Monday, May 4, 2015




YĀSĪN
(Yāsīn)
Surah ke 36: 83 Ayat
Diturunkan Di Mekah



 

 


Pendahuluan

Matlamat seruan Al-Qurʾān dan kenabian ialah supaya manusia menegakkan perlembagaan untuk semua manusia. Nabi (S.A.W.) mengemukakan perlembagaan itu kepada mereka. Jika mereka mengikuti perlembagaan itu mereka akan memperoleh pemerintahan dan menguasai manusia lain. Mereka tidak akan dihukum oleh manusia lain.
Orang yang terlalu bodoh tidak beribadat kepada sesiapa, tetapi dia beribadat di bawah suatu kuasa lain. Orang seperti ini bukannya manusia. Mereka tidak harus diajarkan Al-Qurʾān dan al-sunnah kerana mereka merupakan hamba secara semula jadi.[1]
Berdakwah dan mengajar bermaksud menyampaikan kefahaman. Berdakwah ialah menyampaikan kefahaman secara umum, manakala mengajar kefahaman kepada manusia adalah sebahagian dari dakwah. Contohnya, pendidikan anak-anak di sekolah perlu meliputi pengajaran yang boleh mendorong mereka ke arah membangunkan sebuah pemerintahan. Perhatikan tindakan pemerintah di negara-negara maju. Sejak awal lagi mereka mendorong kanak-kanak supaya bercita-cita menjadi menteri jika mereka mempelajari bidang ilmu tertentu. Pengajaran Al-Qurʾān lebih tinggi nilainya dari pengajaran mereka.

 

Tafsiran

(Dengan Nama Allāh Yang Maha Pemurah Maha Penyayang)

Yāsīn[2] (Al-Qurʾān: 36: 1).

Huruf  “yā” adalah sebagai isyarat bagi tempoh sepuluh (10) tahun. Maksudnya, tempoh sepuluh (10) tahun selepas Nabi (S.A.W.) dilantik sebagai rasul, maka sempurnalah pengajaran yang disampaikan oleh Nabi (S.A.W.) kepada penduduk Mekah. Kemudian berlaku sumpah setia pertama oleh orang Anṣār (penduduk Madīnah), kerana dalam surah ini terdapat satu ayat:
Dan datang dari hujung kota itu seorang dengan terburu-buru; ia berkata: “Wahai kaumku! turutlah utusan-utusan itu”. “Turutlah mereka yang tidak meminta upah daripada kamu, sedangkan mereka orang yang terpimpin”. (Al-Qurʾān: 36: 20, 21).
Maksud kalimah '
'
'rajulun’  atau seorang lelaki dalam ayat ini ditujukan kepada Iyas bin Muʿāz. Dalam buku Nur al-Yaqīn oleh Khari, bab mengenai Al-‘faru ‘Alā al-qabāʾīl, halaman 46, beliau menyebut: “Sesungguhnya hati para pembesar Aus telah merasa bimbang, supaya mengadakan perjanjian kerjasama dengan Quraish untuk menentang Khuzraj. Oleh sebab itu mereka mengutus Iyas bin Muʿaz dan Abā al-Ḥaisar, Annas bin Rāfiʿ bersama-sama satu rombongan untuk mengadakan perjanjian itu dengan Quraish. Setelah mereka sampai di Mekah, Rasūl Allāh (S.A.W.) datang menemui mereka dan baginda berkata: “Tidakkah lebih baik bagimu daripada maksud kedatangan kamu itu supaya kamu beriman dengan Allāh yang Esa. Janganlah kamu syirik terhadapNya sesuatu. Sesungguhnya aku telah diutus oleh Allāh kepada manusia keseluruhannya”. Dan baginda membaca Al-Qurʾān kepada mereka. Iyas bin Muʿāz menjawab:  “Wahai kaumku! Demi Allāh inilah yang lebih baik daripada urusan yang kita datang kerananya”. Maka Abā al-Ḥaisar mengenakan Iyas dengan batu kecil dan berkata kepadanya: “Biarkan kami daripada kamu (maksudnya kami berpisah), sebenarnya kedatangan kami bukan tujuan ini”. Iyas pun diam.
Pada tahun yang kesepuluh itu hanya seorang yang beriman kepada Nabi (S.A.W.). Selepas ia (Iyas) kembali ke Madīnah untuk menyebarkan seruan Nabi (S.A.W.) dalam kalangan kaumnya di sana. Pada tahun kesebelas lebih ramai orang datang beriman kepada Nabi (S.A.W.). Begitulah seterusnya semakin ramai yang datang beriman pada tahun keduabelas. Pada tahun ketigabelas Nabi (S.A.W.) berhijrah ke Madīnah di mana pengajaran dan dakwahnya telah sempurna pada tahun kesepuluh. Maka pada tahun itu lebih ramai tenaga pengajar yang dididik oleh Nabi (S.A.W.) berhijrah ke Madīnah sehingga seruan kenabian bertapak dalam kalangan orang Anṣār di Madīnah.
Huruf “sīn” adalah sebagai isyarat bagi satu tempoh 60 tahun iaitu tempoh peperangan dan jihad, kerana persediaan untuk menentang musuh telah diadakan sejak awal lagi. Apabila baginda mengadakan angkatan jihad, angkatan ini bangkit menentang musuh mereka.
Pengajaran Nabi (S.A.W.) melahirkan banyak tenaga pengajar. Maka baginda diketahui sebagai seorang nabi, setelah baginda membentangkan satu perancangan dan menyeru orang ramai melaksanakan perancangan itu. Pengajaran baginda secucuk dengan pemikiran dan fiṭrah manusia. Itulah maksud  firman Allāh:
Dan Al-Qurʾān yang berhikmah. (Al-Qurʾān: 36: 2).
Maksudnya, Al-Qurʾān yang penuh dengan hikmah telah menyaksikan. Huruf ‘wau’ pada kalimah ‘wal quran’ membawa maksud penyaksian, bahawa Al-Qurʾān telah menyaksi. Makna hikmah pada kalimah ‘’  itu ialah bahawa pengajaran Nabi (S.A.W.) secucuk dengan fiṭrah dan pemikiran manusia. Maksudnya,, Al-Qurʾān telah menyaksi:
Sesungguhnya engkau adalah seorang dari rasūl-rasūl. (Al-Qurʾān: 36: 3).
Maksudnya, Nabi (S.A.W.) adalah salah seorang rasūl. Baginda menyeru manusia ke jalan yang diseru oleh para nabi sebelumnya.
Di atas jalan yang lurus. (Al-Qurʾān: 36: 4).
Golongan Mutakallimīn yang jahil telah menetapkan mukjizat kauniyah yang luar biasa sebagai perkara pasti pada kenabian. Tanggapan ini silap, kerana perkara luar biasa dapat dilakukan oleh ahli sihir lebih banyak daripada yang dapat diadakan oleh para nabi. Ahli-ahli sihir boleh menunjukkan perkara-perkara di luar adat. Kebolehan itu juga termasuk dalam mukjizat kauniyah dalam keadaan tertentu. Contohnya, apabila kekurangan sebab-sebab bagi nabi, maka turunlah kekuatan ʿālam al-mithāl yang membantu Nabi (S.A.W.) dan berlakulah peristiwa.
Adalah tidak benar dengan menetapkan mukjizat sebagai perkara yang lazim pada kenabian, malah perlu dirujuk kepada nabi dan pengajarannya mengikut jalan hikmah. Di samping itu perlu juga dirujuk kepada para guru. Contohnya, Abū Bakr al-siddīq menyamai semua orang ʿArab. Guru ini seperti seorang doktor yang mengajar ilmu perubatan. Pada masa itu dia dikenali sebagai doktor pakar yang mahir dalam bidang tertentu. Pada tahap ini dia tidak lagi memerlukan sebarang sijil yang menyatakan bahawa dia seorang doktor pakar. Setelah ramai pelajarnya lulus, dan doktor pakar ini meninggal dunia, kematiannya tidak menjejaskan bidang ilmu itu, kerana ilmunya kekal dan disambung oleh para pelajarnya. Sebagai contoh, jika Nabi (S.A.W.) wafat pada tahun kesepuluh, hidayahnya tidak hilang di dunia ini kerana baginda telah melahirkan para guru dan tenaga pengajar yang akan meneruskan pengajarannya.
Pengajaran Nabi ʿĪsā (A.S.) berjaya ke tahap ini. Selepas ʿĪsā, kumpulannya telah bangkit berjuang dan membentuk sebuah kerajaan, walaupun semasa hayat ʿĪsā (A.S.), tidak banyak aktiviti yang dilaksanakan selain daripada menyampaikan pengajaran. Mūsā (A.S.) pula telah sempat menghimpun kedua-duanya iaitu menyampaikan pengajaran dan menegakkan sebuah kerajaan.
Nabi (S.A.W.) menyeru dengan hikmah mengikut jalan para rasūl sebelumnya yang telah masyhur dan diketahui umat manusia...


dipetik daripada karangan haji wan abdullah haji wan musa tafsir al hakim.



[1] Hamba semulajadi ialah orang yang amat bodoh yang patuh kepada arahan. (ujjat Allāh al-Bālighah, jilid I, bab , ms. 42).
[2] Keterangan lanjut tentang pentafsiran ‘Yāsīn’ boleh didapati pada Tafsiran Al- Qurʾān al-akīm, Jilid Pertama, Fasal 21.

No comments:

Post a Comment