Wednesday, June 28, 2017

Kerajaan bermula dari rumah (2)


Satu Peringatan
    Kami berpendapat  pelaksanaan ringkasan dan isyarat yang kami dapati dari masalah-masalah itu hanya boleh dilakukan oleh kerajaan berbentuk republik, kerana apabila pemimpin kerajaan mati atau lemah, kabinet boleh bersidang dan memilih pemimpin baharu. Selain dari pemerintahan berbentuk republik perkara itu tidak boleh dilaksanakan tanpa rancangan sulit atau melalui revolusi yang merampas kuasa.
    Sesungguhnya kami telah pastikan dahulu bahawa keputusan ke atas rakyat ditentukan oleh parlimen (yang terdiri dari ahli-ahli ilmu) tidak semestinya dirujuk kepada wahyu atau nabi. Maka rakyat memilih seorang hakim sebagaimana wanita memilih suami setelah suaminya yang lalu meninggal dunia.
    Menentang pemerintah dengan kekerasan, mengadakan pergerakan sulit dan kerap menukar pucuk pimpinan adalah warisan adat jahiliah dalam kalangan umat Islām, dan bukan pengajaran Al-Qurʾān. Kami telah terangkan tujuannya dalam tafsiran ayat dalam surah al-Shurā lebih baik daripada huraian di sini.
    Maksud kami di sini untuk memberi faham kepada orang ramai segala hukum Islām dalam Al-Qurʾān adalah bersifat semula jadi (fiṭrah) dan bersandarkan contoh-contoh pada isyarat-isyarat yang lalu. Kami mengetahui tanpa berfikir bahawa sifat seorang lelaki dan perempuan di rumah sama dengan seorang hakim dan seorang yang dihukum. Sesiapa yang menentang pendapat ini, pendapatnya dikira bercanggah dengan akal dan salah di sisi ahli ilmu Islām. Kita hendaklah merujuk kepada fiṭrah yang menetap dalam pemikiran semasa peralihan penguasa rumah daripada seorang lelaki kepada lelaki lain, dan membiarkan perempuan bebas memilih suami mereka tanpa mengadakan perjanjian sulit.
    Setelah kita faham perkaitan dua masalah ini, kita yakin bahawa kefahaman ini hampir tepat, sedangkan perkara yang kami istinbat ini dijelaskan pada ayat-ayat dalam surah lain.
    Orang yang menganggap masalah ini ganjil daripada kami, hanya mereka yang berpendapat tidak wajib bermesyuarat, sekalipun mereka ditolak oleh Imām Abū Bakr al-Jaṣṣaṣ dalam Aḥkām Al-Qurʾān, tetapi orang ramai tidak mengambil perhatian tentangnya lebih-lebih lagi dalam masalah pemerintahan.

Masalah Lain
    Allāh taʿālā berfirman:

Tidak ada tanggungan atas kamu kalau kamu ceraikan isteri-isteri sebelum kamu sentuh mereka, atau kamu tentukan satu ketentuan untuk mereka; tetapi hendaklah kamu bekalkan bagi mereka satu bekalan dengan cara yang patut, orang yang berkelapangan, menurut ukurannya; dan orang yang berkesempitan, menurut ukurannya, sesungguhnya satu perkara yang patut atas orang yang berbuat kebaikan. (Al-Qurʾān: 2: 236).

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh mereka, padahal kamu telah tentukan bagi mereka satu ketentuan, maka (wajib kamu bayar) separuh dari apa yang kamu telah tentukan, kecuali kalau perempuan-perempuan itu suka lepaskan (haknya) atau orang yang memegang simpulan pernikahan itu; (suka memberi cukup); tetapi bahawa kamu memberi cukup itu adalah terlebih hampir kepada kebaktian; dan janganlah kamu lupakan kebaikan (pergaulan) antara keluarga kamu; sesungguhnya Allāh amat Melihat apa yang kamu kerjakan. (Al-Qurʾān: 2: 237).
    Apabila kamu cerai seorang perempuan, kamulah orang yang bertanggungjawab berhak memberi sagu hati. Jika lelaki tidak mendapat faedah daripada perempuan yang dikawini, tidak wajib mereka menyerahkan semua harta yang dijanjikan untuk diberi kepada perempuan, malah dia hendaklah menyerah separuh sahaja kerana menghormati undang-undang. Fungsi undang-undang seperti fungsi seorang yang hidup. Maka dikira kebaikan pada undang-undang lebih utama dengan maksud memaafkan.
    Perjanjian perkahwinan, untuk perdampingan yang khusus antara suami dan isteri. Apabila perkahwinan rosak, sesungguhnya secara semula jadi wajib saling menjauhi, tetapi undang-undang menolaknya dan hikmah melarangnya kerana dua individu itu berada dalam masyarakat Islām. Mereka berhak untuk bermesra dan berkasih sayang pada peringkat kedua sebagai tambahan kepada hak kasih sayang dalam masyarakat.
    Jika perjanjian perkahwinan itu rosak, maka tidak mungkin membatalkan kasih sayang dalam masyarakat di mana mereka berada. Hak masyarakat wajib dijaga. Mereka diperintah memberi sagu hati kepada isteri-isteri yang dicerai. Mereka diperintah demikian pada ayat 236 supaya mengurangkan mas kahwin yang diberi tanpa melupakan kepada keutamaan dalam kalangan mereka dengan firman Tuhan.

Dan janganlah kamu lupa kebaikan antara kamu, (Al-Qurʾān: 2: 237)
Ayat ini sebagai isyarat kepada apa yang kami nyatakan.
    Jika mereka sentiasa menjaga keadaan masyarakat Islām dengan perkara-perkara yang mesti, penjagaan itu membolehkan mereka mengurus sebuah kerajaan berbentuk republik yang boleh menukar pucuk pimpinan tanpa peperangan. Jika mereka lupa kepada masyarakat Islām, sesungguhnya tidak dapat ditegakkan kumpulan Jawatankuasa Pusat dalam kalangan mereka, tidak akan wujud ahli mesyuarat dan urusan menjadi sia-sia.

Satu Masalah Lain
Allāh taʿālā berfirman:

Kerjakanlah dengan tetap akan sembahyang dan akan sembahyang yang terlebih penting; dan hendaklah kamu berdiri kerana Allāh dengan khusuk. (Al-Qurʾān: 2: 238).

Tetapi jika kamu takut, maka kerjakanlah dengan berjalan atau berkenderaan, lantas apabila kamu telah aman, maka sebutlah akan Allāh sebagaimana Ia telah ajarkan kamu apa yang kamu tidak tahu. (Al-Qurʾān: 2: 239).
    Shaykh berkata, perintah menjaga sembahyang berada di tengah-tengah perbincangan pentadbiran rumah tangga. Maka kami faham daripada ayat itu bahawa memelihara semua hukum pentadbiran rumah tangga adalah wajib seperti menjaga sembahyang lima waktu.
    Sembahyang adalah asas ihsan dan zikrullāh. Demikian juga semua hukum pentadbiran rumah tangga adalah asas pengajaran keadilan dalam pemerintahan. Daripada sudut hukum, kedua-duanya adalah wajib.
    Maksudnya, apabila tiada darurat dan keadaan telah aman, kamu hendaklah sembahyang sebagaimana Allāh mengajar perkara yang kamu tidak tahu dahulu, iaitu terikat dengan undang-undang khusus.
    Shaykh berkata, demikian juga dalam politik, manusia wajib mematuhi undang-undang pada waktu aman dan ada kemampuan. Apabila berlaku darurat pada sebahagian keadaan, seseorang itu harus melaksanakan mengikut keperluan pada kadar yang mampu sahaja. Jika keadaan sudah aman kembali, dan ada kemampuan, wajib kembali kepada keadaan pertama selepas itu. Ahli politik yang gagal mengamalkan siasahnya pada masa tertentu, selepas itu aman dan tenang, mereka tidak kembali kepada pelaksanaan seperti keadaan pertama, malah mereka ditimpa sikap putus asa. Sikap ini disebabkan kejahilan.

Dan orang yang meninggal dunia dari antara kamu, padahal ada meninggalkan isteri-isteri, wasiat bagi isteri-isteri mereka itu (iaitu) beri bekalan hingga setahun, (Al-Qurʾān: 2: 240)
    Maksudnya, mereka wasiatkan kepada isteri-isteri mereka supaya tinggal di rumahnya selama setahun sebagai ihsan suami kepada isteri setelah dia mati.

dengan tidak keluarkan (mereka), (Al-Qurʾān: 2: 240)
    Maksudnya, dia tidak dikehendaki keluar dan difardukan dengan wasiat itu.

tetapi jika mereka keluar (sendiri), (Al-Qurʾān:2:240)
Maksudnya, isteri keluar dari rumah suami ke rumah bapanya setelah tamat tempoh menunggu dan dia tidak bersetuju dengan wasiat supaya tinggal di rumah suaminya selama setahun,

Maka tiada kesalahan atas kamu tentang apa yang mereka kerjakan pada diri mereka dari yang sopan dan Allāh itu Maha Gagah, Bijaksana. (Al-Qurʾān: 2: 240)
    Shaykh berkata, ayat ini tidak mansuh seperti dinyatakan oleh Shāh Walī Allāh dalam Al-Fawz al-Kabīr. Ahli tafsir mengatakan ayat ini mansuh. Ini adalah kesilapan yang besar.

Dan perempuan-perempuan yang dicerai itu (wajib mendapat) bekalan dengan cara yang patut iaitu satu kewajipan atas orang yang bertakwa. (Al-Qurʾān: 2: 241)
    Maksud kalimah “” ialah sagu hati, berbeza dari maksud pada ayat 236 yang lalu.
    Shaykh berkata, apabila kita memberi sesuatu sebagai sagu hati kepada isteri yang dicerai, mudahlah kita mengawini perempuan lain pula setelah perbuatan itu dilihat oleh perempuan. Demikian juga jika kita bertindak seperti itu dinisbahkan kepada pemerintah. Senanglah kita melantik pemimpin lain di tempatnya. Pemberian sagu hati mendatangkan kegemaran kepada manusia. Jika suami tidak mampu memberi sagu hati, ahli keluarganya hendaklah memberinya untuk memelihara keharmonian masyarakat Islām.

Begitulah Allāh menerangkan hukum-hukumNya kepada kamu supaya kamu mengerti.     ( Al-Qurʾān: 2: 242)

Tidakkah engkau fikirkan mereka yang keluar dari kampung-kampung mereka, (Al-Qurʾān: 2: 243)
    Maksudnya, Banī Isrāʾīl.

Kerana takut mati, padahal mereka beribu-ribu. Lantaran itu Allāh berkata kepada mereka itu: “Matilah kamu.” Kemudian Ia hidupkan mereka”. (Al-Qurʾān: 2: 243).
    Shaykh berkata, setiap ayat Al-Qurʾān yang bererti hidup selepas mati, bermaksud sesuatu umat boleh hidup semula selepas mati (hilang kerajaan). Ahli politik tidak sependapat. Mungkinkah India hidup kali kedua atau tidak. Sebahagian dari mereka mengatakan boleh. Shaykh berkata, di sisi kami hidup kali kedua pasti boleh berdasarkan ayat ini. Menghidupkan yang mati terbahagi kepada dua.
    Pertama, pada mayat masih ada sedikit kehidupan seperti mati sekejap. Kemudian kekuatan rohaniah turun dari ʿalam al-mithāl dan bergabung denganya. Pada waktu itu dia hidup. Kedua, tidak ada padanya kehidupan sama sekali. Kemudian kekuatan ʿalam al-mithāl turun. Maka dia hidup dalam keadaan terlalu lemah.

Sesungguhnya Allāh itu mempunyai budi atas manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih. (Al-Qurʾān: 2: 243)
    Shaykh berkata, sesuatu umat itu hanya hidup dengan berjihad. Oleh sebab itu Allāh taʿālā berfirman:

Dan hendaklah kamu perangi di jalan Allāh; dan ketahuilah bahawa Allāh itu amat Mendengar, amat Mengetahui. (Al-Qurʾān:2:244).
    Ayat ini menerangkan jihad secara amali. Ayat sebelumnya menerangkan persediaan untuk berjihad. Berjihad memerlukan harta. Maka Allāh taʿālā berfirman:

Siapakah orang yang mahu meminjamkan kepada Allāh satu pinjaman yang baik supaya ia gandakan itu baginya dengan beberapa banyak ganda? Kerana Allāh itu menyempitkan dan meluaskan, dan kepadaNyalah akan dikembalikan kamu. (Al-Qurʾān: 2: 245)
    Shaykh berkata, berjihad perlukan perancangan yang rapi dan pemimpin tentera. Maka Allāh taʿālā berfirman:

Tidakkah engkau fikirkan ketua-ketua dari Banī Isrāʾīl sesudah Mūsā, tatkala mereka berkata kepada seorang nabi mereka: “Lantikkanlah seorang raja kami supaya kami berperang di jalan Allāh”. Ia menjawab: “Apakah tidak boleh jadi jika kamu diwajibkan berperang bahawa kamu tidak akan berperang?” (Al-Qurʾān: 2: 246).
kerana kamu tidak mempunyai persediaan.

Mereka jawab: “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allāh padahal kami telah dihalau keluar dari kampung kami dan anak-anak kami?” (Al-Qurʾān: 2: 246).
Maksudnya, kami mempunyai persediaan. Ayat ini menerangkan sebab persediaan untuk berjihad. Apabila manusia dihalau dari negara dan keluarga, sudah pasti ia marah. Ini tabiat manusia, tetapi,

apabila diwajibkan atas mereka berperang, berpalinglah mereka, (Al-Qurʾān: 2: 246).
kerana mereka tidak mempunyai persediaan yang lengkap. Mereka kurang bersedia.

melainkan sedikit daripada mereka; (Al-Qurʾān: 2: 246)
Maksudnya, sedikit sahaja dari kalangan mereka yang bersedia dengan lengkap.

Dan Allāh itu amat Mengetahui akan orang yang menganiaya. (Al-Qurʾān: 2: 246)

Dan nabi mereka telah berkata kepada mereka: “Bahawa Allāh telah bangkitkan Ṭālūt sebagai raja bagi kamu”. Mereka berkata: “Adakah patut ia berkuasa atas kami, padahal kamu lebih patut berkuasa daripadnya, sedangkan ia tidak mempunyai keluasan dari harta?” (Al-Qurʾān: 2: 247).
   Maksudnya Ṭālūt bukan dari keluarga atasan dan bukan dari keturunan orang yang mulia.

Ia menjawab: “Sesungguhnya Allāh telah pilih dia atas kamu dan dia telah tambah keluasannya tentang ilmu dan badan; dan Allāh  memberi kerajaanNya kepada siapa yang Ia kehendaki; (Al-Qurʾān: 2: 247)
    Ini jawapan Allāh kepada mereka. Maksudnya, untuk menjadi pemimpin tidak perlukan kekayaan, tetapi memerlukan ilmu dan kekuatan fizikal.

dan Allāh itu Luas, Mengetahui. (Al-Qurʾān: 2: 247)

Dan telah berkata nabi mereka kepada mereka: “Bahawa tanda kerajaannya itu ialah bahawa nanti akan datang kepada kamu peti itu yang di dalamnya ada yang memuaskan hati dari Tuhan kamu, dan sisa dari apa yang ditinggalkan oleh keluarga Mūsā dan keluarga Hārūn yang dibawa oleh malaikat. (Al-Qurʾān: 2: 248).
    Shaykh berkata, ini sebagai dalil kesan keberkatan yang diambil dari para nabi. Demikian juga orang ṣāliḥ. Pada peringkat awal, manusia menafikan kesan keberkatan para nabi kecuali keberkatan Nabi (S.A.W.). Kemudian mereka menafikan kesan keberkatan Nabi (S.A.W.) pula, kerana mereka dapati syirik pada sebahagian orang awam.
    Shaykh berkata, ini satu kebodohan. Kami mensabitkan kesan keberkatan para nabi. Kami tidak haruskan syirik dan kami menolak lebih daripada mereka tetapi kami tidak menafikan kesan keberkatan para nabi itu. Inilah perbezaan antara kami dan mereka.
    Shaykh berkata, maksud ayat:

“Bahawa tanda kerajaannya itu ialah bahawa nanti akan datang kepada kamu peti itu yang di dalamnya ada yang memuaskan hati,..” (Al-Qurʾān: 2: 248)
iaitu turun keberkatan.
    Shaykh berkata, mula-mula peti itu dikuasai oleh golongan kafir dari tangan Banī Isrāʾīl. Kemudian taun turun ke atas mereka. Kemudian mereka membawa peti itu kepada bangsa ʿArab dengan menggunakan lembu kerana bimbang jika mereka menghantar seseorang dari mereka, ia akan dibunuh oleh Banī Isrāʾīl. Setelah peti itu dibawa kepada bangsa ʿArab, lembu itu ditarik ke rumah Banī Isrāʾīl dan al-Malaʾ al-sāpil menunjukkannya. Inilah maksud kalimah “”.

Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda bagi kamu, jika memang kamu orang yang beriman. (Al-Qurʾān: 2: 248).

Maka tatkala Ṭālūt berangkat bersama tenteranya, ia berkata: “Sesungguhnya Allāh akan memberi percubaan kepada kamu dengan satu sungai; maka sesiapa minum daripadanya bukanlah ia dari (golongan)ku; dan sesiapa tidak merasai dia maka ia dari (golongan)ku, kecuali orang yang menyeduk satu cedukan dengan tangannya. Tetapi mereka minum daripadanya, kecuali sedikit dari mereka. Maka tatkala (Ṭālūt) dan orang beriman yang bersama dia menyeberang sungai itu, mereka berkata: “Sesungguhnya kami (rasa) tidak kuat sekarang berperang dengan Jālūt dan tenteranya”. (Al-Qurʾān: 2: 249).
    Ini suatu ujian kepada tentera sama ada mereka layak berjihad atau tidak, kerana apabila mereka keluar ke medan perang dalam keadaan mereka tidak layak untuk berjihad, pemerintah akan kerugian besar. Dengan ujian itu jelaslah perbezaan antara orang yang layak dan orang yang tidak layak berjihad. Dikatakan semasa ujian dijalankan: “Seseorang itu dimuliakan atau dihina”.

Orang yang percaya akan menghadap balasan Allāh itu berkata: (Al-Qurʾān: 2: 249).
    Maksudnya, ulama-ulama mereka.

Ada berapa banyak golongan yang sedikit pernah mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allāh, kerana Allāh itu berserta orang yang sabar”. (Al-Qurʾān: 2: 249).
    Maksudnya, kamu hendaklah bersabar menanggung kesusahan kerana Allāh bersama-sama kamu dan membantu orang yang sabar. Inilah nasihat mereka.

Dan tatkala mereka zahir (di medan) buat (menghadapi) Jālūt dan tenteranya, berkatalah mereka: “Wahai Tuhan kami! Tuangkanlah kesabaran ke atas kami dan tetapkanlah kaki-kaki kami, dan tolonglah kami atas kaum yang kafir”. (Al-Qurʾān: 2: 250).
    Ini sebagai contoh nasihat.

Oleh sebab itu, dapatlah mereka kalahkan mereka itu dengan izin Allāh, dan Dāʾwūd dapat membunuh Jālūt. (Al-Qurʾān: 2: 251).
    Ini menunjukkan doa mereka diterima.

Dan Allāh beri kepadanya kerajaan dan hikmah dan Ia ajarkan dia apa yang Ia kehendaki. (Al-Qurʾān: 2: 251), 
termasuklah pelbagai ilmu tamadun.

Dan sekiranya Allāh tidak menjatuhkan manusia sebahagiannya dengan sebahagian, nescaya rosak bumi ini, tetapi Allāh itu mempunyai kurnia atas seluruh alam. (Al-Qurʾān: 2: 251).
    Maksudnya, Allāh mengangkat sebahagian mereka ke atas sebahagian.

Yang demikian itu tanda (kekuasaan) Allāh. Kami ceritakan dia kepada kamu dengan benar. (Al-Qurʾān: 2: 252).
    Maksud istilah “” ialah faedah yang didapati ditentukan kepada kamu tanpa keraguan.

Dan sesungguhnya engkau daripada mereka yang diutus. (Al-Qurʾān: 2: 252).
    Perkara itu ditentukan sebelum berlaku. Kemudian perkara itu berlaku seperti itu. Ini menujukkan kamu sebahagian dari para rasūl yang diutus. Para ḥukamāʾ tidak mampu menentukan perkara itu. Sekarang tamatlah fasal pemerintahan beraja dan politik berparti.

Kemuncak Peningkatan Manusia.
Sekarang kami menerangkan peringkat pemerintahan sebagai kemuncak peningkatan manusia dan tahap akhir seruan Al-Qurʾān.
    Shaykh berkata, manusia dengan fiṭrahnya tidak bebas sepenuhnya, melainkan dia berada di bawah satu sistem yang hanya dikuasai oleh Allāh yang Esa dan Maha Kuasa. Jika di atasnya terdapat satu sistem lain, dia pasti menjadi hamba di bawah sistem itu. Oleh sebab itu dia tidak bebas dan dia kekal sebagai hamba.
Ada pendapat mengatakan dalam dunia ini mesti ada satu sistem sahaja. Pendapat ini tidak mungkin selama-lamanya, kerana kehendak fiṭrah manusia tidak sedemikian, malah hendaklah terdapat satu sistem tertinggi, dan semua sistem lain berada di bawahnya. Yang demikian boleh berlaku di mana umat-umat tamadun di dunia patuh di bawah undang-undang itu dan umat-umat lain tidak mampu memerangi mereka, tetapi tidak dikehendaki mengikuti mereka.
    Shaykh berkata, pada peringkat awalnya pusat tamadun umat Islām ialah di sekitar Ḥijāz kepunyaan Quraish. Pusat tamadun Naṣārā di Rom dan pusat tamadun umat Ṣābiʾīn di Irān.
    Apabila umat-umat yang tamadun ini bergabung dengan umat Islām di bawah satu sistem, maka terbentuk satu kekuatan dan sebuah empayar bagi Nabi (S.A.W.) yang menguasai umat dunia. Maka umat tamadun yang lain tidak mampu memerangi Nabi (S.A.W.). Umat yang tidak tamadun diambil kira pada awal lagi kerana mereka tidak mempunyai sistem hidup. Umat Quraish pada zaman itu sudah tamadun dan bergaul dengan orang Badwi. Jika dikatakan orang Quraish tidak tamadun, bagaimanakah mereka dapat memahami tamadun umat lain seperti umat Yahudi dan Naṣārā, Rom dan Parsi? 
    Shaykh berkata, disebabkan kejahilan, manusia mengasingkan jalan kenabian Millah Ḥanīfī yang terdiri dari Yahudi, Naṣārā dan Muslimīm dari jalan kenabian Millah Ṣābiʾīn, sedangkan semua contoh jalan kenabian Millah Ṣābiʾīn terdapat dalam Millah Ḥanīfī.
    Orang ramai hanya mengetahui sebahagian kecil ilmu. Oleh sebab itu tidak terdapat sesuatu ilmu pada kumpulan lain, maka kebenaran dikhususkan kepada satu golongan, kerana mereka kurang ilmu dan pemikiran. Mereka tidak nampak kenabian lain seperti dalam millah Ṣābiʾīn. Mereka hanya nampak kenabian dalam millah Ḥanīfī, kerana mereka hanya mengenali satu juzuk kecil dari kenabian. Oleh sebab itu mereka menolak nabi-nabi selain dari nabi-nabi dalam millah Ḥanīfī, sebagaimana pendapat Ibn Khaldūn dalam Al-Muqaddimah.
    Semua contoh jalan kenabian terdapat dalam millah Ḥanīfī, misalnya, wahyu kepada ʿĪsā (A.S.) dengan cara cetakan segala maksud dalam batinnya. Inilah jalan wahyu semua nabi Ṣābiʾīn. Sila rujuk Al-Fawz al-Kabīr fī uṣul al-Tafsīr. (m.s. 10).
Shaykh berkata, tamadun hanya berlaku dengan perantaraan ilmu nabi. Ibni Khaldūn berpendapat tamadun boleh berlaku dengan ilmu ḥukamāʾ sahaja. Itu satu kesilapan beliau. Sebenarnya, ḥukamāʾ itu mungkin seorang nabi atau pengikut nabi. Itulah yang pasti, tetapi kerana manusia sekarang jahil, mereka berkata-kata dengan kata-kata ḥukamāʾ, kemudian mentafsirkan kata-kata itu mengikut maksud golongan orang kafir. Semua huraian ini sebagai sambungan kepada tafsiran ayat:

Rasūl-rasūl itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian, (Al-Qurʾān: 2: 253).
    Ayat ini sebagai fasal yang menerangkan peringkat-peringkat pemerintahan.

Sebahagian daripada mereka, ada yang Allāh berkata-berkata, (Al-Qurʾān: 2: 253).
    Ayat ini menerangkan susunan sebahagian mereka adalah orang yang bercakap dengan Allāh; misalnya, Mūsā  (A.S.).

dan Ia tinggikan darjat sebahagian daripada mereka, (Al-Qurʾān: 2: 253).
    Ayat ini isyarat kepada Nabi (S.A.W.), kerana baginda sebagai nabi yang terakhir, diutus untuk menggabungkan semua jalan para nabi, menyempurnakan semua martabat kenabian dan menggabungkan semua umat yang tamadun.

Dan Kami telah beri beberapa keterangan yang nyata kepada ʿĪsā anak Maryam dan Kami telah kuatkan dia dengan rūḥ al-quds, (Al-Qurʾān: 2: 253).
    Maksudnya, berhubung dengan Ḥaẓīrat al-quds dan al-Malaʾ al-aʿlā.

Dan jika Allāh mahu, nescaya tidak saling membunuh orang yang kemudian daripada itu, sudah datang kepada mereka kenyataan yang terang, tetapi mereka berselisihan; iaitu sebahagian daripada mereka beriman, dan sebahagian daripada mereka kufur, dan sekiranya Allāh mahu nescaya mereka tidak saling membunuh, tetapi Allāh berbuat apa yang Ia kehendaki. (Al-Qurʾān: 2: 253)
    Maksudnya, perkhilfan itu adalah kehendak fiṭrah manusia kerana mizāj mereka yang berbeza. Tersebut dalam ḥadīth, baginda bersabda yang bermaksud: “Jika mereka semua berada di atas satu mizāj, Allāh akan membinasakan mereka”. 
    Shaykh berkata, sebuah kerajaan hanya boleh wujud apabila berada di bawah undang-undang dan memerlukan kekayaan. Maka Allāh taʿālā befirman:

Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian daripada apa yang Kami telah kurniakan kepada kamu, sebelum datang satu hari yang tidak ada perdagangan padanya, dan tidak ada persahabatan, dan tidak ada shafāʿat, dan orang kafir itulah orang yang zalim. (Al-Qurʾān: 2: 254)
    Mengikut istilah Al-Qurʾān, maksud kalimah “kafir” pada ayat ini ialah orang yang tidak sanggup berbelanja hartanya, kerana sebuah pemerintahan tidak mungkin dibangunkan tanpa kekayaan. Orang kafir adalah orang yang zalim.
    Shaykh berkata, penggabungan jalan nabi dengan tamadun berlaku di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. Ada tiga dasar undang-undang. Pertama, beriman dengan Allāh; kedua, beriman dengan hari akhirat; ketiga, beramal ṣāliḥ dalam pentadbiran rumah tangga. Perkara ini telah diterangkan dalam ayat (Al-Qurʾān: 2: 163).

Beriman Dengan Allah Pada Peringkat Pemerintahan.
    Sekarang akan diterangkan tentang beriman dengan Allāh pada peringkat pemerintahan. Adapun ayat (Al-Qurʾān: 2: 163) menerangkan beriman kepada Allāh bagi masyarakat mundur sahaja.
    Allāh taʿālā berfirman:

Allāh itu tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang hidup, yang berdiri dengan sendirinya. Dia tidak dihampiri oleh mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNyalah apa yang di langit dan dan di bumi. Bukankah tidak ada sesiapa yang boleh meminta shafāʿat di hadapanNya melainkan dengan izinNya? (Al-Qurʾān:2:255)
    Shafāʿat ini secara umum atau menyeluruh, dan menerangkan kekuasaan Allāh taʿālā ke atas hambaNya. Maksudnya, Allāh memaksa hambaNya dan Dia tidak patuh kepada kehendak sesiapa. Orang sekarang menganggap Allāh patuh kepada kehendak mereka.

Ia mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka, sedang mereka tidak meliputi sedikitpun daripada ilmuNya melainkan apa yang dikehendaki olehNya. (Al-Qurʾān: 2: 255).
    Maksudnya, manusia tidak mungkin mengetahui semua kejadian melainkan yang diberitahu oleh Allāh, tetapi disebabkan kejahilan, umat Islām sekarang telah khususkan ilmu ghaib kepada para nabi dan orang ṣāliḥ; sedangkan mereka membaca ḥadīth-ḥadīth; tetapi tidak mampu menyelaraskan ḥadīth dengan Al-Qurʾān. Kami membaca ḥadīth hanya sebagai huraian kepada Al-Qurʾān.

PengetahuanNya meliputi langit dan bumi, (Al-Qurʾān: 2: 255)
    Maksud “kursi” ialah pusat pentadbiran kerajaan Allāh yang meliputi pemerintahan di langit dan di bumi.

Dan memelihara dua itu tidak menjadi berat bagiNya; dan Dialah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Besar. (Al-Qurʾān: 2: 255).
    Shaykh berkata, ayat 255 ini menerangkan sifat-sifat pentadbiran Allāh yang tidak terdapat pada mana-mana kitab Ilahi dan agama yang lain, sehingga orang Kristian mengiktiraf sifat-sifat itu dan sebahagian mereka yang menterjemahkan Al-Qurʾān terserempak dengan ayat ini.

Tidak ada sebarang paksaan pada agama, telah nyata kebenaran dari kesesatan. Oleh itu sesiapa kufur kepada ṭāghūt dan beriman kepada Allāh, maka sesungguhnya telah berpegang ia kepada tali yang amat teguh, yang tidak ada putusnya; dan Allāh itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. (Al-Qurʾān: 2: 256)
    Maksudnya, mereka beriman kepada Allāh mengikut jalan ini dan menentang ṭāghūt. Maksud ṭāghūt ialah sesuatu yang diikuti selain daripada Allāh.

Allāh itu pengurus bagi mereka yang beriman, (Al-Qurʾān: 2: 257)
    Maksudnya mereka yang beriman kepada Allāh mengikut jalan ini.

Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya, (Al-Qurʾān: 2: 257)
    Maksudnya, apabila mereka kesamaran pada masa tertentu, Allāh akan hapuskan kesamaran itu.

Dan orang kafir itu pengurus mereka ialah ṭāghūt yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kegelapan. Mereka itu ahli neraka; mereka itu akan kekal padanya. (Al-Qurʾān: 2: 257).
    Kedua, beriman dengan hari akhir iaitu beriman bahawa seseorang akan ditanya pada hari kiamat. Keimanan ini tidak mendatangkan ketenangan dan kepuasan hanya melalui pergaulan dengan golongan ṣūfī. Mengetahui sahaja tidak dikatakan beriman. Pada iman hendaklah terdapat dorongan amali dan melahirkan amalan. Itulah iman.

Tidakkah engkau fikirkan orang yang membantah Ibrāhīm tentang Tuhannya, lantaran Allāh beri kerajaan kepadanya? Tatkala brāhīm berkata: “Tuhanku itulah Yang menghidupkan dan mematikan,” Ia berkata: “Aku menghidup dan mematikan”. Kata Ibrāhīm: “Sesungguhnya Allāh mendatangkan matahari dari Timur, maka cubalah engkau datangkan dia dari Barat”. Maka bingunglah yang kafir itu; dan Allāh tidak memimpin kaum yang zalim. (Al-Qurʾān: 2: 258).
    Shaykh berkata, ayat ini menerangkan tentang beriman dengan hari akhirat melalui akal.

Atau seperti orang yang melalui satu negeri, (Al-Qurʾān: 2: 259).
    Maksud qariah ialah Bait al-Maqdis dan di sini tidak perlu dipastikan orang, sama ada nabi atau tidak.

Padahal ia itu roboh atas bumbungnya; ia berkata: “Bagaimanakah kelak Allāh hidupkan ini sesudah matinya? Lantaran itu Allāh matikan dia setahun, (Al-Qurʾān: 2: 259)
    Shaykh berkata, ayat ini merujuk kepada ʿalam al-mithāl yang jauhar berbanding dengan alam nyata yang menjadi sifat bagi ʿalam al-mithāl. Sesuatu yang lahir di alam nyata ini datang dari ʿalam al-mithāl dan lelaki ini hidup di ʿalam al-mithāl selama 100 tahun dan di alam nyata ini seperti satu hari, seperti seorang tidur bermimpi berada pada satu tempoh yang lama. Setelah sedar dari tidur, ia tahu bahawa ia berada sehari sahaja. Itulah firman Allāh:

Kemudian Ia bangkitkan dia, Ia bertanya: “Berapa lamakah engkau diam?” Ia jawab: “Saya diam sehari atau sebahagian dari sehari”. Ia berkata: “Bahkan engkau telah diam seratus tahun. Lihatlah kepada makananmu dan minumanmu, tidak berubah dan lihatlah kepada keldaimu, dan kerana Kami mahu jadikan kamu satu tanda bagi manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang itu bagaimana Kami bangkitkan dia dan Kami pakaikan dia daging”. Maka tatkala ternyata baginya, berkatalah ia: “Aku ketahui bahawasanya Allāh itu berkuasa atas setiap sesuatu”. (Al-Qurʾān: 2: 259).
    Ayat ini sebagai contoh kepada mereka yang mengalami sendiri urusan hari akhirat. Apabila orang ramai bergaul dan bersama-samanya, dia pasti persahabatan itu meninggalkan kesan.
    Shaykh berkata, dengan ayat ini kami membuktikan bahawa kemungkinan hidup di dunia ini masih kekal dan jasadnya tidak musnah. Perkara ini khusus kepada para nabi dan individu tertentu.

Dan tatkala Ibrāhīm berkata: “Wahai Tuhanku! Tunjukkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk yang telah mati”. FirmanNya: “Apakah engkau tidak percaya?” Ia jawab: “Tidak sekali-kali! Tetapi supaya tetap hatiku”. FirmanNya: “Kalau begitu, ambillah empat ekor burung dan jinakkanlah mereka kepadamu, kemudian taruhlah di atas tiap-tiap satu gunung sebahagian daripadanya; kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera; dan ketahuilah bahawa Allāh itu Maha Gagah, Bijaksana”. (Al-Qurʾān: 2: 260).
    Ini jalan kedua untuk mendapat ketenangan dan keyakinan beriman dengan hari akhirat, kerana apabila seseorang bersahabat dengan lelaki seperti ini, ia pasti mendapat kesan yang sama.
    Shaykh berkata, burung itu dihidupkan dengan kekuatan rohaniah dari ʿalam al-mithāl. Apabila kekuatan rohaniah turun, kekuatan itu menggabungkan semua tulang dan daging. Demikian juga akan berlaku pada hari akhirat.
    Kedua, menerangkan amalan ṣāliḥ atau berkongsi harta dan menyebarkan pengenalan, iaitu firman Allāh:

Bandingan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allāh, seperti satu biji yang menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai ada seratus biji; dan Allāh akan menggandakan kepada siapa yang Ia kehendaki; dan Allāh itu Luas, amat Mengetahui. (Al-Qurʾān: 2: 261) 

Orang yang membelajakan harta di jalan Allāh, kemudian mereka tidak iringi apa yang mereka belanjakan itu dengan ungkitan dan tidak dengan gangguan; mereka akan dapat ganjaran mereka di sisi Tuhan mereka; dan tidak ada ketakutan atas mereka; dan mereka tidak akan dukacita. (Al-Qurʾān: 2: 262).
    Perbelanjaan ini adalah pada peringkat pemerintahan. Apabila harta berlebihan pada satu organisasi, hendaklah diberikan kepada organisasi yang lain, kerana semua organisasi menyamai sebuah organisasi seperti berada dalam satu organisasi. Seseorang yang mempunyai harta yang berlebihan, hendaklah diberi kepada individu yang memerlukannya. Apabila harta diberi kepada organisasi yang lain dan diikuti dengan ungkitan yang menyakitkan, sedangkan mereka orang yang mulia dalam organisasi masing-masing, mereka tidak dapat membendung perkara itu.

Satu perkataan yang baik dan satu penutupan adalah lebih baik daripada satu sedekah yang diiringi oleh satu gangguan dan Allāh itu Kaya, amat Lemah Lembut. (Al-Qurʾān: 2: 263).

Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu batalkan sedekah kamu dengan ungkitan dan gangguan sebagaimana orang yang belanjakan hartanya dengan riya terhadap manusia dan tidak beriman kepada Allāh dan hari Kemudian. Maka bandingannya seperti satu batu licin yang di atasnya ada pasir, lantas ditimpa hujan lebat, yang menjadikannya licin. Mereka tidak mendapat sesuatu dari apa yang mereka telah kerjakan; dan Allāh tidak memimpin kaum yang kafir. (Al-Qurʾān: 2: 264).

Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak mencari keredaan Allāh dan dengan keyakinan yang tetap dari diri mereka, seperti satu kebun di tanah subur, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Jika tidak hujan lebat menimpa dia, maka hujan rintik-rintik; dan Allāh itu Melihat apa yang kamu kerjakan. (Al-Qurʾān: 2: 265). 

Sukakah seseorang daripada kamu mempunyai satu kebun dari kurma dan anggur, yang mengalir padanya sungai-sungai; yang di situ ada baginya segala jenis buah-buahan, lalu ia tua dan mempunyai anak cucu yang lemah, lantas kebun itu kena angin kencang beserta api, lalu terbakar? Begitulah Allāh menerangkan bagi kamu petunjuk-petunjukNya supaya kamu berfikir. (Al-Qurʾān: 2: 266).

Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian daripada usaha kamu yang baik, (Al-Qurʾān: 2: 267).
    Maksudnya, termasuklah pelbagai bentuk keluaran perkilangan dan perniagaan.

dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu, (Al-Qurʾān: 2: 267).
   Maksudnya, kegiatan pertanian.

dan janganlah kamu pilih yang tidak baik bagi kamu dermakan dia, padahal kamu tidak akan menerima dia melainkan dengan memejam mata padanya; (Al-Qurʾān: 2: 267).
    Maksudnya, kamu tidak harus belanjakan harta yang tidak bernilai di sisi kamu. Kamu hendaklah membelanjakan harta yang baik di sisi kamu. Kamu harus mengambil sebahagian yang baik dan memberi sebahagiannya kepada mereka.

dan ketahuilah bahawa Allāh itu Kaya, Terpuji. (Al-Qurʾān: 2: 267)
    Maksudnya, Allāh tidak perlukan harta yang tidak bernilai dan yang bernilai di sisi kamu, malah Allāh menyuruh kamu belanjakan harta yang bernilai untuk faedah jemaah dan millah sahaja. Tuhan tidak berhajat kepada semua makhluk.

Syaitan menakuti kamu dengan kepapaan dan menyuruh kamu berbuat kejelekan; (Al-Qurʾān: 2: 268).
    Maksud  faḥshā’ pada ayat ini ialah kamu tidak membantu orang yang memerlukan bantuan sedangkan kamu mempunyai harta yang lebih dari keperluan.

Dan Allāh berjanji akan memberi kamu keampunan dan kurnia daripadaNya, dan Allāh itu Luas, amat Mengetahui. (Al-Qurʾān: 2: 268).

Ia memberi hikmah kepada siapa yang ia kehendaki; dan sesiapa diberi hikmah, maka sesungguhnya ia telah diberi kebajikan yang banyak; (Al-Qurʾān: 2: 269).
    Shaykh berkata, Al-Qurʾān menyebut al-khair dengan erti harta. Hikmah pula bererti kebajikan yang banyak, lebih baik daripada harta.

Dan tidak akan ingat melainkan orang yang berfikiran. (Al-Qurʾān: 2: 269).

Dan apa-apa yang kamu belanjakan dan apa-apa yang kamu nazar, maka sesungguhnya Allāh mengetahui akan dia; dan orang yang zalim itu tidak mempunyai penolong-penolong. (Al-Qurʾān: 2: 270). 

Jika kamu nampakkan sedekah, maka ia itu sebaik-baiknya; tetapi jika kamu sembunyikannya dan kamu berikannya kepada orang fakir, maka ia itu terlebih baik bagi kamu; dan Ia akan hapuskan sebahagian daripada dosa-dosa kamu, dan Allāh itu amat Mengetahui apa yang kamu buat. (Al-Qurʾān: 2: 271). 

Bukan atas kamu memimpin mereka itu, tetapi Allāh memimpin sesiapa yang Ia kehendaki dan apa-apa kemampuan yang kamu belanjakan itu adalah untuk diri kamu dan tidak boleh kamu belanjakan melainkan kerana mencari keredaan Allāh. (Al-Qurʾān: 2: 272).
    Ayat ini menerangkan hidayah secara menyeluruh kepada semua golongan yang menerima hidayah, bukan untuk kamu sahaja. Quraish adalah kumpulan yang mula-mula menerima hidayah daripada Nabi (S.A.W.). Mereka daripada kumpulan pusat.

Dan apa-apa kemampuan yang kamu belanjakan akan disempurnakan kepada kamu; (Al-Qurʾān: 2: 272).
    Maksudnya, di dunia hingga akhirat.

dan kamu tidak akan dianiaya. (Al-Qurʾān: 2: 272).
    Kamu tidak harus mengeluarkan harta pada zahir, tetapi kamu dituntut gantian yang lebih daripada itu. Jika datang tanpa qasad, tidak mengapa berdasarkan ayat “” – “disempurnakan kepada kamu” akan dibahas dalam bahagian lima.
    Jika seorang bertanya tentang perbelanjaan ini: “Siapakah lebih berhak dengannya?” Jawabnya:

Bagi orang fakir yang tertentu untuk di jalan Allāh yang tidak boleh pergi di bumi, yang disangka mampu oleh orang yang tidak tahu, lantaran tidak tamak, yang engkau boleh kenal mereka dengan tanda mereka, yang tidak minta dengan orang dengan paksaan dan apa-apa kemampuan yang kamu belanjakan; maka sesungguhnya Allāh amat Mengetahui akan dia. (Al-Qurʾān: 2: 273). 

Orang yang mendermakan hartanya siang dan malam, dengan rahsia dan dengan terang-terang itu akan dapat ganjaran mereka di sisi Tuhan mereka; dan tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak akan mereka dukacita. (Al-Qurʾān: 2: 274).
    Merekalah yang sanggup memaksa diri mempelajari hikmah dan tidak berpeluang mencari rezeki melalui kegiatan ekonomi.
    Setakat ini telah diterangkan dengan sempurna tentang beriman dengan Allāh dan hari akhirat dan amalan ṣāliḥ. Tiga perkara itulah yang memastikan manusia menghapuskan semua kezaliman dan dapat menegakkan keadilan. Jika tidak, mustahil dapat ditegakkan pemerintahan dalam kalangan millah. Dialah penghapus riba yang termasuk dalam kezaliman terhadap semua hak berbentuk harta. Demikian juga dengan kebaikan, semuanya ditentukan berbentuk sharīʿat.
Shaykh berkata, riba memufliskan semua pemerintahan Islām, misalnya, pemerintahan Islām di Turki dan Afghanistān. Shaykh berkata, kami faham bahawa sesebuah kerajaan rosak kerana riba dan syirik. Orang yang jahil agama mengatakan sebuah kerajaan rosak kerana syirik sahaja. Orang Eropah tidak syirik. Syirik umat Islām lebih besar daripada syirik umat Eropah. Bagaimanakah fikiran mereka? Manusia salah faham tentang kejatuhan kerajaan kerana tidak faham masalah riba yang tersebut dalam Al-Qurʾān.Shaykh berkata, rasuah juga termasuk dalam riba, kerana rasuah merosakkan undang-undang yang adil. Riba diharamkan dalam Islām. Pengharamannya hampir sama dengan syirik di sisi kami. Shaykh berkata, kami mahu mengadakan satu program politik menghapuskan riba di India. Maka kami berjihad menentang Inggeris, tetapi penghapusan itu mengikut jalan Al-Qurʾān, seperti ayat ini:

Tetapi jika kamu tidak berbuat (begitu), maka terimalah pernyataan satu peperangan dari Allāh dan RasūlNya; dan jika kamu bertaubat, maka kamu boleh ambil modal-modal kamu; kamu tidak menganiaya dan tidak kamu dianiaya. (Al-Qurʾān: 2: 279).
    Jika kita tidak kembali kepada Al-Qurʾān, program itu akan mengikut jalan tanpa agama seperti yang terdapat di Rusia.
    Shaykh berkata, kami berjihad menentang Inggeris kerana riba. Jika pihak lain campurtangan bersama Inggeris, sama ada Hindu, Muslim atau sesiapa sahaja, kami akan berjuang menetang mereka secara sama berdasarkan ayat ini.
    Shaykh berkata, semua agama dan kitab Ilahi mengharamkan riba. Berperang menentang riba khusus bagi Islām dan tiada dalam agama lain. Shāh Walī Allāh membincang masalah riba dalam Ḥujjat Allāh al-Bālighah pada bab: “Membangun Tamadun dan Memperbaiki Resam”, dan bab “Mencari Rezeki”. Beliau menerangkan hikmah Islām dalam dua bab ini. Kami tidak dapati sesiapa dari kalangan ḥukamāʾ Islām yang membincang seperti ini. Inilah kurniaan Allāh kepada sesiapa yang Ia kehendaki.
    Shaykh berkata, pemerintah Inggeris adalah kumpulan manusia yang paling jahat melakukan tipu helah riba. Semua ini adalah persediaan untuk ayat berikut:

Orang yang memakan riba itu tidak akan berdiri melainkan sebagaimana pendirian orang yang diharu syaitan dengan tamparannya. Yang demikian lantaran mereka berkata: “Perniagaan itu tidak lain melainkan seperti riba”. Lantaran itu sesiapa kedatangan nasihat dari Tuhannya, lalu ia berhenti, maka baginyalah apa yang telah lalu, dan urusannya terserah kepada Allāh; tetapi sesiapa kembali lagi, maka mereka itu ahli neraka yang mereka kekal di dalamnya. (Al-Qurʾān: 2: 275). 

Allāh hapuskan riba dan Dia suburkan derma-derma, dan Allāh tidak suka kepada setiap orang yang tidak mengenang budi, berdosa. (Al-Qurʾān: 2: 276).

Sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan yang baik menengakkan sembahyang dan mengeluarkan zakat itu akan dapat ganjaran mereka di sisi Tuhan mereka; dan tidak ada ketakutan atas mereka dan mereka tidak akan dukacita. (Al-Qurʾān: 2: 277).  dan

Wahai orang yang beriman! Berbaktilah kepada Allāh dan tinggalkanlah sisa dari riba itu, jika memang kamu itu orang yang beriman. (Al-Qurʾān: 2: 278). 

Tetapi jika kamu tidak berbuat, maka terimalah pernyataan satu peperangan dari Allāh dan RasūlNya; dan jika kamu bertaubat, maka kamu boleh ambil modal-modal kamu; kamu tidak menganiaya dan kamu tidak dianiaya. (Al-Qurʾān: 2: 279)

Dan jika ada yang kesusahan, maka berilah tempoh hingga kelapangan; tetapi bahawa kamu bersedekah itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (Al-Qurʾān: 2: 280)

Dan hendaklah kamu takut kepada satu hari yang padanya akan dikembalikan kamu kepada Allāh; kemudian akan disempurnakan setiap orang apa yang ia telah kerjakan; dan mereka tidak akan dianiaya. (Al-Qurʾān: 2: 281)
    Ayat-ayat ini menerangkan penghapusan kezaliman terhadap semua hak yang berbentuk harta.
Shaykh berkata, jika kita hapuskan riba, maka manusia tidak memberi hutang, melainkan jika hutangnya dibayar balik tepat pada masanya. Pada masa itu memerlukan surat, cacatan hutang, saksi dan akaun. Jika tidak dibuat demikian tidak mungkin ditentukan waktu seperti yang dikehendaki. Tambahan pula memberi harta kepada manusia secara hutang dijadikan sedekah, kerana itu satu pertolongan kepada mereka yang memerlukannya.



Wahai orang yang beriman! Apabila kamu mengadakan satu perikatan untuk dipenuhi pada satu masa yang tertentu, hendaklah kamu tulis akan dia; dan hendaklah seorang penulis dari antara kamu menulis dengan adil; dan janganlah seorang penulis enggan menulis sebagaimana Allāh ajar akan dia, bahkan hendaklah ia tulis; dan hendaklah orang yang berkewajipan memenuhi itu merencanakan dan hendaklah ia takut kepada Allāh, Tuhannya; dan janganlah ia mengurangi sedikitpun dari kesanggupan itu, tetapi jika orang yang berkewajipan itu safih atau lemah atau tidak boleh ia sendiri merencanakan, maka hendaklah walinya merencanakan dengan adil; dan hendaklah kamu adakan dua saksi dari antara lelaki kami, tetapi kalau tidak ada dua saksi lelaki, maka adakan seorang lelaki dan dua orang perempuan dari antara saksi-saksi yang kamu redai, supaya jika seorang saksi perempuan keliru, dapat diingatkan oleh seorang lagi; dan orang yang dipanggil buat jadi saksi itu tidak boleh enggan; dan janganlah kamu menulis dia, mahupun kecil ataupun besar untuk dipenuhi pada masanya. Yang demikian itu lebih adil pada pandangan Allāh, dan lebih teguh buat persaksian, dan terlalu hampir kepada tidak kamu ragu-ragu; kecuali perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak mengapa jika kamu tidak tulis akan dia; dan hendaklah kamu mengadakan saksi jika kamu berjual-beli; dan tidak boleh diberi kesusahan akan menulis dan tidak boleh pula akan saksi; kerana jika kamu berbuat begitu maka itu satu kedurhakaan pada diri kamu; Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allāh, kerana Allāh mengajar kamu, dan Allāh itu Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Qurʾān: 2: 282).

Dan jika kamu dalam pelayaran, dan kamu tak dapat menulis, maka hendaklah kamu pegang barang-barang gadaian, tetapi jika seorang daripada kamu percaya akan seorang, hendaklah orang yang diserah amanah itu menunaikan amanahnya, dan hendaklah ia takut kepada Allāh, Tuhannya; dan janganlah kamu sembunyikan penyaksian; kerana sesiapa menyembunyikannya, maka berdosalah hatinya; dan Allāh itu Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Qurʾān: 2: 283).
    Difahamkan dari ayat ini bahawa untuk membangun sebuah kerajaan memerlukan pengetahuan yang cukup. Semua ilmu itu berkhidmat kepada agama, tanpanya tidak sempurna.
    Mereka yang mengatakan Islām tidak perlukan semua  pengetahuan itu, malah semua ilmu itu keduniaan sahaja; mereka ini sama ada jahil berlapis atau satu daripada dajal, mereka tidak dibenar memasuki majlis ilmu. Setakat ini tamatlah pembangunan sebuah kerajaan.
    Mengikut tabiat manusia, apabila tiada satu kuasa yang mengatasinya, kadang-kadang mereka bertindak zalim ke atas manusia lain; atau pada zahirnya tindakan mereka benar tetapi pada batinnya tidak benar.
    Ramai manusia menjadi kaku dengan penyataan zahir. Kadang-kadang terdapat keangkuhan di hati mereka. Mereka menggunakan kuasa untuk memaksa. Mereka bangga diri dan bermuka-muka. Maka turunlah ayat.

Kepunyaan Allāhlah apa yang di langit dan apa yang di bumi. (Al-Qurʾān: 2: 284).
    Maksudnya, semua kuasa pemerintahan di langit dan di bumi kepunyaan Allāh yang Esa, Maha Gagah - bukan kepunyaan kamu. Kamu hanya khadam dan pekerja. Kamu tiada hak berbangga diri terhadap manusia.

Dan jika kamu nyatakan apa yang ada di hati kamu atau kamu sembunyikannya, Allāh akan memeriksa kamu di tempat itu, (Al-Qurʾān: 2: 284).
    Para sahabat merasa amat berat dengan penurunan ayat ini hingga Abū Bakr terus menemui Nabi (S.A.W.) dan bertanya: “Bagaimanakah kami mahu lakukan mengikut ayat ini, wahai Rasūl Allāh? Jawab Rasūl Allāh: “Kamu wajib menerimanya, jika tidak kamu tidak akan mendapat sebuah kerajaan dan pemerintahan. Kamu semua hendaklah menerimanya”. Kerajaan dan pemerintahan akan diperolehi oleh Nabi (S.A.W.) selepas penaklukan kota Mekah.

Lalu Ia akan ampunkan sesiapa yang Ia kehendaki, dan Ia akan menyeksa sesiapa yang Ia kehendaki; dan Allāh itu berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Qurʾān: 2: 284).

Rasūl itu percaya kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya dan (begitu juga) mukminīn; (Al-Qurʾān: 2: 285).
    Mereka adalah ahli Kumpulan Pusat.

Setiap orang daripada mereka percaya kepada Allāh, malaikatNya, kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya: “Kami tidak membezakan antara seorang daripada rasul-rasulNya”. (Al-Qurʾān: 2: 285)
    Setelah mereka menerima, mereka kemudian memperoleh pemerintahan dan siasah antara millah.

Dan mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat; keampunanMu, wahai Tuhan kami!  (Al-Qurʾān: 2: 285)
    Maksudnya, kami mohon keampunanMu apabila berlaku kesilapan dan kelalaian pada kami.

Kerana kepada-Mulah tempat kembali. (Al-Qurʾān: 2: 285).

Allāh tidak membebankan satu jiwa melainkan sekadar boleh terpikul olehnya. Dialah yang akan mendapat apa yang ia kerjakan; dan dialah akan mendapat apa yang dia usahakan.: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau seksa kami jika kami lupa atau kami keliru. (Al-Qurʾān:2: 286)
    Inilah penerimaan doa: “Aku memohon keampunanMu”.

“Wahai Tuhan kami! Dan janganlah Engkau pikulkan atas kami beban sebagaimana Kamu pukulkannya atas orang yang dahulu daripada kami”. (Al-Qurʾān: 2: 286).
    Kalimah “”  pada ayat ini ditafsirkan dengan ayat: “”. Maksud “” ialah mereka yang mempunyai peraturan  daripada Allāh. Maksud “” ialah mereka mempunyai kerajaan tetapi pemerintahan lain mengusai mereka. Maka mereka mempunyai sistem agama daripada Allāh, sedangkan mereka berada di bawah sistem pemerintahan yang lain.
    Nabi (S.A.W.) dan kumpulan pusat mempunyai sistem dan pemerintahan dan mereka berada di bawah satu sistem.
    Shaykh berkata, jika manusia berada di antara dua sistem, keadaan itu amat menyusahkan seperti keadaan kita sekarang di India. Kita mempunyai sistem agama dan sistem pemerintahan Inggeris yang menguasai kita.
    Shaykh berkata, seorang shaykh dari India datang berjumpa dengannya di Mekah. Namanya Ḥamīduddīn. Dia seorang murid Shublī Nukman dari sekolah ʿAligarh. Shaykh ʿUbayd Allāh al-Sindhī menyebut kepadanya tafsir  ayat “” seperti ini dan semua amali dalam amalan haji adalah semata-mata latihan untuk jihad.
    Beliau berkata kepada Shaykh ʿUbayd Allāh: “Aku mengetahui Taurāt.” Setelah beliau kembali dari ʿArafah, beliau menemui Shaykh dan berkata kepadanya. “Penyataan kamu dahulu benar. Aku telah lihat dalam Taurāt bahawa semua amalan Mūsā  (A.S.) dalam jihad sama dengan amalan haji”.
    Bermula dari ayat: “” – pada ayat 286 hingga akhir surah, merupakan doa yang Allāh ajarkan kepada mereka supaya mereka berdoa selepas doa mereka dahulunya diterima.

Wahai Tuhan kami, jangan Engkau pikulkan atas kami (perintah) yang tidak kuat kami mengerjakannya. (Al-Qurʾān: 2: 286).
iaitu kesilapan dan kelalaian kami.

Dan hapuskanlah daripada kami, dan lindungilah kami dan kasihanilah kami. Engkau penolong kami; oleh sebab itu tolonglah kami atas kaum yang kafir. (Al-Qurʾān: 2: 286).

Tamatlah tafsiran surah al-Baqarah.
    Shaykh berkata: “Bagaimana pendapat kamu, bukankah ayat Al-Qurʾān ini tersusun seluruhnya dari awal hingga akhir?” Aku jawab: “Ya.” Shaykh berkata: “Inilah yang aku faham dari surah ini”.
    Pujian bagi Allāh yang memberi petunjuk kepada kami dengan tafsiran ini, dan kami tidak akan dapat petunjuk jika Allāh tidak menunjukkan kami.
Inshā Allāh kami akan susuli dengan tafsiran surah al-Imrān dan surah-surah berikutnya.

Petikan tafsir hakm .
Fitrah insaniyah.

No comments:

Post a Comment