Thursday, March 9, 2017

Sebahagian Biografi Muhammad Salleh Fikri

Lampiran 4

Sebahagian Biografi Muhammad Salleh Fikri,
Penulis Lampiran I

Sesuai dengan martabat kitab1 yang bertaraf besar, kami ingin menyebut sekadar yang diperlukan tentang kisah penulis supaya beliau dikenali oleh mereka yang belum mengenalinya, semoga mereka berdoa untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.
Riwayat oleh seorang yang tidak dikenali atau terpendam memang tidak dipercayai oleh orang ramai. Semoga Allāh selamatkan kami dari keburukan itu.
Muḥammad Ṣālleh Fikrī dilahirkan pada 14 Shaʿbān yang mulia pada tahun 1339H di Kubang Pasu, Kota Bharu, Kelantan; selepas lima bulan guru kepada guru kami Shaykh Al-Hind Mawlānā Maḥmūd Ḥasan Al-Deobandī wafat. 
Setelah beliau berumur enam tahun, ibunya menghantar beliau belajar Al-Qurʾān di rumah neneknya Wan Safiah dan beliau sempat belajar Al-Qurʾān juzuk Amma daripada neneknya. Selepas beberapa bulan, neneknya kembali ke rahmat Allāh Taʿālā. Kemudian ibunya mengambil alih tugas mengajar Al-Qurʾān sendiri dari awal hingga akhir dan beliau selesai belajar Al-Qurʾān pada umur sembilan tahun. Kemudian beliau mulai belajar membaca dan menulis dalam bahasa Melayu dan ʿArab daripada ayahnya Al-Fāḍil Al-Zakī Al-Marhum Hj. Wan Mūsā bin Ṣālleh.
Pada tahun 1348H, beliau mulai menguasai pelbagai ilmu ʿArab melalui ayahnya. Beliau belajar daripada ayahnya semua kitab nahu dan sebahagian kitab ṣaraf, fikah Imām Shāfiʿī, ilmu uṣūl, ilmu kalam, ilmu mantiq, ilmu tafsir, ilmu adab, ilmu taṣawūf dan ilmu-ilmu lain. Ayahnya mengajar  beliau kitab-kitab ini secara khusus dengan tumpuan yang secukupnya. Semoga Allāh mencurahkan keampunanNya dan menempatkan ayahnya bersama golongan yang pertama dari kalangan Muhajirīn dan Anṣār.
Pada tahun 1353H, beliau selesai belajar semua ilmu ini sebagaimana adab para pelajar Malaya pada masa itu dan beliau menyambung dengan mempelajari kitab-kitab ḥadīth, kitab istilah ḥadīth, ilmu mantiq dan ilmu-ilmu lain dari kitab Al-Imām Walī Allāh al-Dihlawī yang lain melalui abangnya Shaykh Abdullah yang wafat pada tahun 1354H. Beliau banyak bersyukur kepada Allāh Taʿālā dengan limpah kurniaNya yang khusus kepada beliau yang menjadikan beliau dapat mengatasi semua kawan yang belajar bersama-sama beliau ilmu-ilmu Shāh Walī Allāh. Semoga Allāh rahmatkan mereka.
Setelah Shaykh Abdullah Mūsā wafat, beliau mulai belajar Muqaddimah Muṣaffā yang diterjemahkan ke dalam bahasa ʿArab dan kitab Musawwā jilid pertama, satu pertiga kitab Jamiʿ Termidhī dan lain-lain semuanya melalui saudaranya Hj. Nik Muḥammad sebagai mudir Madrasah Muhammadiiah, Kelantan. 
Pada tahun 1355H/1936M dengan taufik Allāh, beliau diangkat menziarah tanah suci Al-Ḥarām Mekah, negeri Tuhan yang suci. Di sana beliau belajar kitab Musawwā juzuk 2 daripada gurunya Shaykh ʿAbd al- Razzāq, Meṣir di sebuah bilik yang khusus. Demikian juga beliau dapat mengambil faedah daripadanya, termasuklah pelbagai makrifat dan ahwal dan beliau dapat mengambil faedah pelbagai makrifat yang umum daripada saudara kami seagama dinisbahkan kepada Allāh iaitu Shaykh ʿAzīz Aḥmad al-Hindī. Semoga Allāh membalas baik kepada kami dan semua orang Islām. Setelah selesai musim haji, beliau bertekad memasuki mana-mana pusat pengajian ʿArab di Mekah; tetapi beliau dapati keadaan para ʿulamāʾ dan tenaga pengajar meragukan beliau khususnya kepastian mereka dalam pelbagai ilmu, lebih-lebih lagi dalam ilmu hikmah. Maka hati beliau berbelah bahagi sama ada beliau mahu kekal di Mekah atau berpindah ke negara lain seperti India. Kemudian meminta pilihan daripada ayahnya untuk pergi ke India. Lalu ayahnya mengizinkan beliau pergi ke sana, tetapi dengan syarat di bawah pimpinan Mawlānā ʿUbayd Allāh al-Sindhī; sedangkan beliau pada masa itu tidak pernah mengenali Shaykh ʿUbayd Allāh. Beliau rasa malu kepada dirinya sendiri untuk mendedahkan kepadanya semua urusan itu. Tiba-tiba beliau befikir dan meminta pilihan daripada Allāh, dan beliau tidak dapati satu jalan yang lebih baik baginya selain berbincang dengan ʿUbayd Allāh al-Sindhī. Belia pergi menemui ʿUbayd Allāh di Ribattong di Harrat al-Bab pada pukul 3.00 pagi waktu tempatan, hari Rabu, 26 Muharam 1356H/1937M. Kemudian beliau menemui Shaykh melalui saudara kami ʿAzīz Aḥmad yang amat mengambil berat terhadapnya. ʿAzīz Aḥmad menasihatkan supaya beliau pergi ke India dahulu dan belajar di Deoband selama satu atau dua tahun. Kemudian beliau hendaklah belajar bahasa Inggeris di Jamiyah Milliyyah, kemudian pergi ke Lahore dan belajar dengan Mawlānā Muḥammad ʿAlī. Selepas itu barulah beliau layak mempelajari ilmu-ilmu Shāh Walī Allāh.  
Lalu beliau berpindah ke India dan belajar di Dar al-ʿUlūm Deobandī. Di sana beliau belajar pelbagai ilmu aqlī, termasuklah ilmu mantiq, ilmu falsafah, ilmu geografi, fikah, ilmu maʿānī, bayān dan lain-lain, termasuklah pelbagai ilmu naqlī (Al-Qurʾān dan ḥadīth) dan beliau berada di Deoband selama dua tahun setengah. Kemudian beliau merasa jemu dan mahu meninggalkan Deoband, sama ada kembali ke Malaya atau pergi ke Lahore dan berdamping dengan Mawlānā Muḥammad ʿAlī. Tetapi mengikut hikmah tadbir Allāh Taʿālā dan kehendakNya, khayalan-khayalan beliau itu hilang begitu sahaja setelah beliau menemui Shaykh ʿUbayd Allāh al-Sindhī di Deoband. Beliau membentangkan kepada Shaykh urusan pelajarannya dan minatnya terhadap ilmu Shāh Walī Allāh. Lalu Shaykh menyuruh beliau pergi ke Jamiyah Milliyyah, kerana Shaykh akan mengajar beliau ilmu Shāh Walī Allāh di sana.  Lalu beliau meninggalkan Deoband pada 12 Jun 1940 bersamaan 1359H dan beliau menginap di Qurulubagh di Delhi, sambil menunggu kedatangan guru kami Shaykh ʿUbayd Allāh di Jamiyah Milliyyah selama sebulan sebelum Jamiyah Milliyyah dibuka pada bulan Ogos 1940M.
Beliau belajar di Jamiyah Milliyyah hingga tahun 1943M. Guru Besarnya ialah Imām Mawlānā ʿUbayd Allāh al-Sindhī yang baru sahaja dibenarkan pulang ke India pada tahun 1939M, setelah menjalani hukuman dibuang negeri selama 25 tahun kerana dianggap bersalah dan orang yang tidak dikehendaki oleh kerajaan British kerana menentang kerajaan British dalam perang dunia pertama (1914-1918)M. Doktor Zakir Ḥusin sebagai Ketua Jamiyah Milliyyah. Beliau bersahabat baik dengan Dr. Zakir Ḥusin yang dianggap sebagai sahabat dan gurunya. Beliau bertemu dan sempat bergambar dengan Dr. Zakir Ḥusin kali terakhir pada tahun 1968 di Istana Telipot Kota Bharu, semasa Dr. Zakir Ḥusin sebagai Presiden India melawat Kelantan.2
Pada bulan Ogos, Shaykh ʿUbayd Allāh tidak datang dan beliau merasa bingung dan beliau menunggu lagi dari sebulan ke sebulan. Beliau kecewa dan berbincang dengan rakan-rakan untuk belajar bahasa Inggeris di mana-mana pusat pengajian di Delhi. Semasa perbincangan itu, tiba-tiba Shaykh ʿUbayd Allāh datang ke Delhi pada 28 Ramaḍān 1359H. Maka hati beliau rasa senang dan puas. Pujian untuk Allāh yang mengurus ʿālam. Pada hari Isnin 3 Syawal 1359H bersamaan 4 November 1940M, guru kami ʿUbayd Allāh al-Sindhī mulai mengajar kami Al-Qurʾān al-ʿaẓīm di rumah kami Nombor 6, Jalan Ajmal, Qurulubagh. Pada masa itu ada empat orang pelajar iaitu beliau sendiri, saudara beliau Muḥammad, ʿAbd al-Raḥmān dan Muḥammad Nūr Makkī. Kami semua dalam keadaan demikian selama sepuluh hari.
Kemudian kami berpindah ke Uklā iaitu di Jamiyah Milliyyah pada 15 Shawal 1359H bersamaan 16 November 1940M. Kemudian guru kami mulai mengajar di Bait al-Ḥikmah pada hari berikutnya. Pada hari pembukaannya, Shaykh ʿUbayd Allāh membaca Al-Qurʾān bermula dengan surah Al-Fātiḥah dan doa Imām Walī Allāh yang tertulis dalam Tafhīmāt illāhiyyah.
Beliau memuji Allāh yang Maha Mulia yang amat memberi nikmatNya yang menyampaikan beliau ke Dar al-ʿUlūm Deoband pada usia 18 tahun. Dan Allāh taufikkan kepada beliau kemampuan mengarang sejak beliau berumur 16 tahun. Pertama, beliau mengarang risalah yang menetapkan bahawa miʿrāj Nabi (s.a.w.) dengan jisim rohani dalam bahasa Melayu. Kedua, falsafah Isrāʾ dan miʿrāj dalam bahasa ʿArab. Ketiga, risalah yang memastikan penurunan Nabi ʿĪsā (a.s.) dalam bahasa ʿArab. Dan Allāh taufikkan beliau dengan keterangan yang jelas dalam pelbagai perkara yang tidak dapat disaksi dengan mata. Maka ramailah pelajar dari saudaraku Al-Marhum Hj. Abdullah dapat mengambil faedah daripada beliau. Dan Allāh jadikan beliau mengatasi para sahabatnya dalam ilmu dan kepimpinan. Perkara itu memastikan benar-benar termakbulnya doa dua orang tua beliau yang telah meninggal yang telah berdoa kepada Allāh supaya beliau dijadikan seorang pembawa ilmu Imām Walī Allāh Dihlawī zahir dan batin; dan beliau telah mendengar daripada orang yang beliau percayai bahawa arwah ayahnya ada berkata mengenai beliau bahawa pada satu masa nanti bahawa Ṣalleh akan menjadi seorang yang agung yang dapat mengganti tempat anaknya Abdullah.
Syabas diucapkan di atas kata-kata ayahnya itu di mana kata-kata itu merangkumi dan itulah sebahagian dari terjemahan apa yang ada di ʿain al-thabitah yang sudah ditetapkan sebelum lahir ke alam nyata. Dan beliau amat banyak memuji Allāh sebagaimana Dia kasih dan gemar kepada perkara yang Dia kurniakan kepada beliau, iaitu nikmat-nikmat ilmu dan pembeza.
Dan puji-pujian kepada Allāh yang dapat beliau hubungkan dengan khidmat guru kami yang sangat ʿalim iaitu seorang yang sangat bijak pada masa itu iaitu Shaykh ʿUbayd Allāh Sindhī. Dan beliau tidak dapati perbezaan pergaulan dengan Shaykh dari sudut pendidikan dan kepimpinan, semuanya sama dengan haḍrat ayahnya. Dan beliau membuat ketetapan bahawa beliau menemui Shaykh semata-mata kerana keberkatan doa yang diterima dari hamba yang ṣāliḥ ini iaitu ayahnya; dan doa kami yang akhir ialah puji-pujian kepada Allāh yang mengurus ʿālam semesta. 
Mawlānā ʿUbayd Allāh Sindhī adalah salah seorang guru beliau yang paling berkesan. Beliau mendapat bahan pengajaran secara terus dalam semua bidang kehidupan beliau. Beliau belajar secara tahkik mengenai pernyesuaian falsafah Al-Qurʾān dengan semua falsafah dan agama di dunia. Beliau juga belajar falsafah sejarah ilmu dan ilmu tamadun. Sebahagian dari kelas Jamiyah Milliyyah itu dijadikan ‘Bait al-Ḥikmah’ [House Of Philosophy]. Di Bait al-Ḥikmah inilah beliau mendalami semua bidang ilmu agama Islām secara terperinci. Bait al-Ḥikmah adalah institusi penyelidikan para pelajar di mana beliau terpilih sebagai pelajar yang mempunyai harapan masa depan yang cemerlang.
Dalam peperiksaan akhir pada tahun 1943M beliau muncul sebagai pelajar yang digelar ʿUlamāʾ Besar. Satu penghormatan yang paling agung dalam sejarah Kelantan selepas Al-Marhum Haji Nik Abdullah.3

[Biografi ini ditulis oleh Muḥammad Ṣalleh Fikrī yang dilahirkan di Kelantan dan belajar di Bait al-Ḥikmah, Uklā, Delhi, India. [1940M/1359H]. Dipetik dan diubahsuai dari Al-Furqān Fī Tafsīr Al-Qurʾān Al-Karīm, oleh ʿUbayd Allāh Sindhī, Dar al-Ḥikmah, Jamiyah Milliyyah, Uklā, Delhi, 1359H/1940M. Tafsir ini masih dalam bentuk manuskrip tulisan tangan oleh Muḥammad Ṣalleh Fikrī].

Nota

1 Al-Furqān Fī Tafsīr Al-Qurʾān Al-Karīm, ʿUbayd Allāh Sindhī, Dar al- Ḥikmah, Jamiyah Milliyyiah, Uklā, Delhi, 1359H/1940M. [Manuskrip tulisan tangan yang belum diterbitkan].
2 Makalah yang ditulis kepada Prof. Dr. William Rof, Universiti Columbia, New York,Amerika Syarikat, m.s. 41. 1970.
3 Makalah, m.s. 41-43.

(NHA2012-11-27)
Fitrah insaniyah. Like & share.

No comments:

Post a Comment