Sunday, January 27, 2019

TUJUAN DIUTUS NABI S.A.W. DAN ASAS PENGAJARAN AL-QURAN

4

TUJUAN DIUTUS NABI S.A.W. DAN

ASAS PENGAJARAN AL-QURAN

Pemesongan daripada asas-asas pengajaran Al-Quran menyebabkan agama Islam difahamkan sebagai suatu agama tanpa jiwa atau ilmu untuk memimpin manusia dalam kehidupannya. Salah faham ini perlu diperbaiki dengan mengkaji semula maksud kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. dan maksud penurunan Al-Quran kepada manusia, berdasarkan nas Al-Quran dan hadis nabi s.a.w., pendapat-pendapat alim ulama Islam dari golongan Ahli Sunah Wal-Jamaah yang muktabar. Semoga dengan kajian itu umat Islam tidak tergelincir daripada jalan yang lurus atau (qvjFTpÛ¯ b¯RÆ) yang diredai Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman:

Dialah Tuhan yang mengutuskan rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya beliau melahirkannya di atas semua agama pada keseluruhannya walaupun di benci oleh kaum yang musyrik.

Ayat ini menerangkan tujuan Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. ialah membawa pimpinan berbentuk sebuah kitab Al-Quran yang mengandungi peraturan dan disiplin yang tersusun untuk setiap manusia yang mahu menegakkan pemerintahan Allah di bumi ini. Pimpinan ini telah berjaya dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam masyarakatnya melalui pengajaran, pendidikan dan latihan supaya setiap orang layak memikul perintah Allah.

Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. diperintah supaya melahirkan kebenaran yang tulen dalam agama Allah yang telah diselewengkan melalui pelbagai bidaah oleh umat dari millah yang lalu.

Nabi s.a.w. menyeru dengan menjemput pemimpin-pemimpin negara pada pada zaman itu untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang besar berlandaskan kebenaran yang terdapat dalam setiap millah. Allah berfirman; maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu; iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun, dan janganlah sebahagian kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.”; kemudian jika mereka berpaling (enggan menerimanya), maka katakanlah kepada mereka: “saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang Islam.”  

Setelah Nabi Muhammad s.a.w. berjaya menegakkan Pemerintahan Allah di Madinah pada tahun 6 Hijrah, beliau mengutus surat melaui utusan-utusannya yang khusus kepada pemimpin-pemimpin negara seluruh dunia pada zaman itu. Nabi s.a.w. menjemput mereka berdasarkan kebenaran dalam millah mereka masing supaya bersatu dalam satu organisasi yang dinamakan Khilafah Islamiah.

Al-Tabri menyenaraikan pembawa-pembawa surat Nabi Muhammad s.a.w. kepada pemimpin negara di seluruh dunia seperti berikut:

Dihyah Ibn Khalifatul Kalbil Khazraji diutus kepada Maharaja Hirakla negara Rom.

Abdullah Ibn Kharafatul Sahmi diutus kepada Maharaja Kisra, negara Parsi.

Umar Ibn Umayata-Dharmi diutus kepada Maharaja Najasi, negara Habsyah.

Hatib Ibn Balta‘atu-Najmi diutus kepada Raja Muqaukis, gabenor Rom di negeri Mesir.

Salit Ibn Umarin Wal’amiri diutus kepada Hauzah Ibn Ali pemimpin negeri Yamamah.

Syuja’ Ibn Wahbin diutus kepada Al-Harith Ibn Abisytammar pemimpin negeri Ghashan.

Al-‘Ala Ibn Al-Madzrami diutus kepada Al-Munzir Ibn Sawa, pemerintah Bahrin.

Umar Ibn Al-‘As diutus kepada Jaifar dan ‘Abad anak kepada Al-Julanda.

Semua surat yang dihantar kepada raja-raja itu walaupun berbeza kata-kata dan cara seruannya, tetapi pada kesluruhannya baginda memberi peringatan dengan firman Tuhan, ayat 64 dari surah Al-Imran. Ada juga surat yang tidak disertai dengan firman Tuhan tersebut misalnya surat yang dihantar kepada Raja Kisra di negara Parsi.

Kebanyakan raja yang menerima surat Nabi s.a.w. menghargai seruan baginda dan membalas dengan hadiah yang bernilai kepada Nabi s.a.w. misalnya Gabenor Rom di Mesir iaitu Muqaukis. Antara hadiah yang dihantar ialah seorang jariah rupawan Mariatu Qibtiah yang akhirnya memeluk Islam dan menjadi salah seorang isteri Nabi s.a.w.

Kisra, Raja Parsi dengan angkuhnya mengoyak surat yang dihantar oleh Nabi s.a.w. Apabila Nabi s.a.w. mengetahui berita itu, baginda bersabda bahawa Tuhan akan mengoyak kerajaannya.

Cara dakwah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. mengikut asas pengajaran Al-Quran, berbeza dari cara yang dilakukan oleh ulama Islam selepas zaman keemasan Islam.

Nabi s.a.w. berdakwah untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu dan mengembang pengajaran Ilahi yang sama dalam semua kitab suci yang diturunkan kepada mereka, bekerjasama membangun sebuah kerajaan yang menjamin keadilan dan kasih sayang untuk semua manusia dan makhluk Allah.

Para ulama Islam pada zaman akhir ini berdakwah dengan cara mengiklankan gambaran tauhid, akhlak dan hukum-hulum tanpa membuat perancangan yang tersusun dengan matlamat untuk mendirikan sebuah kerajaan Ilahiah. Usaha mereka gagal dan sia-sia kerana bercanggah dengan usaha Nabi s.a.w.  Malah timbul kesan-kesan negatif seperti perpecahan dalam sebuah masyarakat kerana perkara yang  mereka bawa kadang-kadang memburuk-burukkan mana-mana pihak yang tidak secucuk dengan pendapat mereka. Perbahasan yang mereka adakan tidak berasaskan nas dan pegangan yang benar dan tidak meyakinkan, jauh dari kebenaran dan menimbulkan permusuhan dengan masyarakat.

Dakwah Nabi s.a.w. berjaya memperbetulkan penyelewengan oleh umat dahulu, menyatukan umat yang berlainan keturunan dan adat resam dalam millah masing-masing hidup bersama sebagai satu keluarga yang bersatu dalam tujuan hidup secara bermesyuarat dan bertukar-tukar pendapat dan berkasih sayang. Akhirnya lahirlah kebenaran pada setiap individu, rasa persaudaran, tanggungjawab bersama, taat dan setia serta patuh kepada pimpinan Nabi s.a.w. Al-Quran dijadikan kitab panduan kitab-kitab mereka. Inilah kejayaan dakwah Nabi s.a.w. yang perlu diambil perhatian.

Haji nik mohd Salleh haji wan Musa.

Fitrah insaniyah .

No comments:

Post a Comment