Friday, October 9, 2015

Khilaf umatku adalah rahmat




(dipetik dari karangan zainudin deris-meninggal 2010M, dalam tafsir al hakm surah ke 70 oleh haji wan abdullah wan musa-meninggal 1932M)
Kebiasannya, sesuatu rencana mengenai masalah agama menimbulkan salah faham. Mereka yang tidak jujur terhadap agamanya, sengaja tidak mahu memahaminya kerana taksub dengan seseorang tokoh agama. Dalam keadaan demikian:
i)               Mereka mengeruhkan lagi keadaan tanpa memahami masalah sebenar, tanpa mengkaji secara mendalam maksud pengajaran Allah dan sunnah Nabi (S.A.W.) kerana tidak secucuk dengan kefahaman mereka.
ii)           Mereka terus menyalahkan pendapat orang lain dan menganggap hanya pendapat mereka yang benar.
Sikap mereka ini sungguh menghairankan orang yang berakal. Adakah mereka tidak terbaca persabdaan Nabi (S.A.W.) :

Maksud: “Perkhilafan umatku adalah rahmat.” (al-ḥadith).
Apakah rahmat di sebalik perkhilafan pendapat para ulama umat Muammadiyah dalam sesuatu masalah? Jika tiada sebarang kebaikan, adakah persabdaan itu salah? Allah taʿala berfirman:
Maksudnya: “Mereka sentiasa berselisih pendapat melainkan orang yang diberi rahmat oleh Tuhan; untuk itulah mereka dijadikan”. (Al-Qurʾan:11: 118, 119)
Ayat di atas menunjukkan dengan jelas kedunguan mereka yang menentang perkhilafan pendapat para ulama dalam sesuatu masalah, kerana pada hakikatnya mereka menentang Allah; sedangkan hikmat Allah Yang Maha Tinggi sengaja menjadikan manusia sentiasa berselisih pendapat. Daripada perkhilafan itulah Allah melahirkan rahmatNya kepada manusia.
Mereka yang memahami perkhilafan itu mendapat rahmat daripada Allah  dan dapat menyesuaikan diri dengan memilih pendapat yang baik dan berguna untuk mereka.

 

AURAT, PAKAIAN LELAKI DAN PAKAIAN WANITA


Skop Analisis
Orang ramai ragu dalam masalah ʿaurat dan pakaian. Mereka dapati sebahagian isteri-isteri para ulama Islam dan tokoh agama yang lampau tidak berpakaian seperti wanita sekarang. Adakah para ulama dan tokoh ini tidak memahami hukum Allah, atau mereka belum menjumpai hukum? Ini perkara mustahil, kerana kebanyakan ulama menuntut di Tanah Suci. Tambahan pula mereka tidak pernah membebankan orang ramai; memadailah jika orang ramai memakai pakaian yang menutup ʿaurat.
Para ulama silam amat berjasa kepada agama. Jasa mereka tidak dapat dilupakan. Dengan jasa merekalah umat Islam kini dapat menikmati kemanisan Islam. Para ulama lampau mengamalkan Islam secara baik dan mudah. Kami yakin mereka adalah ulama yang terdidik dan berpengetahuan luas serta benar-benar memahami masalah agama, kerana mereka dibimbing oleh guru-guru yang taat kepada Allah, muhakik dan ikhlas kerana Allah. Amalan mereka bertepatan dengan sunnah dan Al-Qurʾan. 
Setelah generasi ulama yang lampau ini meninggal dunia, mereka diganti oleh para ulama generasi baru yang kononnya berpengetahuan tinggi dan tidak setanding dengan para ulama silam. Maka timbul pelbagai kekeliruan dalam usaha mereka untuk menampung keperluan masyarakat.
Analisis ini bertujuan menghapuskan keraguan yang berpanjangan supaya umat Islam sentiasa berada di atas landasan yang betul. Sebenarnya, hukum dalam masalah ini sudah lama dipertikaikan dalam kalangan golongan ulama Islam. Setiap golongan berpegang mati-matian dengan pendapat mereka tanpa menganalisa secara teliti sumber-sumber asal iaitu:
i)               Al-Qurʾan,
ii)           Al-Sunnah 
iii)       ijmaʿ para ulama.
Golongan ini tidak memikir tentang hikmat perutusan Nabi Muammad (S.A.W.) yang umum dan Al-Qurʾan yang maha berhikmat.
Al-Qurʾan bukan diturunkan untuk bangsa ʿArab sahaja, malah diturunkan untuk semua manusia di dunia ini.

Manusia Yang Dicipta Berbeza.
Allah mencipta manusia. Manusia yang dicipta itu berbeza daripada segi  keturunan dan kaum, kebudayaan yang merangkumi cara hidup dan adat atau resam. Semua perbezaan ini mengandungi hikmah yang mendalam bagi mereka yang memahaminya sebagaimana Allah taʿala berfirman:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah jadikan kamu dari lelaki dan perempuan; dan Kami jadikan kamu beberapa bangsa dan puak supaya kamu saling berkenalan; sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang lebih takwa di antara kamu”. (Al-Qurʾan:49: 13).

Al-Qurʾan Diturunkan Untuk Semua Manusia.
Allah taʿala menurunkan Al-Qurʾan kepada Nabi Muammad (S.A.W.) semata-mata sebagai rahmat untuk alam yang didiami manusia yang berbagai-bagai ragam. Maka terserlah dengan jelas bahawa maksud Al-Qurʾan tidak semesti dirujuk kepada satu bentuk pelaksanaan yang khusus; tetapi hendaklah dilihat pada maksud umum yang terdapat dalam sesuatu ayat.
Nabi Muammad (S.A.W.) berbangsa ʿArab. Baginda mengasaskan dan melaksanakan syariatnya berdasarkan kebudayaan kaum ʿArab yang serba sederhana. Akan tetapi perlu diingat bahawa perutusan Baginda dan Al-Qurʾan yang diturunkan adalah untuk seluruh manusia – bukan untuk bangsa ʿArab sahaja. Ciri-ciri yang sederhana bangsa ʿArab pada zaman itu sebagai contoh terbaik untuk manusia secara umum. Allah taʿala berfirman:
“Demikianlah Kami jadikan kamu satu umat pertengahan supaya kamu menjadi pembawa keterangan kepada manusia dan rasul menjadi saksi kepada kamu”.( Al-Qurʾan: 2: 143).

Pengajaran Al-Qurʾan Dan Sunnah Nabi Menjurus Ke arah Kesederhanaan.
Rasul Allah (S.A.W.) bersabda:

 “Sebaik-baik perkara itu ialah yang sederhana”.(al-ḥadith)
Maka pengajaran Al-Qurʾan, sunnah Nabi (S.A.W.) dan ijmaʿ para ulama salaf semuanya menjurus ke arah kesederhanaan. Bukan kehendak sharaʿ bahawa seseorang melaksanakan shariʿat dengan cara yang menyusahkan dan membebankan diri dengan perkara yang tidak berguna lebih-lebih lagi mengganggu kecergasan manusia. Allah taʿala berfirman:
“Allah mahu memberi keringanan kepada kamu dan tidak mahu memberi kesusahan kepada kamu”. (Al-Baqarah: ayat 185).
Rasul Allah (S.A.W.) berpesan kepada Abu Musa al-Ashʿari dan Muʿaz bin Jabal (R.A.) semasa baginda mengutus mereka ke Yaman. Baginda bersabda:

 “Hendaklah kamu berdua memudahkan dan janganlah menyusahkan dan hendaklah kamu berdua mengembirakan dan janganlah meliarkan dan hendaklah kamu berdua saling patuh dan janganlah bertelingkah”. (al-ḥadith).
Baginda bersabda:

Maksudnya: “Hanya kamu diutus untuk mempermudahkan dan kamu tidak diutus untuk menyukarkan. (al-ḥadith).
Inilah kehendak Rasul Allah (S.A.W.) iaitu setiap orang yang mahu menyeru orang ramai ke arah kebaikan dilarang memilih jalan yang menyusahkan dan membebankan orang ramai. Inilah kehendak asal agama.
Al-Imam ujjat al-Islam al-Shah Wali Allah (1702-1763M atau 1114-1176 H) telah membentangkan perkara ini seperti berikut. Beliau berkata bahawa dalam pelaksanaan dakwah dan mengajak manusia ke arah kebaikan, tidak seharusnya diketengahkan cara pelaksanaan amalan yang menyusahkan dan membebankan mereka. Dan mereka digalak mengerjakan amalan taat mengikut kecenderungan dan kegemaran tabiat mereka supaya tabiatnya boleh membantu ke arah perkara yang dikehendaki oleh akal. Dengan sebab itu saling berganding dua tenaga. Dari situlah maka disunatkan mengharumkan masjid, membersihkannya dan mandi serta memakai bau-bauan pada hari Jumaat dan disunatkan membaca Al-Qurʾan dengan suara yang lunak dan berlagu. Hendaklah dihapuskan kesusahan daripada mereka dan perkara yang meliarkan tabiat mereka. Itulah sebabnya makruh berimam kepada hamba dan orang desa dan seterusnya. (Al-Imam Shah Wali Allah al-Dihlawi: ujjat Allah al-Balighah, halaman: 111, 112).

 

Definisi Aurat

Istilah ʿaurat biasanya ditujukan kepada anggota yang haram dilihat sama ada oleh lelaki dengan perempuan, perempuan dengan perempuan atau lelaki dengan lelaki. Dalam bahasa Arab ʿaurat bererti keaiban atau sebarang anggota badan yang apabila terdedah, ditutup secara tergesa-gesa kerana pendedahan itu memalukan.
Imam Shah Wali Allah mentakrifkan ʿaurat seperti berikut:
“Ketahuilah bahawa menutup ʿaurat, saya maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban kerana terdedah di hadapan khalayak ramai mengikut adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa Quraish pada zaman itu. Menutup ʿaurat termasuk dalam asas tamadun yang diakui di sisi setiap golongan manusia dan antara perkara yang membezakan manusia dari pelbagai jenis haiwan. Oleh sebab itu shariʿat mewajibkan supaya menutup ʿaurat tersebut iaitu dua kemaluan (qubul dan dubur) dan dua buah zakar, bahagian ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya termasuklah dua pangkal paha yang jelas dikira daripada segi agama bahawa termasuk ke dalam bahagian ʿaurat. Tidak perlu mendapat dalil pada perkara itu. Persabdaan Nabi (S.A.W.) telah menunjukkan bahawa apabila seseorang kamu mengahwini hamba perempuan, maka janganlah dia melihat pada ʿauratnya. Dalam riwayat lain Nabi (S.A.W.) bersabda: “Maka janganlah dilihat kepada anggota yang di bawah pusat dan di atas lutut”. Nabi (S.A.W.) bersabda lagi: “Tidakkah kamu tahu bahawa dua paha itu ʿaurat?” Sebenarnya ḥadith-ḥadith yang datang dalam masalah ini didapati saling bercanggah, tetapi mengambil dengan apa yang tersebut di atas ini adalah lebih cermat dan lebih hampir kepada peraturan syarak”.[1]
(dipetik dari karangan zainudin deris-meninggal 2010M, dalam tafsir al hakm surah ke 70 oleh haji wan abdullah wan musa-meninggal 1932M)



[1] ujjat Allāh Al-Bālighah: Juzuk 2: Bab : ʿAurāt, ms. 126).

No comments:

Post a Comment