Tuesday, March 7, 2017

Al-ʿAlim Al-Muḥaddith Al-Haji Nik Abdullah Bin Al-Haji Wan Mūsā

Lampiran 3

Al-ʿAlim Al-Muḥaddith Al-Haji Nik Abdullah
Bin Al-Haji Wan Mūsā


Bahagian Pertama1
Beliau dilahirkan pada tahun 1900M di Jalan Merbau Kota Bharu, Kelantan. Beliau dari keluarga ʿulamāʾ yang terkemuka dan berpengaruh sejak datuknya Tuan Tabal lagi. Sebagai anak lelaki sulung yang menjadi impian ayahnya sejak dalam kandungan ibunya supaya mewarisi tradisi ʿulamāʾ dalam keturunan keluarga pada masa depan. Dengan pendidikan asas yang sempurna dan sifat-sifat gigih dan daya usaha, beliau mampu mendalami ilmu agama semasa berada di Mekah hingga ke peringkat Al-Qurʾān dan Al-ḥadīth mengikut jalan Shāh Walī Allāh al-Dihlawī. Semasa belajar di Mekah, ketokohan beliau sebagai seorang pemuda yang sangat ʿalim mulai terkenal di Kota Bharu; sehingga sebaik sahaja beliau pulang ke Kota Bharu dari Mekah beliau mendapat sambutan yang hebat dalam kalangan masyarakat umum di Kota Bharu.
Sebagai anak yang menjadi harapan ayahnya, sejak berumur lapan tahun lagi beliau digalak melakukan ibadat-ibadat wajib dan sunat. Di samping itu beliau dikehendaki oleh ayahnya supaya memerhati dan mengikuti orang ramai meratib di surau ayahnya mengikut tarikat Aḥmadiyah.
Setelah umur beliau meningkat belasan tahun, beliau mula dididik oleh ayahnya dan bapa saudaranya Hj. Nik Wan Abdullah dalam ilmu fikah Shāfiʿī, uṣūluddīn, taṣawūf, ilmu nahu dan ṣaraf. Beliau dikawal dengan rapi oleh ayahnya. Jika didapati beliau cuai dan lemah sedikit dalam pelajaran, beliau dirotan oleh ayahnya. Kawalan ketat ini memberi kesan kepada peribadi beliau, menyebabkan beliau mulai serius dan rajin semasa belajar.
Di bawah didikan ayahnya yang sudah pun berminat kepada aliran agama yang di bawa oleh para ʿulamāʾ kaum muda, beliau dididik ke arah mengkaji pendapat kitab-kitab karangan para ʿulamāʾmutakhir secara kritikal tanpa bertaklid buta. Di samping itu, untuk membolehkan beliau mendalami lagi ilmu nahu ʿArab dan ṣaraf, beliau dikehendaki oleh ayahnya supaya belajar dari Tok Kenali di surau kampung Kubang Kerian. Tok Kenali dianggap oleh Haji Wan Mūsā sebagai seorang ʿulamāʾ yang sangat ʿalim dalam ilmu ini berbanding dengan para ʿulamāʾ lain pada masa itu di Kelantan.
Setelah beliau berumur hampir dua puluh tahun dan berupaya memahami bahasa ʿArab dan mempunyai asas ilmu agama, beliau digalak oleh ayahnya belajar ilmu agama daripada Tok Khurasān.2 Di surau Tok Khurasān, beliau belajar ilmu ḥadīth, ilmu tafsir Al-Qurʾān, ilmu fikah Ḥanafī, ilmu falsafah, ilmu mantiq(logik), ilmu falak (astronomi) dan ilmu faraid. Pengajaran Tok Khurasān dalam kitab-kitab ilmu tafsir Al-Qurʾān, ḥadīth dan fikah Ḥanafī selama empat tahun memberi satu pengertian baru kepada beliau dalam memahami konsep ilmu fikah. Kalau dahulu pengertian beliau mengenai ilmu ini berkisar di sekitar pendapat para ʿulamāʾ Shāfiʿī yang mutakhir, tetapi selepas itu pengertian beliau berhubung dengan ilmu-ilmu ini menjalar pula kepada maksud-maksud ḥadīth dan pendapat dalam kitab tafsir Al-Qurʾān dan fatwa ʿulamāʾ dalam mazhab Ḥanafī.
Pengajian beliau dalam ilmu falsafah, mantik dan falak telah melengkapkan lagi beliau untuk memahami ilmu Al-Qurʾān dan ḥadīth. Hasil pengajian ini telah memutuskan ikatan pemikiran beliau dari pendekatan  pengajian agama secara tradisinal secara bertaklid kepada pendapat dalam kitab-kitab yang ditulis oleh para ʿulamāʾ Islām dahulu.
Semasa berguru kepada Tok Khurasān itu, beliau telah mendapat pujian yang tinggi daripada guru itu, kerana ketekunan dan kebolehan beliau semasa belajar. Semasa berada di rumah, beliau sentiasa membaca kitab-kitab dan berfikir tentang ilmu. Salah seorang bekas kawan rapat beliau dan seterusnya menjadi pengikut beliau ialah Hj. Ismāʿīl bin Hj. Muḥammad ada mengatakan: “Dan adalah tabiat Al-marhum Hj. Nik Abdullah bin Hj. Wan Mūsā pada masa ini sentiasa dia berfikir kerana mentaḥqiq (mendalami) agama Islām”. 
Di samping itu beliau juga mengadakan perbincangan-perbincangan tentang ilmu dengan kawan-kawannya di rumah ayahnya.
Pengajian Hj. Nik Abdullah daripada Tok Khurasān dan galakan oleh ayahnya telah memberi inspirasi kepada beliau untuk mendalami lagi ilmu Al-Qurʾān dan ḥadīth. Maka semasa beliau berada di Mekah pada tahun 1926, beliau mencari-cari guru-guru yang benar-benar ʿalim dalam kedua-dua ilmu itu selama beberapa bulan. Dalam tempoh tersebut beliau menghadiri jemaah pengajaran ilmu fikah dan taṣawūf oleh dua orang ʿulamāʾ di Masjid al-Ḥarām bernama Shaykh ʿAlī Mālikī dan Abū Al-Sammah al- Ẓahirī. 
Apabila beliau mendengar ada seorang ahli ilmu ḥadīth yang masyhur berada di Kota Mekah bernama ʿUmar Hamdan; beliau terus pergi berguru dan menjadi khadam kepadanya. Sudah menjadi terdisi dalam kalangan pelajar Islām dahulu, apabila mereka benar-benar mahu berguru kepada seseorang ʿulamāʾ, mereka sanggup menjadi khadam kepada ʿulamāʾ itu. Mereka berpendapat, ilmu yang ada pada ʿulamāʾ itu bukan sahaja dipelajari melalui menadah kitab dalam jemaah pengajarannya, tetapi melalui perdampingan dan kesempatan berbual dengannya setiap hari. Hj. Nik Abdullah terus mengikuti Shaykh ʿUmar Hamdan yang berpindah ke Madīnah.
Sebagai seorang penuntut ilmu ḥadīth, Hj. Nik Abdullah mula disebut-sebut oleh ramai anak tempatan Kota Bharu yang berada di Mekah. Pada tahun 1920’an hampir semua anak tempatan dari Kota Bharu yang berada di Mekah tidak belajar ilmu ḥadīth, kerana mereka tidak mempunyai asas langsung untuk mempelajari ilmu itu. Semasa berada di Kota Bharu mereka menghabiskan masa belajar ilmu fikah Shāfiʿī, nahu ʿArab dan ṣaraf sahaja.
Hj. Nik Abdullah berguru kepada Shaykh ʿUmar Hamdan selama empat tahun (1926-1930), namun demikian beliau masih tidak merasa satu kepuasan yang muktamad dengan pengajaran guru itu, kerana pengajaran Shaykh ʿUmar hanya menerangkan makna-makna dalam kumpulan enam kitab-kitab ḥadīth. Shaykh ʿUmar langsung tidak menerangkan kaedah-kaedah menilai ḥadīth dalam kitab-kitab tersebut sama ada ṣaḥīḥ atau tidak.

Bahagian Kedua.3 
Guru beliau yang paling mursyid yang mendidik beliau ialah Hakim al-Islām Mawlānā ʿUbayd Allāh al-Sindhī (1872-1944M) yang berada di Mekah.
Pengajaran daripada Mawlānā ʿUbayd Allāh inilah yang membawa beliau kepada semua cabang ilmu sharīʿat secara taḥqiq dan tafakkuh sehingga beliau disebut Walī Allāhiyah yang dinisbahkan kepada Haḍrat Al- Imām Shāh Walī Allāh al-Dihlawī (r.a.).
Dalam surat ijazah gurunya ʿUbayd Allāh al-Sindhī kepada beliau bertarikh 29 Zulkaedah 1351H, menggambarkan kebolehan beliau dalam ilmu sharīʿat yang mencapai tahap atau martabat Al-ʿUlamāʾ al-Rāsikhīn dan seorang yang hakim dalam pengetahuan Islām iaitu satu martabat yang belum dikurniakan kepada sesiapa pun anak negeri Kelantan khususnya dan Persekutuan Tanah Melayu umumnya sebelum beliau.
Ayahnya Hj. Wan Mūsā telah mendapat berita gembira daripada junjungan besar Nabi Muḥammad (s.a.w.) dalam satu peristiwa mimpi pada malam Ahad, 22 Shaʿban 1352H mengenai pelajaran beliau dalam sharīʿat Islām. Dari peristiwa inilah terbentuk satu ikatan nisbah Walī Allāhiyah dalam kalangan anak-anaknya secara khusus dan para pengikutnya secara umum. Hal ini sama dengan ikatan ‘ahl al-bait’ yang diisyaratkan oleh Rasūl Allāh (s.a.w.)  kepada para sahabatnya Salmān al-Farisī dengan sabdanya: (): “Salmān al-Farisī juga adalah dari kalangan kami ahl al-bait”. Maksud ‘ahl al-bait’ ialah mereka yang mempunyai pertalian ilmu yang diwarisi dari tariq Sayidina Ibrāhīm (a.s.) dalam menegakkan millah Ḥanīfī untuk umat manusia.
Seperti contoh Nabi Muḥammad (s.a.w.) dengan para sahabatnya, maka ikatan Walī Allāhiyah itu diwarisi kepada anak-anak Hj. Wan Mūsā dan para pengikutnya supaya berjihad untuk mendirikan masyarakat khilafah bagi menegakkan roh keadilan dan ihsan dalam umat manusia di dunia sebagaimana yang ditentukan oleh Al-Imām Shāh Walī Allāh Al-Dihlawī dalam Al-Jaddāt Al-Qawimat Al-Muḥammadiyah yang bermaksud garis lurus sharīʿat Muḥammadiyah untuk mendapat keredaan Allāh.
Hj. Nik Abdullah telah kembali ke Kelantan pada tahun 1934M. Beliau mendapat sambutan yang luar biasa daripada para kerabat diraja. Beliau mengajar kitab Bukhārī di istana Raja Muda dengan ribuan pendengar dari seluruh negeri Kelantan. Penghormatan yang besar diberikan oleh Raja Kelantan yang sering meminta nasihatnya.
Beliau mengajar kitab-kitab besar dari Shāh Walī Allāh Al-Dihlawī seperti Al-Fawz Al-Kabīr Fī Uṣūl Al-Tafsīr, Al-Musawwā, Ḥujjat Allāh al-Bālighah, Al-Inṣāf, tafsir Al-Qurʾān dan sebagainya.
Beliau tidak sempat menyampaikan cita-citanya; kerana hanya setahun di Kelantan dan disusul oleh kematian beliau pada 21 Ṣafar 1355H atau 24 Mei, 1935M pada usia yang sangat muda iaitu 35 tahun. Jenazahnya dikebumikan di kampung Banggol.
Anak-anak Hj. Wan Mūsā yang masih hidup dan berilmu pada zaman itu, seperti Hj. Nik Muḥammad Al-Ṣiddīqī yang pernah menjadi Nazir Majlis Agama Islām Kelantan sehingga ayahnya meninggal dunia dan muridnya sendiri Hj. Muḥammad bin Hj. Ibrāhīm, Kota, mereka tiada kebolehan untuk mempertahankan cita-cita ayah mereka dan abang mereka dalam mengembangkan ilmu mengikut tariq Shāh Walī Allāh al-Dihlawī.
Cita-cita besar yang ditanam oleh Hj. Wan Mūsā kepada Haji Nik Abdullah terbengkalai dengan kematian mereka. Golongan pembaharuan seolah-olah lenyap dalam perkembangan pemikiran agama Islām di Kelantan, walaupun para ʿulamāʾ silih berganti hingga sekarang.
Satu jalan yang jelas menghadapi zaman moden yang ditentukan dalam kitab Ḥujjat Allāh al-Bālighah, tariq Al-Shāh Walī Allāh al-Dihlawī seolah-olah tersekat jalannya.
Hj. Wan Mūsā telah mendidik anak-anaknya dengan jalan yang radikal-progresif. Beliau tidak putus harapan dengan kematian puteranya Hj. Nik Abdullah. Beliau meletakkan harapannya kepada saya (Hj. Nik Muḥammad Salleh Hj. Wan Musa) dalam meneruskan usaha ke arah cita-citanya. Oleh sebab keadaan ini dalam perjuangan dan saya cuba dengan pertolongan Allāh melaksanakan cita-cita yang besar itu dan menghadapi hari depan yang penuh cabaran. Maka saya terpaksalah menutup setakat ini sahaja mengenai perkembangan ilmu dan agama Islām, Kelantan. Dan Allāh Maha Mengetahui.

Catatan:
Antara karangan Haji Nik Abdullah yang sempat kami kumpulkan ialah buku ini yang kami namakan Ḥujjat Allāh al-Bālighah Juzuk 1– Terjemahan Dan Anotasi. Kedua, Tafsir Al-Qurʾān Al-Ḥakīm yang diterima dari pengajaran Mawlānā ʿUbayd Allāh al-Dihlawī; masih dalam bentuk manuskrip tulisan tangan yang kami sedang usahakan. Ketiga, Uṣūl Tafsir Al-Qurʾān, merupakan catatan dan huraian kitab Al-Fawz Al-Kabīr Fī Uṣūl Al-Tafsīr juga dalam bentuk manuskrip tulisan tangan yang kami sedang usahakan.


Nota

1 Bahagian ini berdasarkan penulisan oleh Nik Abdul Aziz bin Hj. Nik Ḥassan, anak saudara kepada Hj. Nik Abdullah.
2 Sayid Ḥasan Al-Khurasānī, seorang ʿalim berbangsa Kabūl yang ṣāliḥ dan waraʿ. Beliau dapat mempengruhi orang Kelantan kerana peribadinya yang tinggi dan amalannya yang ikhlas. Beliau adalah murid kepada Mawlānā Maḥmūd Ḥasan bin Zulfikar ʿAlī al-Deobandī, seorang ʿulamāʾ mujtahid, ṣūfī yang mempunyai rancangan politik Islām yang besar pengaruhnya sebelum peperangan dunia pertama.
3Bahagian ini berdasarkan makalah yang ditulis oleh Hj. Nik Muḥammad Salleh, adik kepada Hj. Nik Abdullah.


(NHA2012-11-27)

Fitrah insaniyah. Like&share.

No comments:

Post a Comment