Thursday, June 23, 2016

Harta Orang Yang Mengabaikan kanun Ilahi Tidak Dapat Menolongnya

Harta Orang Yang Mengabaikan kanun Ilahi Tidak Dapat Menolongnya.
Allāh berfirman:

“Dan hartanya tidak akan menolong dia apabila dia jatuh”. (Al-Qurʾān:  92: 11).
Maksudnya, orang yang mengabaikan kanun Ilahi, harta mereka tidak dapat menolong mereka sedikitpun. Semasa dia senang dan mengumpul harta yang banyak dia tidak sedar dan tidak memenuhi kehendak fiṭrahnya. Harta yang dikumpulkan itu tidak berguna apabila dia digulingkan.

Hanya Allāh Yang Mendorong Seseorang Ke jalan Yang Baik.
Allāh berfirman:

“Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah menunjuk jalan yang lurus”. (Al-Qurʾān: 92: 12).
Maksudnya, hanya Allāh yang mendorong ke jalan yang baik. Kita hanya berdoa supaya kita didorong ke jalan yang baik. Pimpinan ke arah jalan yang lurus ada perhubungan dengan kanun Ilahi (hukum fiṭrah). Ini bererti hidayah boleh didapati melalui doa dan usaha berpandukan kanun Ilahi iaitu peraturan dan perubahan penciptaan Allāh setiap hari. Doa yang paling berkesan ialah melalui usaha dan melaksanakan tugas. Untuk berjaya, manusia perlu berusaha.
Istilah hudā bermaksud berpegang teguh kepada unsur akhlak induk seperti kesucian, taat kepada kebenaran, sedia memaaf dan bersikap adil.

“Dan sesungguhnya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia, (13). Oleh itu Aku ancamkan kamu dengan api yang menyala-nyala.(14). Tidak masuk ke dalamnya melainkan orang yang amat celaka”. (15). (Al-Qurʾān: 92: 13,14, 15).
Allāh mengugut dengan api yang menyala-nyala. Sebenarnya di dunia pun sudah ada api yang menyala-nyala iaitu api kemarahan orang ramai akibat perbuatan jahat seseorang. Ini bererti dia menyalakan api dan dia akan masuk ke dalam api itu kerana dia telah mencelakakan dirinya.

Dipetik dari tafsir al hakm.

No comments:

Post a Comment