Comment