Wednesday, November 13, 2019

Benarkah Nabi Muhammad (S.A.W.) Buta Huruf (ummī)?

Benarkah Nabi Muhammad (S.A.W.) Buta Huruf (ummī)?

    Satu mukjizat yang nyata pada Al-Qurʾān al-ʿaẓīm yang amat menonjol pada zaman ilmu ini ialah isinya yang terbukti benar. Zaman ini adalah zaman yang dipenuhi dengan karya-karya sastera yang agung, zaman tulis baca yang merangkumi seluruh manusia, zaman pengetahuan dan pengkajian sains yang tinggi, zaman manusia berfikir secara rasional; tetapi Al-Qurʾān masih dapat mempertahankan kebenarannya.

    Jika Al-Qurʾān dikatakan sebuah karya sastera, maka nilai estatika dengan bahasa dan gayanya masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana karya sastera pun di dunia ini. Jika Al-Qurʾān dikatakan sebuah kitab moden, maka kitab ini melahirkan banyak cabang ilmu seperti ilmu kemasyarakatan (ilmu tauhid), politik dan ilmu-ilmu lain. Jika Al-Qurʾān dikatakan sebuah kitab falsafah, maka kitab ini belum tertanding akan ketinggian falsafahnya. Keadaan ini amat jelas, kerana tiga per empat dari kandungannya terdiri dari ayat-ayat yang berfalasafah yang dinamakan ayat-ayat mutashābihāt. Makin dikaji ayat-ayat ini; makin jelas terbukti kebenaran hikmahnya. Al-Qurʾān inilah satu-satunya pusaka yang juga dikatakan mukjizat Nabi Muḥammad (S.A.W.)

    Al-Qurʾān telah membuktikan terhapusnya suatu kebodohan manusia dalam masalah buta huruf, sebab pengajarannya yang pertama ialah menganjurkan supaya manusia pandai menulis dan membaca. Dengan pengetahuan menulis dan membaca itu manusia akan meninggalkan banyak karya falsafah, agama dan sebagainya yang akan diwarisi kepada generasi yang kemudian. Al-Qurʾān adalah sebagai bukti yang jelas bahawa zaman ini adalah zaman persuratan yang amat hebat, dan membuktikan bahawa mukjizat itu mengatasi semua hasil persuratan pada zamannya.

    Apabila kita merenung kepada kebangkitan zaman persuratan sekarang ini dengan pesatnya, semuanya bergantung kepada hasil persuratan. Dalam penulisan semua ilmu falsafah dan agama dengan melihat kepada anjuran-anjuran Al-Qurʾān, dan Al-Qurʾān juga adalah salah sebuah karya yang terbesar; maka apakah pengajaran utama Al-Qurʾān dan adakah Nabi Muḥammad (S.A.W.) itu seorang yang buta huruf – seorang yang tidak tahu membaca dan menulis?

    Sesiapapun akan merasa hairan apabila dikatakan bahawa Nabi Muḥammad (S.A.W.) itu tidak pandai menulis dan membaca berdasarkan kepada istilah ummī yang terdapat pada ḥadīth-ḥadīth dan Al-Qurʾān khususnya pada zaman moden sekarang. Pendapat yang mengatakan Nabi Muḥammad (S.A.W.) adalah seorang yang buta huruf menjatuhkan martabat baginda dan amat memalukan.

    Amat mustahil daripada seorang yang buta huruf dapat memimpin umat pada satu zaman yang maha agung. Adakah Nabi Muḥammad (S.A.W.) itu dikatakan buta huruf mengikut maksud istilah ummī; atau kerana kebodohan dan kebebalan kita tidak mengkaji dengan teliti dengan sebenarnya kandungan yang diperkatakan oleh Al-Qurʾān dengan istilah ummī itu.

    Pelbagai alasan diberikan untuk menetapkan bahawa Rasūl Allāh (S.A.W.) itu sesungguhnya buta huruf dengan tujuan menafikan bahawa baginda tidak menulis Al-Qurʾān itu atau baginda meniru dari kitab-kitab agama lain yang terdahulu. Dalam satu ḥadīth pernah dikatakan bahawa Nabi (S.A.W.) berdoa supaya baginda dimasukkan ke dalam golongan umat-umat ummī. Al-Qurʾān banyak menyebut tentang ummī, sebagaimana Allāh berfirman:

Katakanlah kepada Ahl al-Kitab dan umat ummī: “Adakah kamu Islām?”. Maka mereka telah mendapat petunjuk. (Al-Qurʾān: 3: 20).

Allāh berfirman lagi pada surah yang sama:

Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak berdosa kami menganiayai orang ummī yang tidak sama dasar dengan kami. (Al-Qurʾān: 3: 75).

    Di sini, istilah ummī menggambarkan satu umat sebagaimana dimaksudkan kepada umat Yahudi dan Naṣārā; dan umat ummī yang dimaksdkan itu ialah umat Quraish yang pintar dan berilmu, luas pengalaman dan masih berdikari, bebas dari penjajahan besar pada zaman itu iaitu kerajaan Rom Timur dan Parsi. Umat ummī inilah yang dimaksudkan oleh Allāh taʿālā sebagai umat terpilih yang akan lahir seorang nabi dari kalangan mereka untuk memimpin manusia hingga ke akhir zaman. Umat Quraish yang ummī ini terpilih dari kalangan bangsa ʿArab dengan tamadun induknya masih kekal.

    Dalam umat ummī inilah Allāh melahirkan seorang rasūl sebagaimana firman-Nya:

Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang (ʿArab) yang Ummīyyīn, seorang Rasūl (Muḥammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allāh dan membersihkan mereka serta mengajarkan mereka Kitab Allāh dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Al-Qurʾān: 62: 2).

    Rasūl yang dibangkitkan oleh Allāh dalam kalangan umat ummī ini ialah Nabi Muḥammad (S.A.W.)

    Adakah semua umat ummī ini tidak pandai menulis dan membaca? Inilah satu kekeliruan besar yang pernah diperkatakan oleh para ʿulamāʾ Islām mengenai Nabi Muḥammad (S.A.W.) Mereka telah merendahkan martabat Nabi Muḥammad (S.A.W.) kerana tidak teliti dalam memahami kalimah-kalimah Al-Qurʾān; tetapi mereka mengatakan alasan itu adalah untuk mempertahankan Nabi Muḥammad (S.A.W.)

    Maksud umat ummī di sini sudah jelas ditujukan kepada umat terpilih yang diisyaratkan oleh Allāh kepada Ibrāhīm (A.S.) dengan kalimah:

umat yang berserah diri kepadamu, (Al-Qurʾān: 2: 128).

    Umat yang berserah diri kepada Allāh itu ialah bangsa Quraish. Dan maksud umat ummī itu ialah umat yang lebih mengutamakan amali daripada teori. Maksudnya, umat yang menjadikan contoh dalam pelaksanaan perjuangan, umat yang tinggi tahap pencapaian amali berbanding dengan umat-umat lain. Nabi Muḥammad (S.A.W.) adalah pemimpin umat ummī ini. Umat ini tidak bercakap sahaja, malah membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Maka perbuatan dan kelakuan Nabi (S.A.W.) dijadikan sunnah yang menjadi ikutan orang yang kemudian. Itulah sebabnya falsafah dan hukum dari Al-Qurʾān diambil dan dicontohi daripada perbuatan Nabi (S.A.W.); kerana baginda tidak menyebut sesuatu melainkan baginda membuatnya.

    Al-Qurʾān berbeza daripada kitab-kitab yang lain seperti Zabur, Taurāt dan Injīl yang tidak mengandungi hukum-hukum selain daripada falsafah atau hikmah untuk memperbaiki akhlak umat, kerana tidak perlu mengutamakan amali. Keadaan Al-Qurʾān tidak demikian. Al-Qurʾān mengandungi hikmah atau falsafah yang diteruskan dengan hukum kepada manusia dan hukum-hukum itu hendaklah diamalkan secara fizikal. Maka Allāh (S.W.T.) mengatakan bahawa bangsa yang diutuskan Nabi Muḥammad (S.A.W.) itu ialah umat ummī dan rasūlnya mestilah seorang yang ummī juga.

    Umat ummī ini ialah umat yang terpilih. Umat yang menjadi contoh untuk semua manusia, iaitu umat yang lebih banyak bekerja untuk memajukan agama, negara dan seluruh manusia – bukan umat yang banyak bercakap dan membentangkan teori itu dan teori ini.

    Umat ummī yang dikatakan itu bukannya Nabi (S.A.W.) seorang sahaja, malah semua bangsa ʿArab yang berjuang bersama-sama baginda adalah umat ummī.

    Di sini kita perlu menyebut satu kekeliruan yang pernah dikatakan kepada Nabi Muḥammad (S.A.W.), bahawa beliau diutus dalam umat jahiliyah, bodoh dan tidak bertamadun. Mungkinkah mereka dapat menerima segala pengajaran rasūl? Mungkinkah seorang yang bodoh dan bebal menerima pengetahuan daripada seorang profesor? Hanya umat yang pintar dan bijaksana, luas pemikiran dapat menerima pengajaran rasūl, sebagaimana hanya mahasiswa yang cerdik dapat menerima pengajaran yang tinggi daripada seorang profesor.

    Maka umat ummī ini (umat Quraish) adalah satu bangsa yang bertamadun beribu tahun yang lalu. Mereka daripada keturunan Semite. Bangsa Semite ini sudah mulai tamadun sejak beribu tahun yang lalu di Babylon (Syria) dan Ethiopia. Serpihan daripada keturunan yang agung ini tersebar ke tanah ʿArab, Mekah yang dinamakan Quraish.

    Kebanyakan nabi diutus dalam umat yang bertamadun – bukan diutus kepada umat jahiliyah yang buta huruf; kerana umat yang bertamadun itu sanggup menerima pengajaran yang tinggi yang mengandungi falsafah, kerana mereka mempunyai persediaan yang cukup dengan kepintaran dan pengetahuannya.

    Sebenarnya, pada zaman itu ada tiga golongan bangsa ʿArab. Pertama, bangsa ʿArab Al-Badawah  iatu penduduk asli yang mendiami kawasan dusun dan padang pasir. Kedua, bangsa ʿArab yang dinamakan ʿArab al-ʿAribah, iaitu bangsa ʿArab yang sudah bercampur keturunannya. Dua bangsa ʿArab ini tidak pintar kerana kedudukan dan pergaulan mereka yang terhad. Manakala golongan ketiga ialah ʿArab Al-Mastaʿribah iaitu berasal dari keturunan Ibrāhīm (A.S.).Golongan inilah yang dipilih oleh Allāh (S.W.T.) seorang rasūl iaitu Nabi Muḥammad (S.A.W.).  

    Adapun maksud istilah jahiliyah atau hilang pedoman itu bukan bererti bodoh atau tidak berilmu; tetapi orang jahiliyah ini hanya terlalu bersikap perkauman dan fanatik kepada keturunan sendiri. Mereka bersuku-suku. Untuk memperbesarkan suku keturunan itu hingga membawa kepada peperangan dan perkelahian. Mereka membuat berhala untuk suku mereka dalam Kaʿbah. Dalam keadaan persukuan perkauman dan perseteruan inilah Allāh bangkitkan seorang rasūl untuk menyatukan mereka semula. Pengetahuan mereka sudah dalam. Itulah sebabnya, apabila para sahabat Rasūl Allāh (S.A.W.) menerima Islām, mereka mudah memahami sesuatu ilmu yang tinggi dari Al-Qurʾān. Mereka dipimpin ke dalam persatuan umat setelah mereka berpecah kerana kepentingan diri masing-masing; sebagaimana dinyatakan Allāh keadaan mereka dengan firmanNya:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allāh (agama Islām), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allāh kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allāh menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allāh itu orang Islām yang bersaudara. (Al-Qurʾān: 3: 103).

    Dua kekeliruan ini sering ditonjolkan orang kepada kita. Mereka mengatakan Nabi Muḥammad (S.A.W.) itu buta huruf dan dibangkitkan pada zaman jahiliyah yang gelap gelita. Bolehkah seorang yang buta huruf yang dilahirkan dalam umat yang kuno dapat menyelaraskan pengajaran yang berhikmah seperti Al-Qurʾān ke seluruh dunia? Mungkinkah kaum yang primitif dapat melahirkan seorang nabi? Kemungkinan ini hanya berlaku dari satu bangsa yang besar dapat melahirkan pengajaran yang besar.

    Marilah kita melihat Nabi Muḥammad (S.A.W.) sebagai pemimpin yang mengutamakan amali daripada teori dalam pengertian istilah ummī, - bukannya seorang yang buta huruf dalam kalangan umat jahiliyah. Allāh Maha Mengetahui.

(NHA03-05-15)

Muqadimah takwil quran.
Haji nik mohd Salleh haji wan Musa.

Tafsir hakm.

1 comment:

  1. Sontava – TINY DIN | Tioga Shops
    In addition to Sontava, titanium properties we also have a blue titanium selection titanium mug of specialty cocktails and specialty snacks, including desserts. westcott scissors titanium They also offer titanium belt buckle a variety of

    ReplyDelete