Monday, February 22, 2016

Allah mencabar orang kaya yang b

Allāh Mencabar Orang Kaya Yang Berjiwa Kurang Baik.

Manusia Dicipta Dalam Kesusahan.

“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia di dalam kepayahan”. (Al-Qurʾān: 90: 4).
Semua kesusahan untuk mendapat kesenangan. Tempat yang benar-benar tenang dan rehat hanya syurga.  Lumrah manusia di dunia, mesti menempuh kesusahan.

Allāh Mencabar Orang Kaya Yang Berjiwa Kurang Baik.
Terdapat juga orang kaya yang berjiwa kurang baik. Mereka menganggap dengan membelanjakan harta, mereka dapat menduduki kemuncak kesenangan. Pemikiran dan tindakan seperti ini salah.
Harta tetap berguna kepada seseorang untuk meningkatkan kehidupan dan asas kebahagiaan di akhirat. Satu kesusahan yang dihadapi manusia ialah memilih cara yang lebih baik membelanjakan hartanya.
Orang kaya yang berjiwa kurang baik akan membelanjakan harta sewenang-wenang, seolah-olah mereka adalah hakim ke atas diri mereka, dan tiada hakim lain yang menguasai mereka. Inilah maksud firman Allāh:

“Adakah dia mengira dia tiada seorangpun yang menguasainya?” (Al-Qurʾān: 90: 5).
Allāh mencabar mereka yang berjiwa demikian kerana kekayaan, mereka merasa diri mereka serba cukup yang menyebabkan mereka bertindak sesuka hati. Semangat ṭāghūt mulai bertapak di hati mereka. Seorang yang tidak yakin ada suatu kuasa yang mengatasi dirinya akan bertindak apa sahaja dengan menggunakan harta dan kuasa yang ada padanya.

Perbelanjaan Yang Bercanggah Dengan Fiṭrah Tidak Mendatangkan Kesenangan.
Di samping itu ramai juga orang kaya yang mengorbankan sebahagian besar harta mereka tetapi gagal menikmati kesenangan yang diingini. Lalu mereka berputus asa. Mereka gagal kerana tidak mengikuti kehendak fiṭrah manusia. Allāh menegaskan bahawa sememangnya dijadikan manusia berada dalam kesusahan. Allāh berfirman:

Dia berkata: “Aku telah membelanjakan harta yang banyak.” (Al-Qurʾān: 90: 6).
Harta yang dibelanjakan dan bercanggah dengan kemahuan fiṭrah manusia tidak akan mendatangkan ketenangan kepada pemiliknya. Dengan harta itu dia membeli pelbagai peralatan untuk mendapat kesenangan seperti tempat tidur yang selesa, perabot dan permaidani, buku-buku, istana, pembantu rumah, perempuan cantik dan remaja kacak untuk menyempurnakan keinginan seks. Demikianlah keadaan pengurusan harta yang terkeluar dari landasan kebenaran.

“Adakah dia mengira bahawa tiada seorangpun yang memerhatikannya?” (Al-Qurʾān: 90: 7).
Orang yang leka dengan kekayaan, pangkat dan kedudukan merasa segala tindakan mereka tidak diketahui oleh orang lain. Jika diketahui pun, tindakan tidak dapat diambil terhadap diri mereka. Maka mereka membuat sesuka hati kerana tiada sebab yang boleh menghalang.
Allāh mencabar orang yang bersikap seperti ini. “Adakah dia mengira bahawa tiada seorangpun yang memerhatikannya (bahawa dia telah menggunakan hartanya yang banyak)?” Bukankah Allāh melihat perbuatanya yang salah walaupun orang lain tidak mengetahuinya? Allāh tetap mengetahuinya.

Orang Kaya Hendaklah Berbelanja Untuk Mendapat Ketenangan.
Orang kaya boleh merasa senang dengan membelanjakan hartanya secara baik. Caranya boleh ditunjukkan oleh para ḥukamāʾ dan orang pandai di sekitarnya.

“Bukankah Kami telah jadikan untuknya dua mata? (8). Dan satu lidah dan dua bibir”. (9). (Al-Qurʾān: 90: 8, 9).
Maksudnya, perhatikan bagaimana bangsa-bangsa yang maju membelanjakan harta untuk mendapat ketenangan. Adakah mereka seperti kamu?  Perhatikan orang Islām pada zaman silam yang terdiri daripada Al-sābiqūn al-awwalīn seperti ʿUmar bin al-Khaṭṭāb dan para sahabat yang lain. Mereka hidup dengan tenang, menikmati kemerdekaan yang tulen dan memerintah.

Allāh Menunjukkan Dua Jalan Kepada Manusia.
Dengan berbincang dan bertanya kepada para ḥukamāʾ untuk mencari penjelasan, maka ilmu yang didapati daripada sumber melalui pancaindera ini ditunjukkan oleh Allāh seperti firmanNya:

“Dan Kami telah tunjukkan kepadanya dua jalan”. (Al-Qurʾān: 90: 10).
Kebanyakan ahli tafsir mengatakan maksud kalimah dua jalan (sçPJrÛ¯) ialah jalan jahat dan jalan baik. Di sisi kami kedua-dua jalan itu adalah baik. Perbezaan antara dua jalan itu hanya daripada segi darjah tinggi dan rendah. Dua jalan itu merupakan jalan yang susah untuk manusia sampai kepada Allāh. Dua jalan itu seolah-olah banjaran gunung yang sukar didaki oleh manusia. Jika manusia berfikir dengan teliti dan bertanya, pasti dia akan sampai kepada salah satu jalan itu, kerana kedua-dua jalan itu diketahui oleh manusia.

“Maka dia tidak berusaha menempuh jalan mendaki. (11). Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki itu?”. (12). (Al-Qurʾān: 90: 11, 12).
Ini gambaran sesuatu yang samar kepada manusia. Allāh datangkan kata-kata yang menunjukkan kehairanan dengan kalimat al-ʿaqabah. Jika manusia tidak sanggup menanggung risiko sejak awal sesuatu pekerjaan, maka tidak ada harapan kebaikan untuknya. Maka manusia berusaha menempuh al-ʿaqabah dan pelbagai kesulitan, merupakan sesuatu yang wajib dilalui.

Maksud Memerdekakan Hamba.
Maksud al-ʿaqabah diterangkan dengan firmanNya:

“Memerdekakan hamba”. (Al-Qurʾān: 90: 13).
Ahli-ahli tafsir telah sekata bahawa jika berlaku peperangan antara kerajaan Islām dengan kerajaan kafir, dan kerajaan kafir mendapat kemenangan kerana kerajaan Islām yang lemah, pada waktu itu seluruh orang Islām wajib bangun menuju ke medan pertempuran tanpa pengecualian untuk membebaskan mereka yang tertawan dari belenggu perhambaan. Maka maksud memerdekakan hamba ialah menghapuskan belenggu perhambaan di leher setiap orang.

Hutang Dan Riba Menyebabkan Perhambaan.
Faktor utama menyebabkan perhambaan dalam kalangan manusia ialah hutang, riba dan bayaran lebih. Contohnya, seorang berhutang daripada seorang kaya yang mensyaratkan bayaran balik hutang itu lebih banyak dalam tempoh tertentu. Setelah berlalu masa yang lama, bayaran balik hutang yang tidak dapat dijelaskan pun berganda sehingga tidak berdaya lagi membayarnya. Pada tahap itu, orang kaya memaksa orang yang berhutang berkhidmat kepadanya sepanjang hayatnya kerana riba bertambah subur dengan berlalu masa. Maka amalan kebajikan yang tertinggi yang harus dilakukan oleh orang kaya ialah melucutkan beban hutang yang ditanggung oleh orang yang berhutang dengan memerdekakannya.
Umat ʿArab Jahiliah amat banyak mengamalkan riba. Orang kaya yang berpengaruh disokong dan dilindungi oleh pihak berkuasa dalam kegiatan hutang piutang dan riba. Maka masyarakat ʿArab perlu disedarkan supaya menentang kegiatan riba yang membahayakan masyarakat itu yang mana pihak berkuasa menyebelahi golongan kaya dan golongan pemodal. Akhirnya dua golongan ini dikalahkan oleh kumpulan Ḥisbullāh dan kerajaan mereka digulingkan.

Seseorang Hendaklah Berusaha Memenuhi Keperluan Asas.
Seseorang hendaklah berusaha memenuhi keperluan asasnya. Setiap ahli keluarga hendaklah bekerja untuk memenuhi keperluan ini mengikut kebolehan masing-masing. Maksud kedua kalimah al-najdain ialah:

“Atau memberi makan pada hari-hari kelaparan”. (Al-Qurʾān: 90: 14).
Telah banyak dibincang tentang perubahan, revolusi mental, politik dan sebagainya. Mula-mula masyarakat diberi kesedaran sehingga mereka benar-benar mengerti bahawa penindasan ke atas orang lain menyenangkan satu pihak tertentu, dilarang keras oleh syarak. Kemudian mereka disumbangkan peralatan yang sesuai dengan kebolehan mereka untuk menghasilkan keperluan mereka. Peralatan itu mempermudahkan kegiatan mereka dan menimbulkan semangat merdeka yang hakiki. Inilah maksud firmanNya: “Atau memberi makan pada hari-hari kelaparan”.

“Kepada anak yatīm yang terdekat. (15). Atau orang miskīn yang berbabring di tanah”. (Al-Qurʾān: 90: 15, 16).

  Dipetik dari tafsir al hakm. Surah al balad

No comments:

Post a Comment