Wednesday, January 23, 2019

fasal 19. CARA AL-QURʾĀN MESTI DITAFSIRKAN UNTUK MENGGAMBARKAN MAKSUD SEBENAR.

19

CARA AL-QURAN MESTI DITAFSIRKAN UNTUK MENGGAMBARKAN MAKSUD SEBENAR

Setiap orang yang membaca Al-Quran perlu mengetahui jalan sebenar yang dibawa oleh setiap pentafsir Al-Quran kerana para ulama tafsir terbahagi kepada beberapa golongan dengan jalan-jalan tafsiran mereka yang amat berbeza.

Golongan ahli tafsir yang menentukan matlamat tafsiran dengan riwayat yang dinaqal daripada Nabi s.a.w. berbentuk “marfuk” atau “mauquf” atau pendapat tabiin atau riwayat Israeliat untuk menerangkan maksud setiap ayat Al-Quran itu. Jalan ini dipilih oleh ulama hadis seperti Allamah Ibni Kathir dan Allamah Baghawi rahimallahu taala.

Golongan ahli tafsir yang menentukan matlamat tafsiran mereka untuk menerangkan takwilan yang betul yang boleh digunakan pada ayat sifat-sifat dan nama-nama Tuhan. Maka sebarang takwilan yang tidak sesuai dengan mazhab ‘’ iaitu (jalan mereka yang sebenar menyucikan zat Allah daripada menyerupai makhluk), mereka terpaksa memalingkan maksudnya dari yang zahir dan menolak kata-kata golongan yang menyeleweng dengan dalil yang berkaitan pada setengah-setengan ayat. Jalan ini dipilih oleh ulama Mutakallimin dengan tujuan mempertahankan akidah-akidah Islam dari penyelewengan oleh kumpulan bidaah, Muktazilah, Qadariah, Musyabbihat dan sebagainya.

Golongan yang menentukan matlamat tafsiran mereka untuk menerangkan jalan-jalan istinbat hukum fikah dan menyokong sebahagian masalah yang dicipta dengan ijtihad ke atas sebahagian yang lain. Cara ini kadang-kadang mendatangkan jawapan untuk mereka yang salah berpegang dengan nas. Cara ini dipilih oleh ulama usul fikah seperti Ibni Al-Arabi Al-Maliki, dan Al-Jashah dalam Ahkam Al-Quran.

Golongan yang menetapkan matlamat tafsiran mereka untuk menerangkan kaedah-kaedah nahu dalam Al-Quran dan lughah yang digunakan. Mereka membawakan beberapa ‘contoh dari perkataan-perkataan Arab yang menyokong dalam setiap bab dengan lengkap. Jalan ini dipilih oleh ulama nahu dan ulama bahasa Arab.

Golongan yang menetapkan matlamat tafsiran mereka untuk menerangkan keindahan Al-Quran daripada segi ‘maani’ dan ‘bayan’ dan ‘balaghah’. Jalan ini dipilih oleh Ahli Adab dalam bahasa Arab.

Golongan yang menentukan matlamat tafsiran mereka untuk menerangkan ‘’ dan cara bacaan Al-Quran yang diterima daripada guru-guru dan qari yang masyhur. Jalan ini dipilih oleh golongan qura’ ().  

Golongan yang menentukan matlamat tafsiran mereka untuk menerangkan rahsia-rahsia yang berkaitan dengan ilmu suluk atau ilmu hakikat. Jalan ini dipilih oleh golongan sufi.

Ringkasnya, bidang ilmu tafsiran ini amat luas. Setiap golongan ulama itu mahu menerangkan maksud Al-Quran. Maka mereka menceburi sesuatu bidang pengetahuan secara gigih, menerang mengikut kadar kebolehan mereka. Maka kita dapati terlalu banyak jalan dalam bidang ilmu tafsir dan banyak kitab yang dikarang oleh mereka.

Sumbangan ikhlas para ulama dalam bidang yang berkaitan dengan ilmu tafsiran sangat besar untuk menjaga dan mengawal ilmu yang perlu untuk memahami Al-Quran daripada dipinda, dirosak, diubah seperti yang berlaku pada kitab-kitab agama dahulu, misalnya kitab-kitab Hindu, Majusi, Yahudi dan Nasara.

Usaha ulama Islam kepada Al-Quran yang berterusan sepanjang zaman membuktikan kebenaran jaminan Allah taala memelihara Al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami yang telah turunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami tetap akan memelihara untuknya”.

Al-Quran terselamat dari sebarang bentuk kerosakan dan perubahan dan tetap sebagai kitab panduan untuk semua manusia hingga hari Kiamat.

Jaminan ini diakui oleh seluruh umat Islam; akan tetapi jaminan ini tidak bererti kepada umat Islam yang menjunjung Al-Quran itu sekarang hidup dalam keadaan hina dan menimbulkan keraguan kepada mereka yang sedar terhadap janji Allah itu. Pada hari ini umat Islam terpaksa mencari panduan dan pemikiran untuk mencapai kemajuan dari falsafah Barat, sedangkan Al-Quran sebagai kitab suci dan selamat menjadi sebuah kitab berkat sahaja. Keadaan ini sungguh menghairankan. Adakah janji Allah dalam ayat di atas:

    “dan sesungguhnya Kami tetap akan memelihara untuknya”.

sekadar menjaga tulisan, huruf dan bacaan dalam Al-Quran sahaja? Sedangkan perkara yang lebih penting yang termasuk dalam jaminan Allah ialah:  

membangunkan pemerintahan (khilafah)

membangun jiwa umat manusia yang hidup dengan Al-Quran

kemuliaan dan kebesaran umat Islam

falsafah Al-Quran tetap dipelihara dan manusia tidak perlu mencari falsafah hidup yang lain

Inilah jaminan Allah taala selagi manusia mengikut pengajaran Al-Quran. Jaminan ini hanya terdapat dalam Al-Quran, tetapi malangnya umat Islam telah dipengaruhi oleh salah faham dan hilang keyakinan sehingga mereka tidak dapat mengenal dan tidak dapat membezakan antara kebenaran dan sebaliknya.

Oleh sebab itu ilmu tafsiran yang pelbagai aliran yang tersebut di atas hanya merupakan pengetahuan furuk, sedangkan pengetahuan usul (prinsip) yang menjadi roh ilmu tafsir sukar dinyatakan, sukar dibukukan kerana ilmu ini perlu dipelajari secara usul bukan secara furuk.

Selain daripada itu pengetahuan tafsir yang sebenar mesti diterima oleh pelajar daripada gurunya secara bersahabat, seperti para sahabat menerima limpahan cahaya ilmu tafsiran hasil persahabatan mereka dengan Nabi Muhammad s.a.w. dahulu.

Umat Islam sekarang mengenepikan asas-asas pengajaran ini, tidak mengikut sunah yang ditetapkan oleh Allah taala dan Rasul-Nya. Itulah yang menyebabkan mereka tidak dapat mengenal hakikat ilmu  yang sebenarnya.

Usul (prinsip) yang dimaksudkan di sini ialah hikmat atau falsafah dalam pengajaran Al-Quran. Mereka yang mahu memahami Al-Quran hendaklah mengikuti beberapa kaedah penting apabila membaca Al-Quran.

Mendekatkan sesuatu yang sukar difaham.

Menjauhkan perselisihan tentang sesuatu yang berada antara dua dalil atau sesuatu yang didapati berselisihan antara yang manqul dan yang dima’qul.

Mengasingkan antara dua perkara yang samar.

Menyesuaikan (tatbik) antara dua yang berselisihan.

Menerangkan kebenaran janji-janji yang telah diisyaratkan di dalam ayat.

Menerangkan kaifiat perbuatan Nabi Muhammad s.a.w mengikut nas Al-Quran.

Hujjatul Islam Al-Imam Syah Wali Allah Al-Dihlawi rahimallahu taala berkata:

  

“Ada pun cara-cara ulama Mutakallimin menjalankan takwil yang jauh pada ayat-ayat mutasyabihat dan menyatakan sifat Allah, maka cara-cara itu sesungguhnya amat jauh daripada jalan saya, kerana jalan saya dalam perkara itu ialah mengikut mazhab Imam Malik, Imam Sufian Al-Thauri, Imam Ibni Al-Mubarak dan semua ulama Mutaqaddimin, iaitu ayat-ayat mutasyabihat hendaklah diamal dengan zahir jua, dan janganlah campur

ganggu dengan takwil dan permusuhan pada hukum-hukum yang diistinbat dan jangan mengukuhkan sesuatu mazhab yang khalis ( ) dan mentahkik mana-mana yang tidak dipersetujui pendapatnya, dan jangan menjalankan helah untuk menolak dalil-dalil Quran yang surih. Ini semua tidak benar di sisi saya”.

Kemudian beliau berkata bahawa jalan yang benar bagi membaca Al-Quran itu ialah seperti berikut:

  

“Dan hanya sesungguhnya yang wajib supaya mencari tunjukan ayat dan menjadikan tunjukan ayat itu suatu jalan, ke mana pun ia berjalan, berjalanlah ke arahnya sama ada bersetuju atau berselisih (dengan fikiran manusia) dan ada pun bahasa Al-Quran, maka hendaklah diambil daripada “istikmal” Arab Quraisy (yang awal menerima Al-Quran itu) dan hendaklah berpegang pada keseluruhannya di atas athar sahabat dan tabiin”.

Maka Al-Quran hendaklah difahami dengan cara yang tidak tertakluk di bawah mana-mana pemikiran, pendapat dan ikatan yang khusus dalam bahasa, asbab al-nuzul dan sebagainya.

Bacalah Al-Quran seperti asalnya sebagai kitab Allah yang diturun untuk semua umat manusia. Pada masa itu barulah lahir hakikat, hikmat dan falsafah yang tinggi itu pada Al-Quran.

Hakikat dan hikmat ini telah difirmankan oleh Tuhan bagi menerangkan kebesaran dan kehebatan mukjizat Al-Quran itu:

Katakanlah: “Jika berkumpul manusia dan jin buat membikin seperti Quran ini, mereka tidak akan bisa membikinnya, walaupun sebahagian dari mereka jadi pembantu bagi sebahagiannya”. (Quran: 17: 88).
Muqadimah takwil Quran haji nik leh fitrah insaniyah.

No comments:

Post a Comment